Friday, 15 February 2013

POLITIK SAMSENG LAMBANG DEMOKRASI TEMPANG



Integriti, keadilan, kebebasan dan demokrasi pilihan raya di  Malaysia di mata dunia berada di tahap parah dan kritikal. Sejak Malaysia mengecapi kemerdekaan, parti-parti politik di Malaysia bertanding di padang yang tidak rata. Dahulu dan kininya, hak media cetak dinafikan, kebebasan media elektronik disekat, hak kebebasan berhimpun dicabuli, hak bersuara dihalang, badan-badan serta institusi yang sepatutnya bebas diikat erat oleh pemerintah  dan hak negeri yang berlainan ideologi politik di bawah naungan persekutuan dipinggirkan. 

Berdasarkan Indeks Demokrasi 2011 keluaran The Economist, Malaysia berada di kedudukan ke-71 daripada ke-167 negara yang dikaji. Kedudukan ini sama dengan tahun 2010, selepas jatuh daripada kedudukan ke-68 pada tahun 2008 dengan pengurangan mata daripada 6.36 kepada 6.19. Ini menempatkan Malaysia di kalangan negara yang dikategorikan sebagai tempang demokrasinya, bersama sejumlah negara lain bermula daripada kedudukan ke-26 hingga ke-78, antaranya Israel (36), Sri Lanka (57), Mongolia (69) dan Ghana (78). Dari kalangan negara Asia Tenggara, hanya Thailand dan Indonesia berkedudukan lebih baik, iaitu di tempat ke-58 dan ke-60.

Politik samseng menggambarkan lagi demokrasi tempang di Malaysia. Walhal ianya bukan perkara yang baru di negara kita. Sejarah politik samseng termaktub utuh yang diukir dalam sejarah oleh Pemuda UMNO Tahan Lasak pada era 60-an yang menggemparkan seluruh negara dan mengakibatkan implikasi negatif terhadap senario politik tanah air. Terbarunya, seluruh mahasiswa merasakan sangat kecewa dan mengutuk tindakan samseng dan ganas ke atas aktivis-aktivis Gempur Mahasiswa 13 (GM13) di Parlimen Pekan.

Rakyat Malaysia telah dihantui oleh media perdana bahawa sekiranya Pakatan Rakyat kalah dalam PRU-13, maka seluruh negara akan huru-hara dan berlaku rusuhan. Walau bagaimanapun, berdasarkan pengalaman pilihan raya umum yang sudah berlangsung sebanyak 12 kali,  sudah terbukti bahawa parti-parti komponen dalam PR dapat menerima kekalahan dalam suasana harmonis dan sikap yang terbuka. Pengalaman mengajar kita untuk mengenali sosok tubuh BN apabila di saat kekalahan, seperti komplot terancang menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Negeri Perak yang dilantik secara sah pada 2009. Selain daripada itu, sejarah hitam politik tanah air pada tahun 1978 di Negeri Kelantan yang mana kelantan diisytihar darurat di bawah MAGERAN seterusnya berlaku Pilihan Raya Negeri dan UMNO berjaya merampas Kelantan. Oleh itu, sekiranya PR menang dalam PRU-13,  seluruh mahasiswa bimbang dengan asuhan politik samseng dan ganas yang telah dididik dalam ahli UMNO sejak zaman berzaman, antara cabaran awal yang perlu diselesaikan oleh kerajaan PR adalah kekacauan dan gangguan yang akan digerakkan oleh samseng politik jalanan yang tidak mampu menerima kekalahan dan sudah sinonim dengan mencabul prinsip dan hak demokrasi.

Justeru, rakyat Malaysia perlu bersepakat dan berpadu untuk meyuburkan suasana demokrasi  yang adil di Malaysia. Menutup saluran untuk mendapat hak demokrasi yang adil boleh diibaratkan seperti bom jangka yang boleh meledak dan meletus pada bila-bila masa. Rakyat Malaysia perlu menolak politik samseng agar suasana dan proses pilihan raya demokrasi di negara kita berlansung dalam semangat keadilan dan cintakan negara.

AHMAD FATIHI MAKHTAR
Pengerusi Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia Negeri Pahang (GAMIS Pahang)  

No comments:

Post a Comment