Pada 17 Ramadan 2012M ini, umat Islam memperingati
tepat ulangtahun ke 1402 Malam Nuzul Quran yang berlaku pada 610M. Nuzul
Al-Quran adalah salah satu rahmat Allah swt yang terbesar buat umat manusia
sejagat. Ia mempunyai ingatan dan pengajaran yang besar kepada kita pada hari
ini, bahkan kepada kesemua bani insan hingga ke Hari Kiamat. Nuzul Quran
bererti “Penurunan Al-Quran” oleh Allah swt kepada Nabi Muhammad saw melalui
Jibril pada malam 17 Ramadan tahun 610M di Gua Hirak, di puncak bukit Jabal
Nur, Makkah Al-Mukarramah. Ketika nabi Muhammad saw sedang mengasingkan diri
dari kekufuran dan kemaksiatan kaumnya di Mekah, datang Jibril menyampaikan 5
ayat pertama Surah Al-Alaq (Iqrak, bismirabbaikalladzi khalaq …) sekaligus terlantiklah
Nabi Muhammad saw sebagai Rasul Allah yang terakhir dan Nabi Akhir Zaman.
Diantara
pengajaran-pengajaran Nuzul Quran ialah :
(1) Allah
swt memilih para rasulnya dikalangan mereka yang memiliki peribadi yang mulia.
Jika kita hendak mewarisi peranan para Anbiyak ini, maka kita juga seharusnya
memiliki akhlak yang luhur, keikhlasan yang tinggi dan ketabahan yang tidak
berbelah bagi.
(2) Walaupun belum dipilih menjadi Nabi dan
Rasul, Nabi Muhammad saw telah dapat menilai keburukan tingkahlaku kaum Quraisy
yang telah menjadi adat kebiasaan turun temurun seperti minum arak, zina,
membunuh anak, riba, menipu dalam timbangan, menindas orang lain, membezakan
manusia berdasarkan warna kulit dan sebagainya. Kesemua ini menyebabkan Baginda
saw mengasingkan dirinya di Gua Hirak. Oleh itu diantara pra-syarat utama bagi
seorang daie (pendakwah) ialah kebencian hatinya terhadap keruntuhan yang
sedang berlaku didalam masyarakatnya, walaupun ianya telah nampak biasa dan
menebal serta menjadi lumrah dalam masyarakat. Jahiliyah hari ini tidak kurang
parahnya seperti arak, zina, buang anak, rasuah, kezaliman ke atas orang lain
dan sebagainya. Persoalannya, adakah kesemua ini menyebabkan seseorang itu
insaf keadaan tersebut, luluh hatinya mengenangkan nasib umatnya dan bertekad
bersungguh-sungguh untuk merubah keadaan tersebut ? Atau saban hari dia membaca
akhbar dan mendengar berita yang menyedih dan menjijikkan, namun kesemua itu
tidak mengesani jiwanya dan menggerakkan anggotanya untuk berdakwah?
(3) Membaca atau “Iqrak” mempunyai peranan
yang sangat penting kepada masyarakat Islam dan diantara sebab utama dalam
merubah nasib mereka. Hampir ianya menjadi salah satu ciri umat di Barat yang
memimpin dunia hari ini. Adapun di Dunia Islam, minat kepada membaca masih
belum melata dan menebal.
(4) Betapa hebat dan kuatnya jiwa Rasulullah
saw dalam bukan sahaja menerima ayat-ayat Al-Quran tetapi juga menerima bebanan
Dakwah yang terkandung didalam ayat-ayat tersebut. Baginda saw hanya menggigil
ketakutan tetapi tidak binasa jiwanya. Sekiranya pada malam itu Al-Quran
diturunkan bukan kepada Baginda saw, tetapi kepada Gua Hirak atau Jabal Nur itu
sendiri, nescaya akan pecah bukit tersebut lantaran tidak tertanggung amanah
yang diberikan oleh Allah swt. “Kalau Kami turunkan Al-Quran ini keatas
bukit, nescaya engkau akan melihatnya tunduk dan pecah kerana takut kepada
Allah. Demikian perumpamaan Kami berikan kepada manusia supaya mereka berfikir” (Al-Quran).
Alangkah jauhnya ramai umat Islam zaman kini yang tidak membaca Al-Quran. Jika
membacanya, ramai pula yang tidak memahaminya. Jika memahaminya, ramai pula
yang tidak takut, tidak kecut, tidak mengigil kerana takut kepada Penurunnya
dan kepada amanah-amanah yang terkandung didalamnya yang mesti dilaksanakan !!
(5) Tidak lengkap mengingati malam Nuzul Quran
jika tidak menyebut nama Khadijah ra, isteri tersayang Rasulullah saw. Ketika
Rasulullah saw mengigil ketakutan, Khadijah ra tenang lagi menenangkan suaminya
!! “Aku takut akan diriku (akan ditimpa musibah dek jembalang
tersebut)”, sabda Rasulullah saw, ketika menceritakan pertemuannya
dengan makhluk yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini. “Kalla !!! Ma
yukhzikallahu abada !!!” (Sekali-kali tidak !!! Allah tidak akan membuat
sesuatu yang buruk kepada kamu !!! Sesungguhnya engkau menghubungkan
Silaturrahim, menyumbang kepada orang yang tidak mempunyai harta, memikul
bebanan (orang yang memerlukan bantuan) … “, tegas Khadijah ra dengan
penuh kasih sayang yang yakin akan latarbelakang suaminya yang bersih, tidak
mungkin sebersih itu Allah swt akan mendatangkan suatu yang buruk kepada insan
yang sebegitu dikenalinya. Rasulullah saw beriman dalam keadaan menggigil dan
ketakutan yaitu ketika bertemu dengan Jibril. Khadijah ra pula beriman dalam
keadaan kasih dan yakin yaitu ketika bertemu dan mendengar apa yang diceritakan
oleh suaminya, Rasulullah saw. Khadijah bukan sahaja beriman tetapi
menTasdiqkan imannya. Tasdik lebih tinggi dari Iman. Tasdiq ialah membenarkan
kepercayaan (Iman) dengan amal perbuatan dan pengorbanan. Khadijah ra
membenarkan Imannya dengan memberi dorongan kepada Rasulullah saw dalam
berdakwah, menghulurkan harta kekayaannya demi kemajuan dan memberi lonjakan
kepada Dakwah Islam lebih-lebih lagi di Tahun-tahun Pemboikotan yang zalim.
Oleh itu Jibril telah memaklumkan kepada Rasulullah saw bahawa satu rumah di
Syurga telah dibina untuk Khadijah ra. Nabi saw pula bersabda bermaksud, ‘Demi
Allah !! Allah belum pernah menggantikan untuk aku isteri yang lebih baik dari
Khadijah. Dia beriman kepada aku ketika manusia lain mengkufuri aku. Dia
membenarkan aku ketika manusia lain membohongi aku dan tidak mempercayai
risalah yang aku bawa. Dia memberi aku akan harta-hartanya ketika manusia lain
mengenakan pemboikotan kepada aku …”. Selama 23 tahun Nabi saw
berdakwah yang penuh dengan peperangan dan penekanan, namun hanya tahun
kematian Khadijah ra Nabi menamakan tahun tersebut ‘Aam Al-Huzn’ (Tahun
Kesedihan).
(6) Penurunan Wahyu dan berhubungnya Langit
dengan bumi melalui perantaraan Wahyu adalah suatu nikmat yang hanya dirasai
oleh para Sahabat ra dan mereka yang memahami Al-Quran dan merasai
kemanisannya. Ummu Aiman adalah seorang sahabiah yang hidup panjang di zman
Nabi saw dan Khulafak Rasyidin. Di zaman Khulafak Rasyidin, pada suatu hari
para Sahabat ra melihat beliau menangis, lalu berkata, “Kenapa menangis wahai
Ummu Aiman, bukankah Rasulullah saw kini berada ditempat yang lebih baik?”.
Ummu Aiman ra menjawab, “Saya mengetahui bahawa Rasulullah saw kini
berada di tempat yang lebih baik, tetapi yang menyebabkan saya menangis ialah
kerana Wahyu kini telah terputus (tidak seperti di zaman Nabi saw masih hidup)”.
Apakah nikmat yang lebih hebat dari menerima kalam Allah swt yang turun dari
langit, menerang dan membimbing, menegur dan memberi amaran, mendidik dan
menguatkan jiwa hingga mereka menjadi Khaira Ummah Ukhrijat linnas (Umat yang
terbaik yang pernah dikeluarkan untuk manusia). (rujuk kitab tafsir Fi Dzilalil
Quran oleh Asy-Syahid Sayyid Qutb, surah Al-Alaq).
Tiada
kesejahteraan dan kejayaan bagi masyarakat dunia dulu, kini dan akan datang
melainkan hidup berpandukan Al-Quran yang diturunkan oleh Tuhan Maha Pencipta
lagi Maha Bijaksana. Itu adalah keyakinan orang-orang yang beriman. Bahkan itu
adalah kesimpulan orang-orang yang berpengalaman melihat dan mengamati
kesudahan mereka yang engkar dan membelakangi undang-undang Al-Quran samada
dikalangan orang-orang kafir atau mereka yang mengaku Islam.“Berjalanlah
kamu dimuka bumi dan lihatlah kesudahan orang-orang yang mendustakan (Al-Quran)
…” (Al-Quran).
Tinta
Pujangga
No comments:
Post a Comment