Monday, 2 July 2012

Belia & Negara

Syabab al-yaum Qodat al-mustaqbal”. Pemuda pada hari ini adalah pemimpin akan datang., satu pepatah arab yang menggambarkan betapa peri pentingnya pembentukan perjalanan seorang pemuda sejak masa mudanya kini demi memastikan kelangsungan tampuk kepimpinan yang mendatang.

Manusia, adalah makhluk yang hidupnya berkelompok dan berorganisasi, dan dalam mana-mana organisasi, syarikat, pertubuhan malah Negara amat menagihkan tenaga kerja manusia (human resources)   yang muda, bertenaga, bijak , dan mempunyai nilai yang luhur dan murni. Justeru, penekanan aspek pembentukan (development) seorang pemuda adalah antara pra-syarat kemunculan generasi pemimpin yang matang,berkaliber dan berperibadi luhur. Bak kata pepatah “ bagaimana acuan begitulah kuihnya”, andai belia diisi dengan segala macam kebaikan, maka moleklah masa depan negaranyanya dan begitulah sebaliknya.

 GAMIS Pahang selaku sebuah badan yang mewakili anak muda belia yang berada di Universiti menyatakan sokongan sepenuhnya kepada mana-mana pihak yang bersungguh dalam membantu, menyedia dan membekalkan anak-anak muda dengan program dan pengisian yang bersifat mendidik samada melalui institusi pendidikan, program dan aktiviti luar.
Baru-baru ini, umum mengetahui akan penganjuran sambutan Hari Belia Negara bertempat di Putrajaya pada  23 hingga 27 Mei 2012. Program yang dinamakan “Himpunan Jutaan Belia” ini tidak dinafikan mempunyai pelbagai aktiviti dan manfaat yang boleh diambil selaku belia seperti   booth-booth kerjaya dan pengajian tinggi, jambori, pengisian rohani, kolokium, ceramah motivasi, pertandingan-pertandingan nasyid dan tilawah al-Quran.
Pun begitu, program ini tampak sedikit calar yang tertimbul disamping pelbagai kebaikan yang disediakan, penganjuran konsert dari artis Antarabangsa yang merupakan salah satu aktiviti di dalam Program Himpunan Jutaan Belia yang mengundang artis K-POP dan Jepun dilihat seakan menyubur budaya kurang sihat dikalangan belia.
GAMIS Pahang melihat serius isu ini sebagai satu teguran dan muhasabah buat pihak Majlis Belia Negara selaku penganjur program dan pihak kerajaan sendiri supaya lebih sensitif dengan hal yang berkaitan pembentukan akhlaq dan minda belia yang bersih dari anasir yang bersifat rendah moral, berpaksi hedonism dan jauh dari norma agama dan budaya timur. Pimpinan Negara seharusnya mencontohi sebagaimana baginda Rasul SAW membentuk generasi muda dikalangan sahabatnya yang merupakan model pendidikan terbaik sepanjang zaman.

Sejarah telah membuktikan bagaimana kader-kader yang direkrut oleh Utusan Besar Allah, Nabi Muhammad SAW di zaman awal penyebaran Islam terdiri dari golongan muda yang faham, taat , berpengaruh, malah bertenaga dalam membentangi dan menyebar luas ajaran Ilahi. Tokoh seperti Abu Bakr As-Siddiq dan Umar Al-Khattab adalah merupakan antara tokoh pemuda yang senantiasa mendampingi Baginda dalam melicinkan tugasannya.

Rakaman sejarah juga menyaksikan kisah 7 pemuda Al-Kahfi yang diceritakan dengan cukup indah dalam Al-Quran seakan mengangkat nama kelompok PEMUDA yang berani menyatakan yang Haq sekalipun tahu akan binasa yang bakal menimpa. 7 pemuda ini dengan penuh cekal tampil berani dalam perkara kebenaran yang diyakini dengan penuh kesungguhan.


Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda
yang beriman kepada Tuhan mereka
dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.
- Al-Kahfi: 13


Melalui sirah dan sejarah di atas, Kita dapat simpulkan pemuda punyai potensi yang cukup besar dalam membangun dan menggerakkan sesebuah organisasi ke arah yang lebih positif. Cumanya, mereka perlu dicatur dan diatur dalam kerangka pembentukan yang bersifat mendidik, pembelajaran yang efektif dan menyantuni akhlaq al-karimah (akhlaq yang mulia) disamping menjauhi perkara yang boleh mencemar kebaikan yang terkandung di dalamnya.

Justeru, kerajaan dan pihak yang berautoriti dalam soal pembentukan pemuda termasuk Majlia Belia Negara dan Institusi Pendidikan serta seluruh individu yang terlibat samada secara langsung atau tidak langsung perlu mengambil langkah yang tepat dan mematuhi kerangka pembentukan yang holistik dari segi intelektual, jasmani dan syakhsiah menjadi penekanan.
Kami di GAMIS Pahang juga mengingatkan dan menyeru agar tiada lagi kejadian yang seumpama ini timbul kerana ia boleh menjejaskan dan merencatkan proses pembentukan belia Negara kearah yang lebih positif dan berintegriti dalam mewarisi kepimpinan negara.

Sekian.
Salam Hormat dan Selamat Hari Belia.
BELIA PEMANGKIN NEGARA.

Gamis Pahang

No comments:

Post a Comment