Sunday 20 May 2012

YO! FEST 2012 NEGERI PAHANG DAN PEMBANGUNAN MODAL INSAN


YO! FEST 2012 NEGERI PAHANG DAN  PEMBANGUNAN MODAL INSAN

1.     Sekalung penghargaan dan tahniah kepada Kerajaan Negeri Pahang atas penganjuran Youth Festival (Yo!Fest) 2012 yang telah berlangsung dari 18 hingga 20 Mei 2012, di Taman Bandar Indera Mahkota Kuantan. Menurut laporan akhbar Sinar Harian, seramai 100 000 belia telah membanjiri Taman Bandar Indera Mahkota dalam program Yo Fest 2012 yang diadakan sempena sambutan Hari Belia Negara peringkat negeri.

2.      Pelbagai aktiviti yang telah dijalankan seperti persembahan Belon Udara Panas, Pertunjukkan Kereta dan Motor Berhias, Drif Drag, Capoeira, Nitro RC Car, Skyrunner, KMX Spider Drift, Drag Motor dan Kereta, X-Games, Karaoke, Kucing Cantik, pertandingan Ayam Serama, pertandingan bina badan dan sebagainya. Turut diadakan program-program berbentuk kerohanian termasuk Solat Hajat dan Tahlil, Seminar Usahawan Produk Halal, Kenduri Bersama Jabatan Mufti Pahang, Belia Berselawat, Soal Jawab Beliau Bersama Ustaz, Cerapat Langit Bersama Ahli Falak dan Karaoke Nasyid. Turut diadakan ialah Seminar Keusahawanan, Temuduga Terbuka daripada 30 buah syarikat yang turut serta dalam program itu nanti

3.      Kami berpandangan bahawa beberapa perkara dan aktiviti dalam Yo Fest perlu dinilai semula dan ditingkatkan kualitinya atas pertimbangan syariat dan pembangunan modal insan yang berteraskan dasar Islam sebagai ad-din (cara hidup). Kita bimbang sekiranya aktiviti-aktiviti yang diadakan hanyalah sekadar untuk belia berseronok dan berhibur semata-mata tanpa mampu membina jati diri sebenar belia. Hal ini mampu merosakkan lagi nilai hidup serta menjauhkan belia daripada kehidupan dan kefahaman Islam yang syumul (sempurna dan lengkap segala aspek kehidupan). 

4.      Sambutan yang kurang memberangsangkan belia terhadap program yang berunsurkan kerohanian adalah perkara yang perlu dirisaukan bersama. Masalah ini sebenarnya  melambangkan kualiti dan mutu belia negeri Pahang yang dibentuk pada hari. Petikan kata-kata Syeikh Yusuf Qardhawi “sekiranya kamu ingin melihat wajah negara pada masa akan datang, lihatlah bagimana cara hidup dan kualiti anak muda pada hari ini”. Kita risau sekiranya produk anak muda pada hari ini makin jauh dengan Islam dan tidak mampu untuk tadbir urus negara pada masa akan datang.

5.      Percampuran dan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan sangat tidak terkawal. Hal ini sebenarnya mampu merosakkan akhlak belia serta mampu membawa kepada perkara yang tidak sepatutnya. Lebih menyedihkan lagi, ada pasangan yang belum berkahwin bergembira di sekitar tapak program dari malam hingga pagi subuh. Aktiviti drift drag kereta yang sepatutnya tamat pukul 10 malam mengikut tentatif, berlanjutan sehingga pukul 1-2 pagi yang telah menggangu ketenteraman awam dan seolah-olah bertukar menjadi litar haram tanpa kawalan dari pihak penganjur. Selain daripada itu, belia terus dilekakan dengan aktiviti-aktiviti dan lagu-lagu rancak walaupun pada ketika itu azan sedang berkumandang. Sekurang-kurangnya, berhentilah seketika alunan lagu dan aktiviti  untuk memberi hormat dan laluan kepada solat. Lebih menarik lagi sekiranya ada ruang yang besar dan luas untuk belia menunaikan solat secara berjemaah di tempat program.

6.      Belia adalah aset negara yang sangat bernilai dan ianya mampu menjadi tidak bernilai sekiranya tidak diasuh dengan Islam. Acuan terbaik untuk membina golongan belia mestilah berlandaskan agama Allah swt. Kita bercita-cita untuk melahirkan golongan belia yang mampu berperanan dan memberi manfaat kepada masyarakat serta mampu memacu negara ke arah yang lebih baik. Tanpa kefahaman dan penghayatan Islam, jangan bermimpi untuk melahirkan belia yang cemerlang  dan seimbang dalam semua aspek kehidupan, mental, fizikal, rohani, dan sebagainya.  

7.      Tugas sebuah kerajaan bukan sahaja menyediakan kemudahan awam yang selesa,  kelengkapan infrastruktur asas, menjaga kebajikan, keadilan sosial dan  perlindungan keselamatan kepada rakyat, bahkan penting untuk kita fahami bahawa peranan sebuah kerajaan yang lebih besar adalah mengajak rakyat dan masyarakat supaya taat,  bertaqwa dan beriman kepada Allah serta mentadbir dan memerintah berlandaskan Islam. Kerajaan bertanggungjwab untuk menjalankan kerja amar makruf nahi mungkar dan tidak menyuburkan tempat-tempat maksiat yang akan mengundang kepada kejatuhan nilai hidup golongan belia. Firman Allah swt yang bermaksud:

 "Iaitu mereka (umat Islam) yang jika kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar, Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan" (Al Hajj: 41).

8.      GAMIS Pahang memandang serius terhadap pembangunan belia di negeri ini. Kami bersedia untuk berganding bahu dengan mana-mana pertubuhan kerajaan, NGO atau parti politik untuk sama-sama membina anak muda yang berkualiti dan mempunyai jati diri Islam yang kukuh.

"GAMIS, Inspirasi Anak Muda"


AHMAD FATIHI MAKHTAR
Pengerusi Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia Negeri Pahang (GAMIS Pahang)
http://gamispahang.blogspot.com/