Sunday, 24 February 2013

GAMIS ZON TIMUR: MAHASISWA TEKAD TOLAK BN

Himpunan Mahasiswa Zon Timur, Kuala Terengganu
22 Februari 2013 
  1. Tarikh 23 Februari 2013 merupakan tarikh keramat bagi Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) Zon Timur, seramai 300 orang berhimpun di Kuala Terengganu dan berpencak di lapangan masyarakat untuk menyatakan pendirian serta mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama menolak Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13).  
  2. Malang bagi rakyat Negeri Terengganu yang berada di bawah pimpinan BN kerana walaupun Terengganu sebuah negeri yang menghasilkan lebih separuh keluaran petroleum negara dan mendapat hasil kira-kira RM2 bilion setiap tahun tetapi merupakan negeri ke-2 termiskin di Malaysia selepas Sabah. Bilangan Isi Rumah Miskin Tegar yang dicatat oleh Sabah sebanyak 32400  dan diikuti oleh Terengganu sebanyak 8 300 serta Perak (5700) dan Sarawak (5200).
  3. Pimpinan GAMIS Pusat bersama pimpinan peringkat Negeri Terangganu, Pahang dan Kelantan bersama-sama menziarahi beberapa buah rumah rakyat miskin di sekitar Kuala Terengganu untuk menghulurkan bantuan dan menyelami hati nurani rakyat yang hidup tanpa perhatian serius oleh Kerajaan Negeri. Jelas terpapar daripada keluhan hati rakyat ini akan kekecewaan mereka terhadap Kerajaan BN yang tidak mengagihkan bantuan secara adil dan mereka tidak mendapat hak yang sepatutnya.
  4. Isu Bumbung Stadium Gong Badak yang runtuh kali kedua semasa proses baik pulih membuka seluas-luasnya pekong ketirisan Kerajaan BN Terengganu dan ini merupakan hujah yang sangat kuat untuk rakyat Terengganu menolak BN pada PRU 13. Rakyat negeri Terengganu harus sedar bahawa keselamatan dan nyawa mereka tidak selamat apabila berada dalam stadium tersebut.
  5. Rakyat Terengganu harus buka mata, berjuta-juta wang rakyat yang sepatutnya digunakan untuk menampung kemiskinan tegar di Terengganu telah dihabiskan untuk membaiki Stadium Gong Badak yang boleh diibaratkan seperti tikus membaiki labu. Wang rakyat terus dibazirkan dengan menampung projek yang merugikan. Pimpinan GAMIS sempat menziarahi salah seorang mangsa kejadian dan berkongsi pandangan tentang struktur bangunan yang tidak selamat dan mampu membunuh lebih ramai lagi rakyat Terengganu.


  6. Dengan misi “Mahasiswa Menggalas Harapan Rakyat”, seramai 300 orang aktivis mahasiswa berhimpun secara aman di depan Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa, Pulau Duyong  untuk menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri yang sedang mengadakan pertemuan tertutup dengan semua pimpinan parti-parti komponen BN Terengganu. Memorendum suara hati rakyat yang menuntut supaya kerajaan membuka ruang demokrasi yang adil di Malaysia, membasmi kemiskinan melampau di Terengganu dan menghentikan projek sia-sia baik pulih Stadium Gong Badak yang mengancam keselamatan rakyat.
  7. Walaupun himpunan aman ini mendapat provokasi daripada ‘samseng UMNO’, mahasiswa tetap berhimpun untuk menyerahkan memorandum suara hati rakyat tertindas kepada PM. Ternyata PM Malaysia bukannya pemimpin yang berjiwa besar untuk mendepani mahasiswa. Rombongan PM meninggalkan Ri-Yaz Heritage dengan kerjasama erat antara samseng UMNO dan Polis Di raja Malaysia (PDRM) serta disertai dengan laungan ‘Mahasiswa Tolak BN’.


  8. Pimpinan-pimpinan GAMIS Pusat dan Negeri bersama seluruh aktivis mahasiswa turut berhimpun bersama masyarakat Negeri Terangganu di Pantai Batu Burok untuk berkongsi harapan dan inspirasi untuk melihat wajah Malaysia yang baru pasca PRU 13 yang dipimpin oleh pemimpin yang adil dan integriti.


  9. PRU 13 adalah landasan terbaik untuk seluruh rakyat Malaysia bersama-sama menghentikan kezaliman Kerajaan BN yang tercatat secara fakta dan sejarah, selama 56 tahun BN memerintah Malaysia, terlalu banyak kes-kes penipuan pimpinan tertinggi negara, kronisme, nepotisme, menyekat hak royalti, menggadai hak orang melayu, meruntuhkan insitusi sultan dan sebagainya. Ayuh sama-sama seluruh rakyat Malaysia untuk menolak BN dalam PRU 13.
  10. GAMIS akan menggerakkan seluruh jentera di seluruh negara untuk memastikan hasrat dan impian untuk menamatkan pemerintahan BN dalam PRU 13 tercapai. 
 Ahmad Fatihi Makhtar
Pengerusi Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia Pahang (GAMIS Pahang)         

 

No comments:

Post a Comment