Monday 31 December 2012

Selamat Tahun Baru 2013

2013: Tahun Perubahan!

Sama-sama mewarnai wajah Malaysia yang lebih cemerlang



Tinta Ulamak: Diskusi Buku "Bingkisan Fikrah Pejuang"

Diskusi Buku "Bingkisan Fikrah Pejuang"

Syeikh Zainol Asri Muhd Ramli, Mudir Maahad Darul Hadith

Ahad, 13 Januari 2013

Masjid Tengku Ampuan Afzan (MASTAF) Indera Mahkota 2

8.00 pagi - 1.00 Tengah hari 

Anak Muda Cintai Ulama'

Terbuka Untuk Semua


Saturday 22 December 2012

GAMIS PAHANG KE LAPANGAN MASSA

   Berkata Imam As – Syahid Hassan Al Banna , Pemuda di setiap umat adalah kunci kebangkitannya” dan pernah berkata juga Bung Karno dalam ucapannya, “Berikan aku 1000 orang tua, nescaya akan kucabut gunung Semeru, berikan aku 10 pemuda nescaya akan kugoncangkan dunia”.

   Menyedari hakikat bahawa anak muda adalah asset penting dalam pembangunan individu, masyarakat dan negara Islam, maka Gamis Pahang menampilkan inisiatif sihat dan segar untuk terlibat dalam pembentukan karekter, jiwa dan pemikiran anak muda ini.

    Alhamdulillah, seinfiniti kesyukuran dirafa’kan kepada Allah s.w.t atas segala rahmat dan izinNya, maka program Bual Santai Anak Muda Pahang telah berjaya dijalankan dengan jayanya pada 25 November 2012 yang lalu. Program yang julung kali diadakan ini adalah bertemakan ‘Gua Hijrah Gua Ok!’ merupakan tema yang meraikan jiwa anak muda yang dinamik dan sukakan pembaharuan. Program ini juga bertujuan untuk mendekati hati-hati anak muda sekaligus mendekatkan mereka kepada nilai-nilai sebenar dalam Islam.
Misi menawan  hati anak muda  kali ini menggunakan pendekatan ‘santai’ tetapi ‘ilmiah’, ‘mendidik sambil menghibur’ yang sangat cocok dengan jiwa dan citarasa mereka.
Program ini bermula dengan forum santai bertajuk ‘Hiburan dan pergaulan dalam Islam’ yang membariskan dua orang ahli panel yang hebat iaitu Al-Ustaz Felza Zulhibri (Pensyarah UIAM), saudari Thohiroh Sufi (aktivis muslimah muda) dan seorang moderator yang cukup bertenaga, Mohd Hilmi Hamdan (aktivis mahasiswa). 


Barisan ahli panel  
Ucapan pengerusi Gamis Pahang
Tuan moderator
   Bukan sahaja istimewa untuk anak muda, bahkan  program  ini tampil menonjolkan kelainan tersendiri dimana ianya diadakan di sebuah restoran terbuka di Bandar Indera Mahkota yang sangat strategik sebagai tempat berkumpul dan lepak anak muda. Selain itu, ianya juga berdekatan dengan kolej kediaman pelajar IPTA/IPTS di Kuantan khususnya UIAM, SHAHPUTRA, POLISAS dan lain-lain seperti UMP, KIPSAS dan IKIP.   
   Persembahan yang mantap daripada IPPO BAND telah menambahkan lagi keceriaan kepada majlis. Hadirin dipersembahkan dengan beberapa buah lagu mendidik jiwa yang sangat bertepatan dengan ciri-ciri hiburan yang dibenarkan dalam Islam.
 Walaupun pada awalnya pihak urusetia berdepan risiko kekurangan sambutan terhadap program disebabkan ianya bertembung dengan perlawanan besar Piala AFF Suzuki Malaysia melawan Singapura, Alhamdulillah sambutan terhadap program sangat menggalakkan di mana dianggarkan seramai 200 orang pengunjung yang hadir pada malam tersebut.
Antara hadirin yg hadir

Pengunjung muslimat

 Dalam kegembiraan dan keceriaan majlis, agenda terbesar GAMIS PAHANG pada malam tersebut adalah pelancaran TABUNG GAZA yang dirasmikan oleh pemilik restoran. Alhamdulillah, kutipan pada malam itu mencecah RM 2000. Insya Allah, pihak GAMIS PAHANG akan menyalurkan derma terkumpul ini kepada NGO yang diiktiraf. Jazakallahu khairan jaza’ kepada seluruh muslimin-muslimat yang telah menyumbang. Semoga sumbangan kita itu bukan sahaja sebagai amal jariah tetapi sebagai tanda cinta dan prihatin kita kepada saudara sesama Islam kita di Gazzah.
 Semoga Gamis Pahang akan terus mendepani gerakan anak muda di Pahang demi kepentingan Islam sejagat di masa – masa yang akan datang.  

Bergambar bersama IPPO BAND
Barisan komiti 
 Wassalam..

Monday 19 November 2012

Cinta Palestin kerana Aqidah




"KHAIBAR, khaibar ya Yahud! Jaysyu Muhammad Saya'uud ..! Asy-Sya'b yurid tahrir filastiin!!! "

‘’Ingatlah perang Khaibar wahai kaum Yahudi. Sesungguhnya pasukan Muhammad akan kembali mengalahkan kamu. Masyarakat menginginkan kemerdekaan Palestin’’ Begitulah di antara teriakan-teriakan jemaah solat Jumaat di Masjid Al-Azhar Mesir, beberapa jam lalu waktu Kaherah, setelah mendengar khutbah Jumaat Syeikh Yusuf Qaradhawi, ketua Persatuan Ulama Islam se-dunia.

Palestin bergolak lagi.Gaza bermandi darah saban waktu.Mayat pejuang syahid ‎bergelimpangan di merata tempat.Laungan ‘Allahuakbar’ menjadi melodi indah.Kain kafan menjadi murah.Baju itu satu-satunya dipakai kali terakhir,baju itu jua yang menjadi kain kafannya.

Saat kita mencipta mimpi berlapikkan bantal yang empuk,mereka berjaga menantikan mimpi ngeri mengusir pergi.Saat kita berjuang dengan senjata pena untuk peperiksaan dan timbunan assignment  yang menanti duedate nya,mereka berjuang dengan apa sahaja senjata yang bisa digapai untuk peperangan yang berpanjangan dan tiada kesudahan.Yang pasti duedate mereka sama ada mati syahid atau menang. 

Sambutan tahun baru Hijrah 1434 di Gaza dicemari dengan serangan peluru berpandu Zionis Israel laknatullah. Serangan bermula dengan pembunuhan seorang anak Palestin berusia 13 tahun yang sedang bermain bola oleh askar Zionis di Khan Younis, Gaza. Setakat kenyataan ini ditulis, 46 Penduduk Gaza telah syahid termasuk kanak-kanak berusia 11 bulan hingga 13 tahun.11 darinya adalah kanak-kanak, 3 wanita, dan 4 golongan yang berusia. Selebihnya adalah pemuda dalam serangan ‘’Pillar Of Cloud’’. Jumlah yang cedera dianggarkan seramai 270 orang. Jumlah kanak-kanak yang cedera adalah seramai 450 orang, wanita 96 orang manakala selebihnya golongan pemuda.Itu perkembangan bertarikh 17 November 2012.Bagaimana dengan sekarang? Tidak mungkin angkanya berkurang melainkan bertambah!

Apakah kita hanya memandang nilai angka itu dan menarik muka kasihan tanpa berbuat apa-apa? Apakah cukup kita merasakan apa yang dideritai mereka itu derita kita juga? Apakah jiwa tidak terusik untuk melakukan sesuatu buat mereka? Apakah rasa kesedihan membanjiri hati kita tanpa kita mencari perahu solusi di atas kebejatan pihak Yahudi Laknatullah ini ? Lupakah kita akan sabda Kekasih Agung sesama Muslim adalah bersaudara tanpa mengira bangsa,agama dan negara? :

Dari Abu Hurairah Ra berkata:
“Rasulullah SAW bersabda: “Seorang muslim adalah saudara sesama muslim, tidak boleh menganiaya sesamanya, tidak boleh membiarkannya teraniaya dan tidak boleh merendahkannya. Taqwa (kepatuhan kepada Allah) itu letaknya disini….” Dan beliau mengisyaratkan ke dadanya. Perkataan ini diulanginya sampai tiga kali. ”Cukup besar kesalahan seseorang, apabila dia menghinakan (merendahkan) saudaranya sesama muslim. Setiap muslim terhadap sesame muslim, terlarang menumpahkan darahnya (membunuh atau melukai), merampas hartanya dan merusak kehormatannya (nama baiknya).”

Sebagai Mahasiswa apa peranan yang boleh dimainkan kita? Mari kita selamilah kata-kata nasihat dari Syeikh Ahmad Yassin ini,pengasas HAMAS dan pejuang palestin yang disegani dunia. 

Pesanan Syeikh Ahmad Yasin kepada para pemuda dan pemudi :

Wahai anak-anakku, telah tiba saatnya kalian kembali kepada ALLAH swt dengan meninggalkan pelbagai keseronokan dan kealpaan kehidupan dan menyingkirkannya jauh daripada kehidupan kamu. Telah tiba saatnya kalian bangun dan melakukan solat subuh secara berjemaah. Sudah sampai saatnya untuk kalian menghiasi diri dengan akhlak yang mulia, mengamalkan kandungan al-Quran serta mencontohi kehidupan Nabi Muhammad saw.

aku menyeru kamu wahai anak-anakku untuk solat tepat pada waktunya. Lebih dari itu, aku mengajak kalian wahai anak-anakku, untuk mendekat diri kepada sunnah Nabi kalian yang agung.

para pemuda, aku ingin kamu menyedari dan menghayati makna tanggungjawab. Kalian harus tegar menghadapi kesulitan hidup dengan meninggalkan keluh kesah. Aku menyeru kamu untuk menghadap ALLAH SWT dan memohon keampunan dari-Nya agar Dia memberi rezeki yang berkat kepada kamu. Aku menyeru kamu supaya menghormati orang yang lebih tua dan menyayangi orang yang lebih muda.

aku ingin kamu tidak tertidur oleh alunan-alunan muzik yang melalaikan, melupakan kata-kata yang menyebutkan cinta kepada manusia dan dunia serta menggantikannya dengan kata amal, kerja dan zikir kepada ALLAH. Wahai anak-anakku, aku amat berharap kamu tidak sibuk dengan muzik dan tidak terjerumus ke dalam arus syahwat.

wahai puteriku , aku ingin kamu berjanji kepada ALLAH akan mengenakan hijab secara jujur dan betul. Aku meminta kamu berjanji kepada ALLAH bahawa kamu akan mengambil peduli tentang agama dan Nabi kalian yang mulia. Jadikanlah ibunda kamu, Khadijah dan Aisyah, sebagai teladan. Jadikan mereka sebagai pelita hidup kamu. Haram hukumnya bagi kamu untuk melakukan sesuatu yang boleh menarik perhatian pemuda supaya mendekati kalian.

Apa yang dapat penulis simpulkan melalui kata-kata amanat dari Pengasas HAMAS ini ialah mengikut pandangan penulis yang kerdil dari sudut peranan mahasiswa ialah:

1)        SOLAT BERJEMAAH DI MASJID TERUTAMA SOLAT SUBUH BERJEMAAH
Bagi penulis,jemaah yang bakal mengalahkan pihak Yahudi ini bukan Jemaah PAS,UMNO,PKR dan sebagainya namun jemaah yang menggerunkan pihak Yahudi adalah jemaah Subuh di masjid-masjid dan surau-surau.Imarahkanlah masjid-masjid dengan jejak kaki kalian dengan solat di sana.Mari kita teliti ayat-ayat cinta dari ALLAH Subhana Wa Ta’ala dalam surah At Taubah ,9:18:

Maksudnya:  “Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada ALLAH dan hari kemudian,serta tetap mendirikan solat,menunaikan zakat dan tidak takut (kepada sesiapa pun) selain kepada ALLAH.Maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.

Dalam buku Misteri Solat Subuh karangan Dr. Raghib as Sirjani menukilkan,’’ pernah salah seorang penguasa Yahudi menyatakan bahawa mereka tidak takut dengan orang Islam kecuali satu hal berlaku yakni apabila jumlah solat Subuh menyamai jumlah jemaah solat Jumaat.Demontrasi yang terbaik adalah demontrasi solat Subuh secara berjamaah di masjid-masjid !

2)        BELAJAR DENGAN ITQAN DAN ADAB.
Sebagai seorang mahasiswa, dan juga memegang taklif sebagai seorang pelajar haruslah berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam apa jua bidang pelajaran yang diceburinya baik ilmu dunia atau ilmu akhirat.Bahkan penuntut ilmu mestilah bersungguh-sungguh menjaga adab dan etika dan disiplin dalam pembelajaran bagi mendapatkan natijah ilmu yang benar-benar memberi manfaat dan mendatangkan keberkatan dalam kehidupan.Jaga adab dengan guru.Jauhi maksiat kerana ilmu itu umpama cahaya maka ia tidak akan memasuki hati yang dikotori dengan kegelapan maksiat.

Al Imam Nawawi berkata di dalam Muqadimah kitab Syarah al Muhazzab :’’ Semestinya seseorang penuntut ilmu itu mensucikan hatinya dari kotoran agar layak untuk menerima ilmu,menghafalnya dan mendapatkan buahnya.’’.Bahkan berkata Sayyiduna al Imam Abdullah Ibn ‘Alawi al Haddad seperti yang diceritakan kembali oleh guru penulis al Fadhil al Mukarram Ustaz Muhadir Haji Joll mengenai kepentingan membersihkan hati dari sifat-sifat yang tercela: ‘’Sekiranya kamu datang dengan membawa sebuah bekas yang kotor kepada seseorang untuk mendapatkan minyak,madu,atau seumpamanya,maka dia akan berkata kepadamu,’’Pergilah kamu membasuh bekas itu dahulu.’’ (Sumber : Kitab Adab dan Doa Penuntut Ilmu,Sheikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin al  Maliki)

Pentingnya kesungguhan dan adab dalam menuntut ilmu adalah supaya kita mendapatkan keberkatan dalam ilmu tersebut.Maka ilmu yang berkat dapat memberi manfaat untuk kepentingan umat manusia sejagat.Ini adalah matlamat jangka panjang kita.Suatu hari nani kita dapat menggunakan kepakaran dalam bidang ilmu masing-masing untuk membantu saudara seIslam di Palestin sana.Salurkan ilmu yang kita ada ke arah matlamat yang terarah untuk membantu Palestin.

Ketika Tentera Zionis laknatullah menyerang Semenanjung Gaza, kumpulan Anonymous mengistiharkan "Operation Israel".
Berita terkini (17 Nov), hampir 550 website kerajaan haram Israel telah diambil alih oleh Anonymous, pangkalan data dipadamkan, memecah masuk akaun peribadi dan merosakkan sistem internet kerajaan haram Israel.

3)        JAGA MAKAN,MINUM,PAKAIAN DARI SUMBER HARAM DAN SYUBHAT
Mari kita sama-sama selusuri ayat-ayat cinta dari Rasul Illahi dari Abu Hurairah radhiallahuanhu:

“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Allah itu Maha Baik dan tidak menerima kecuali yang baik. Sesungguhnya Allah Ta’ala memerintahkan kaum mukminin dengan perintah yang juga Dia tujukan kepada para rasul, “Hai rasul-rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang saleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (QS. Al-Mukminun: 51)” 

dan Dia juga berfirman, “Hai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar kepada-Nya kamu menyembah. (QS. Al-Baqarah: 172)” 

Kemudian beliau menyebutkan seseorang yang letih dalam perjalanannya, rambutnya berantakan, dan kakinya berpasir, seraya dia menengadahkan kedua tanganya ke langit dan berkata, “Wahai Rabbku, wahai Rabbku.” Padahal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, dan dia diberi makan dari yang haram, maka bagaimana mungkin doanya akan dikabulkan. (HR. Muslim no. 1015).

Makan,minum atau pakaian dari sumber yang haram akan ditolak doanya oleh ALLAH.Saban hari kita berdoa qunut Nazilah khususnya untuk Palestin,apakah kita merasakan doa kita didengar dan dikabulkan oleh ALLAH atau tidak. Diriwayatkan daripada Ikrimah bin Ammar dari al-Asfar, beliau bertanya kepada Sa’ad bin Abi Waqqas: “Apakah faktor menyebabkan doamu diterima oleh Allah dikalangan para sahabat Rasulullah? Kata Sa’ad: aku tidak menyuap kedalam mulutku melainkan setelah aku pasti dari mana sumbernya”.

Seorang mahasiswa harus mengambil cakna tentang apa jua makanan,minuman yang disuapkan ke mulut mereka.Meskipun ia halal,bagaimana pula sumber makanan itu didapati?Matlamat tidak menghalalkan cara.Niat kita untuk mengenyangkan perut tidak menghalalkan kita untuk mencari makanan itu dari sumber yang haram.Atau sumber yang akhirnya memberi kebaikan kepada pihak Yahudi Laknatullah khususnya.Makanan itu akan mendarah daging dalam badan.Akibatnya belajar tidak berkat,ilmu tidak melekat,hafal tersekat-sekat,usir keredaan ALLAH yang Maha Dekat.

Israel adalah makhluq Allah yang cintakan dunia. Perkara yang menakutkan mereka adalah apabila ekonomi mereka jatuh.Israel tidak takut apabila demontrasi atau protes.Mereka  cuma takut apabila ekonomi mereka jatuh menjunam.Penyelesaian terbaik adalah boikot produl Israel.Usaha memboikot restoran McDonald, Starbucks, Coco-Cola dan produk-produk yang sudah terbukti dengan jelas memberi bantuan dan sokongan sama ada secara langsung atau tidak kepada negara haram Israel adalah salah satu usaha penting dalam menunjukkan solidariti kita kepada Palestin.   

Fatwa-Fatwa Kontemporari Syeikh Yusof al-Qaradawi, dalam buku itu menyebut: Dalam boikot, ada tujuan lain selain ekonomi. Gerakan ini merupakan pendidikan bagi umat Islam untuk membebaskan diri dari perhambaan terhadap selera orang lain, yang mengajar untuk terlalu bergantung pada sesuatu yang tidak bermanfaat dan mengandungi bahaya (maksudnya: jangan terlalu bergantung pada produk mereka).Boikot juga sebagai suatu aksi persaudaraan dan penyatuan umat Islam. Kita tidak akan mengkhianati saudara-saudara kita yg menjadi korban setiap hari dengan beri keuntungan pada musuh.Bahkan ia adalah suatu perlawanan pasif yang mendukung perlawanan aktif yg sedang dilakukan oleh saudara-saudara kita di tanah para nabi dan bumi jihad, Palestin.

Kesimpulan
Ini hanya sebahagian sahaja peranan yang boleh diambil oleh mahasiswa ke atas respons isu Palestin.Sememangnya mahasiswa Islam memegang tanggungjawab yang besar dalam menyiapkan diri menghadapi cabaran mendatang. Isu Palestine bukan isu negara namun isu Ummah.Di sana terletak Masjidil Aqsa,tempat Isra’ Rasulullah sebelum diMi’rajkan ke langit. Memetik kata-kata dari ulama kontemporari Sheikh  Yusof al Qaradaw:"Jika orang-orang Yahudi menganggap diri mereka sebagai tentera yang mendukung negara Israel dengan seluruh kemampuan mereka, maka seluruh umat Islam seluruh dunia juga merupakan tentera untuk bebaskan Masjidil Aqsa dan bantu Palestine dengan seluruh jiwa dan raga!". Wallahua’alam bisowab.

Tuesday 23 October 2012

MCA CETUSKAN SENTIMEN AGAMA; HENTIKAN POLITIK ORANG SAKIT

HAKIKAT POLITIK ORANG SAKIT                                           
  1. Hidup orang sakit tidak sama dengan orang yang sihat. Orang yang sakit lebih-lebih lagi sudah parah akan sentiasa meracau dan mengamuk tidak tentu hala. Tambahan pula sakitnya makin kronik dan menuju ke penghujung usia. 
  2. Kenyataan-kenyataan MCA akhir-akhir ini menggambarkan secara jelas parti perkauman Cina tersebut  berada dalam kritikal dan kronik. Masa depan orang yang sakit ini makin gelap dan harapan untuk sembuh kembali sudah tipis.
  3. Apabila di tahap ini, makan dan minum perlu disuap, kalau hendak bergerak perlu diangkat, organ-organ dah hilang keupayaan untuk berfungsi, mata dah kabur, perlukan alat bantuan pernafasan dan perlu dimasukkan dalam wad ICU dan CCU.      

KENYATAAN NEGATIF MCA MENCEMARKAN KEHARMONIAN NEGARA
  1. Walaupun sudah lebih 55 tahun usia MCA bersahabat baik dengan UMNO yang dikatakan memperjuangkan Islam dan Melayu, MCA seolah-olah terlalu jahil akan Islam dan masih tebal suntikan sentimen anti-Islam.
  2. Walaupun sudah lebih 55 tahun usia MCA bersahabat baik dengan UMNO yang dikatakan memperjuangkan Islam dan Melayu, MCA masih lagi tidak pandai untuk menghormati orang Islam dan hak-hak kewajipan orang Islam.
  3. Kenyataan tidak berfikir panjang oleh Chua Soi Lek yang mengatakan jika hukum hudud dilaksanakan menyebabkan 1.2 juta rakyat negara ini akan kehilangan pekerjaan akibat permis tempat mereka berkerja seperti kelab malam, perjudian dan sebagainya ditutup adalah tidak wajar. Jelas sekali pernyataan Chua Soi Lek itu merupakan kenyataan hasutan dan tidak wajar dilakukan oleh seorang pemimpin besar parti. Kenyataan sebegini menggambarkan Chua Soi Lek tidak layak untuk menjadi pemimpin kepada Malaysia yang mempunyai kepelbagaian agama.
  4. Dalam ucapannya di perhimpunan Agung MCA ke-59 yang berlangsung 20 – 21 Oktober 2012 pula, Chua Soi Lek berkata 8 daripada 11 negara yang melaksanakan hudud dianggap sebagai antara negara paling korup, tidak stabil dan tidak selamat.
  5. Salah faham terhadap islam makin ketara dalam kalangan pemimpin MCA apabila Naib Pengerusi Wanita MCA Heng Seai Kie mendakwa PAS membenarkan merogol wanita bukan Islam sekiranya mereka tidak mematuhi kod etika pakaian Islam. Kenyataan beliau berdasarkan video Ucapan Mursyidul Am PAS, Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. 

MAHASISWA KURANG YAKIN DENGAN PERANAN UMNO 
  1. Sebenarnya MCA mempunyai peluang lebih luas untuk mengenali juzuk-juzuk Islam berbanding dengan DAP. Bukankah usia MCA bersahabat dengan UMNO yang menjadi kerajaan sudah lebih 55 tahun.
  2. UMNO yang menjadi telah berjaya menjadi kerajaan Malaysia sebenarnya mempunyai peluang dan ruang yang banyak untuk menyampaikan mesej-mesej dakwah Islam. Institusi-institusi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yayasan-yayasan Dakwah, Pusat Tamadun Islam dan Institut Kefahaman Islam, Majlis Agama Negeri, Mufti dan ILMU banyak lagi organisasi-organisasi Islam yang bernaung dibawah kerajaan tidak mampu untuk menyampaikan mesej yang jelas tentang Islam. Mahasiswa risau sekiranya institusi-institusi ini hanyalah dijadikan benteng pelindung kepada UMNO dan hanya menjadi alat untuk UMNO untuk melancarkan peluru kepada lawan politik.
  3. Sepatutnya UMNO sebagai salah satu komponen parti yang menjadi kerajaan perlu mengambil kesempatan segala kemudahan yang ada itu memberi faham kepada MCA dan non muslim mengenai keadilan syariat Islam dan sejarah tamadun Islam yang gemilang

SESI PENERANGAN PERLU DILAKSANAKAN
  1. Justeru, pandangan skeptikal MCA kepada undang-undang Islam tidak mampu diubah selagi mana MCA terus menjalinkan persahabatan erat dengan UMNO.
  2. Bagi memastikan keharmonian agama di Malaysia, MCA perlu bersedia untuk berada semeja untuk membincang secara telus dan mendapatkan penjelasan secara tepat mengenai undang-undang Islam.
  3. Bagi memastikan keharmonian agama di Malaysia, GAMIS Pahang bersedia untuk meyediakan platform perbincangan kepada MCA Pahang untuk membincangkan isu salah faham hudud. Kami berbesar hati untuk mengatur pertemuan MCA Pahang dengan ilmuan-ilmuan politik Islam tanah air untuk membincangkan isu ini dari perspektif Islam yang tepat. 

AHMAD FATIHI MAKHTAR
PENGERUSI GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SEMALAYSIA NEGERI PAHANG
(GAMIS PAHANG)
Hubungi; gamisnegeripahang@gmail.com

Saturday 22 September 2012

PRK Pentas PRU: Tegakkan Empayar Islam di Universiti

“Belajar sambil mencabar.
Pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang.
Bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin.
Berpengalaman (mencabar) dan terpelajar”- Prof Ungku Aziz, 1973

Kehangatan pilihan raya kampus (PRK) kian terasa. Enjin dan kereta sudah dihidupkan. Sekarang sedang bersedia untuk memecut menuju destinasi. Selamat berjaya kepada semua calon yang bertanding, yang akan menjadi lidah suara pelajar yang lain untuk menjaga dan mempertahankan hak-hak mahasiswa. Merekalah yang akan meneruskan legasi kepimpinan mahasiswa yang bakal menentukan hala tuju kampus mereka nanti.

Benarkah mahasiswa mendapat hak yang adil dalam PRK?
Mungkin masih ramai masyarakat kampus yang tidak tahu apa itu PRK. Sebenarnya, PRK itu adalah satu medan politik kampus yang memberi kuasa penuh kepada mahasiswa untuk memilih pemimpin di kalangan mereka sendiri. Bermula dari penamaan calon, kempen dan manifesto, dan hari pengundian nanti, semuanya memerlukan keterlibatan daripada mahasiswa. PRK itu tanggungjawab mahasiswa!

Status ‘khalifah’ seumur hidup

Namun, bagi golongan mahasiswa yang berasa muak dan mual dengan isu politik murahan negara di media, mereka hanya memandang sepi isu berkaitan PRK ini. Bagi mereka, tiada politik sewaktu belajar. Jangan lupa mahasiswa, amanah kita sekarang bukan saja sebagai pelajar, bahkan kita adalah khalifah Allah di muka bumi dan status itu kekal selagi nyawa dikandung badan. Jika pelajar, tugasnya belajar, kalau khalifah tugasnya apa?? Jadi, menurut Imam Mawardi, “Khalifah= iqomatuddin wa siyasatu dunia bih. Tegakkan agama dan tadbir agama dengannya (dengan siasah atau politik)”.  Jadi mahasiswa, politik itu bukanlah sesuatu yang kotor. Bahkan urusan politik ini jelas terakam dalam sirah hidup baginda. Bagaimana sahabat-sahabat Nabi pada waktu itu berkumpul untuk memilih khalifah sebelum Baginda dikebumikan. 

Dan ada juga mentaliti kebanyakan mahasiswa yang menolak jauh ke tepi segala apa yang tidak berkaitan dengan akademik. Hidup seharian hanyalah 3K (kelas, komputer, katil). Sangat rugi bagi mahasiswa yang hidupnya hanya beriman dengan segulung ijazah. Ya, mereka boleh jadi pelajar cemerlang, tapi bukan jadi manusia cemerlang. Kerana manusia cemerlang itu bukan sahaja hebat di medan akademik, bahkan mereka hebat di segenap sudut; akhlak, ibadah, dan sosial. Mereka bukannya hidup seperti katak di bawah tempurung, tapi mereka hidup dalam satu masyarakat. Bila paha kanan dicubit, paha kiri turut merasa sakitnya. Kerana sabda Nabi ada mengatakan, “Bukanlah di kalanganan umatku iaitu orang tidak mengambil tahu urusan saudaranya yang lain”. Jika  mahasiswa era 80 an dulu dengan berani memperjuangkan hak-hak mahasiswa tanpa rasa kecut dan takut. Tapi mengapa mahasiswa hari ini makin lesu dan lemah? sedangkan zaman kita ini makin lengkap dengan teknologi serba canggih? Jadilah mahasiswa yang berani, optimis dan berhikmah.  

PRK pentas PRU

Jadi, kami menyeru pada semua mahasiswa agar peka dan tidak berkecuali untuk turun mengundi dalam PRK kali ini, dan juga Pilhan Raya Umum (PRU) yang akan menyusul kemudian. Ini tanggungjawab kita. Jika zaman Rasulullah s.a.w, semua anak muda yang berkemampuan diwajibkan untuk turun ke medan perang bagi kemenangan dan kemuliaan Islam. Tapi bagaimana anak muda Islam hari ini? Kita bukannya perlu turun bersama pedang dan tombak, tapi sekadar turun untuk memilih pemimpin yang baik agamanya, baik tingkah lakunya dan mampu kudratnya untuk menjadi pemimpin di kalangan masyarakat. Pilihlah pemimpin yang mengundang redha Allah, bukannya mengundang murka Allah. Pilihan di tangan anda!

Kecenderungan undi anak muda mampu menjadi sokongan moral kepada parti politik yang akan bertanding dalam PRU 13. PRK bukannya pilihanraya untuk memilih ketua kelas atau pengawas, tetapi PRK satu pentas persaingan politik yang matang dan kredebiliti. Pilihanraya kampus mestilah diurus dengan bersih, telus dan adil daripada tangan-tangan hantu yang ingin memanipulasikan kemenangan.

Sekiranya dalam PRU, parti-parti politik bertanding di padang tidak rata dan sistem pilihanraya yg dicabuli, dalam PRK, front-front mahasiswa turut bertanding di padang yg tidak rata dan sistem pilihanraya turut dimanipulasi. Peranan undi anda bukanlah kecil dan hanya untuk memenuhi tuntutan naluri, tetapi ianya mampu menentukan hak mahasiswa terus dipertahankan, hala tuju universiti diluruskan dengan cita-cita Islam dan yang paling besar memastikan visi dakwah, tarbiyah dan politik Islam terus disuburkan di bumi menara gading. 

Empayar Islam perlu ditegakkan di universiti. Selamat menunaikan amanah mengundi.

-Editor Majlis Dakwah GAMIS Pahang