Saturday, 22 September 2012

PRK Pentas PRU: Tegakkan Empayar Islam di Universiti

“Belajar sambil mencabar.
Pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang.
Bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin.
Berpengalaman (mencabar) dan terpelajar”- Prof Ungku Aziz, 1973

Kehangatan pilihan raya kampus (PRK) kian terasa. Enjin dan kereta sudah dihidupkan. Sekarang sedang bersedia untuk memecut menuju destinasi. Selamat berjaya kepada semua calon yang bertanding, yang akan menjadi lidah suara pelajar yang lain untuk menjaga dan mempertahankan hak-hak mahasiswa. Merekalah yang akan meneruskan legasi kepimpinan mahasiswa yang bakal menentukan hala tuju kampus mereka nanti.

Benarkah mahasiswa mendapat hak yang adil dalam PRK?
Mungkin masih ramai masyarakat kampus yang tidak tahu apa itu PRK. Sebenarnya, PRK itu adalah satu medan politik kampus yang memberi kuasa penuh kepada mahasiswa untuk memilih pemimpin di kalangan mereka sendiri. Bermula dari penamaan calon, kempen dan manifesto, dan hari pengundian nanti, semuanya memerlukan keterlibatan daripada mahasiswa. PRK itu tanggungjawab mahasiswa!

Status ‘khalifah’ seumur hidup

Namun, bagi golongan mahasiswa yang berasa muak dan mual dengan isu politik murahan negara di media, mereka hanya memandang sepi isu berkaitan PRK ini. Bagi mereka, tiada politik sewaktu belajar. Jangan lupa mahasiswa, amanah kita sekarang bukan saja sebagai pelajar, bahkan kita adalah khalifah Allah di muka bumi dan status itu kekal selagi nyawa dikandung badan. Jika pelajar, tugasnya belajar, kalau khalifah tugasnya apa?? Jadi, menurut Imam Mawardi, “Khalifah= iqomatuddin wa siyasatu dunia bih. Tegakkan agama dan tadbir agama dengannya (dengan siasah atau politik)”.  Jadi mahasiswa, politik itu bukanlah sesuatu yang kotor. Bahkan urusan politik ini jelas terakam dalam sirah hidup baginda. Bagaimana sahabat-sahabat Nabi pada waktu itu berkumpul untuk memilih khalifah sebelum Baginda dikebumikan. 

Dan ada juga mentaliti kebanyakan mahasiswa yang menolak jauh ke tepi segala apa yang tidak berkaitan dengan akademik. Hidup seharian hanyalah 3K (kelas, komputer, katil). Sangat rugi bagi mahasiswa yang hidupnya hanya beriman dengan segulung ijazah. Ya, mereka boleh jadi pelajar cemerlang, tapi bukan jadi manusia cemerlang. Kerana manusia cemerlang itu bukan sahaja hebat di medan akademik, bahkan mereka hebat di segenap sudut; akhlak, ibadah, dan sosial. Mereka bukannya hidup seperti katak di bawah tempurung, tapi mereka hidup dalam satu masyarakat. Bila paha kanan dicubit, paha kiri turut merasa sakitnya. Kerana sabda Nabi ada mengatakan, “Bukanlah di kalanganan umatku iaitu orang tidak mengambil tahu urusan saudaranya yang lain”. Jika  mahasiswa era 80 an dulu dengan berani memperjuangkan hak-hak mahasiswa tanpa rasa kecut dan takut. Tapi mengapa mahasiswa hari ini makin lesu dan lemah? sedangkan zaman kita ini makin lengkap dengan teknologi serba canggih? Jadilah mahasiswa yang berani, optimis dan berhikmah.  

PRK pentas PRU

Jadi, kami menyeru pada semua mahasiswa agar peka dan tidak berkecuali untuk turun mengundi dalam PRK kali ini, dan juga Pilhan Raya Umum (PRU) yang akan menyusul kemudian. Ini tanggungjawab kita. Jika zaman Rasulullah s.a.w, semua anak muda yang berkemampuan diwajibkan untuk turun ke medan perang bagi kemenangan dan kemuliaan Islam. Tapi bagaimana anak muda Islam hari ini? Kita bukannya perlu turun bersama pedang dan tombak, tapi sekadar turun untuk memilih pemimpin yang baik agamanya, baik tingkah lakunya dan mampu kudratnya untuk menjadi pemimpin di kalangan masyarakat. Pilihlah pemimpin yang mengundang redha Allah, bukannya mengundang murka Allah. Pilihan di tangan anda!

Kecenderungan undi anak muda mampu menjadi sokongan moral kepada parti politik yang akan bertanding dalam PRU 13. PRK bukannya pilihanraya untuk memilih ketua kelas atau pengawas, tetapi PRK satu pentas persaingan politik yang matang dan kredebiliti. Pilihanraya kampus mestilah diurus dengan bersih, telus dan adil daripada tangan-tangan hantu yang ingin memanipulasikan kemenangan.

Sekiranya dalam PRU, parti-parti politik bertanding di padang tidak rata dan sistem pilihanraya yg dicabuli, dalam PRK, front-front mahasiswa turut bertanding di padang yg tidak rata dan sistem pilihanraya turut dimanipulasi. Peranan undi anda bukanlah kecil dan hanya untuk memenuhi tuntutan naluri, tetapi ianya mampu menentukan hak mahasiswa terus dipertahankan, hala tuju universiti diluruskan dengan cita-cita Islam dan yang paling besar memastikan visi dakwah, tarbiyah dan politik Islam terus disuburkan di bumi menara gading. 

Empayar Islam perlu ditegakkan di universiti. Selamat menunaikan amanah mengundi.

-Editor Majlis Dakwah GAMIS Pahang

No comments:

Post a Comment