Sunday, 22 July 2012

Selamat Menyambut Ramadhan Al Mubarak 1433H


Oleh: 'Abdul Muntaqim

Kehadiran Ramadhan 1433H ini disambut dengan kesyukuran seperti biasanya. Bagi mereka yang bergelar mahasiswa dan menjadi pelayar tetap laman sosial, pastinya melihat betapa ramainya mereka yang mengalu-alukan kehadiran Ramadhan dengan slogan-slogan indah yang tersendiri. Kesedaran dan kerinduan yang terzahir oleh generasi muda kepada bulan yang mulia ini menandakan keinginan mereka kepada kebaikan dan kelebihan Ramadhan yang dijanjikan oleh Allah S.W.T.

Peristiwa Badar al-Kubra, pembukaan Kota Makkah, peristiwa perjalanan ke Tabuk, sampainya Islam ke Yaman, Khalid al-Walid meruntuhkan berhala al-Uzza, pembukaan Andalus (Sepanyol), peperangan Zallaqah dan peperangan ‘Ain Jalut yang merupakan antara contoh peristiwa besar yang berlaku dalam bulan Ramadhan, yang menandakan bulan ini ialah bulan umat Islam memperkasakan praktikal amal Islami. Selayaknya amalan dan kerja buat yang dilaksanakan oleh umat Islam dalam bulan Ramadhan ini lebih hebat berbanding bulan-bulan yang lain.

Zaman kepemudaan ialah waktu kurniaan Allah S.W.T. mempunyai potensi yang boleh dikembangkan supaya bermanfaat untuk masa depannya. Maka sepatutnya kita menjadikan madrasah Ramadhan ini sebagai medan pemerkasaan kekuatan pemuda dalam pelbagai aspek. Antaranya melalui ibadah yang berkualiti dan berkuantiti, bacaan yang meningkatkan nilai keintelektualan, kegiatan fizikal yang melahirkan jasad yang sihat dan latihan diri memupuk kebiasaan akhlak yang mahmudah. Supaya perkara yang disebatikan pada usia muda ini menjadi asas lahirnya individu muslim yang istiqamah sewaktu usia dewasanya.

Kebiasaan yang berlaku ialah momentum semangat yang berkobar-kobar sewaktu awal Ramadhan yangtidak mampu dikekalkan dan kebiasaannya menjadi longlai ketika menuju akhir Ramadhan. Sedangkan pada waktu inilah Allah menjanjikan kepada hamba-Nya pembebasan daripada api neraka yang sepatutnya menjadi motivasi untuk kita semakin kuat berusaha menuju redha Allah. Keadaan ini mesti diatasi dan dalam kehidupan seharian pun kegagalan untuk beramal yang diikat sekali dengan istiqamah akan menjadi suatu kelemahan yang besar yang akhirnya tidak akan membawa kita kepada kejayaan.

Menulis kata-kata indah di wall Facebook sangat mudah sekadar memakan masa beberapa saat tetapi mempraktikkan apa yang ditulis itu jauh lebih sukar. Namun demikian untuk Ramadhan kali ini kita mendoakan supaya mudah-mudahan Allah melahirkan kita selepas Ramadhan sebagai insan yang baharu, ya’ni bersih dirinya daripada kekotoran dosa yang menggelapkan hati dan bersiap siaga menjadi mahasiswa yang kuat dan berkualiti yang keluar memberi sumbangan kepada agama dan masyrakat keseluruhannya. Siiru ‘Ala Barakatillah, Wallahua’lam.

'Abdul Muntaqim
Doctor-To-Be,
IIUM Kuantan.

No comments:

Post a Comment