Thursday, 30 August 2012

ERTI BEBAS-MERDEKA GENERASI-Y




 “ Kita akan mensyukuri nikmat merdeka ini…”, antara ucapan Bapa Kemerdekaan negara kita, Perdana Menteri yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sewaktu  memproklamasikan kemerdekaan Malaya pada 31 Ogos 1957, 55 tahun yang lepas.
                Erti merdeka menurut Kamus Dewan Edisi Keempat adalah bebas daripada penjajahan, kurungan, naungan dan lain-lain, atau lepas daripada tebusan dan tuntutan, berdiri sendiri dan tidak bergantung pada yang lain.
          Bagi anak muda generasi-Y yang tidak pernah melalui zaman di bawah pemerintahan British mahupun ketika Malaya bergelut mencapai kemerdekaan, hari sambutan kemerdekaan ini mempunyai makna yang jauh berbeza berbanding golongan warga emas yang umurnya menjangkau 60-an hari ini. Kanak-kanak sejak di bangku sekolah tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, institut pengajian tinggi sehingga yang bekerja akan didedahkan dengan pelbagai aktiviti patriotisme oleh institusi masing-masing bersempena hari memperingati kemerdekaan. 

       Tidak kurang juga ramai yang bergembira kerana tarikh 31 Ogos setiap tahun merupakan cuti umum. Seperti juga malam tahun baru, masyarakat terutama golongan remaja kebiasaannya akan berkumpul pada malam kemerdekaan di bandar-bandar utama negara bagi memeriahkan sambutan ini. Countdown 31 Ogos dan pertunjukan bunga api seolah-olah suatu kemestian pada setiap malam kemerdekaan. Tidak kurang juga dengan Perarakan Hari Kemerdekaan  serta Pertunjukan Kereta Berhias di ibu negara.
                Konklusinya, pelbagai pihak terutama kerajaan Malaysia melaksanakan pelbagai inisiatif dalam smenyambut Hari Kemerdekaan sebagai tanda kesyukuran bahawa rakyat di negara ini telah bebas daripada penjajahan negara luar. 

              Bagi anak muda generasi-Y yang tidak pernah melalui zaman di bawah pemerintahan British mahupun ketika Malaya bergelut mencapai kemerdekaan, mendengar ucapan sempena kemerdekaan sejak dari sekolah selalunya menekankan isi ucapan sama. Ucapan berkisar dengan perjuangan prajurit negara, pahlawan-pahlawan seperti Dato’ Mat Kilau, Tok Janggut, Bapa Kemerdekaan, kestimewaan negara kita yang aman walaupun masyarakatnya majmuk, berbilang kaum dan berbeza prinsip beragama. Namun begitu, sejauh manakah jiwa-jiwa yang meraikan sambutan ini mempunyai ‘jiwa merdeka’ serta menghayati erti bebas-merdeka?  

                Tahun-tahun kebelakangan ini menyaksikan pergelutan politik dan kebangkitan reformasi negara-negara Arab yang bermula di Iran, Mesir dan kini Syria. Manakala pelbagai bentuk penindasan dan kekejaman yang terus-terusan berlaku sama ada di Selatan Thailand mahupun Myanmar. Media massa utama mahupun alternatif sentiasa menyampaikan perkembangan nasib etnik Rohignya yang kian lama semakin teruk. Di tambah pula dengan setiap hari, bakal ada berita menyayat hati berkenaan saudara seislam di Palestin yang dirampas tempat berlindung dan di sekat daripada pelbagai  bantuan kebajikan.

Di sebelah muka bumi yang lain, fenomena saudara seislam yang cukup banyak menerangkan suasana belum merdeka, belum berdaulat dan tidak bebas kepada kita. Sewajarnya kestabilan sosial yang di kecapi di negara kita hari ini disyukuri.Firman Allah dalam Al-Quran,         

            إِنَّ الْأَرْضَ لِلَّهِ يُورِثُهَا مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ

"Sesungguhnya bumi (ini) kepunyaan Allah, diberikannya kepada siapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya (al A'raf:128). 

         Di sebalik segala kepayahan yang di hadapi para pejuang kemerdekaan negara, sesungguhnya keamanan hari ini bersifat sementara dan tidak lain-tidak bukan di pinjamkan kepada kita oleh Yang Maha Berkuasa. Justeru erti mensyukuri nikmat kemerdekaan bukanlah sekadar diraikan dengan bunga api dan perbarisan semata-mata, bahkan ia menuntut setiap warga negara memberikan komitmen yang lebih besar dari itu.

          Syukuri nikmat kemerdekaan dengan mengelak faktor runtuh keamanan negara. Dalam sejarah peradaban dunia pernah mencatat kekuatan kerajaan Islam yang hebat dan merangkumi hampir dua per tiga dunia pada suatu masa dahulu akhirnya hancur ketika kejatuhan Khilafah Othmaniah. Kejatuhan ini tidak berlaku hanya kerana satu peristiwa bahkan pelbagai alas an yang menyebabkan ia berlaku. Maka faktor kejatuhan ini harus diambil iktibar oleh semua. Komitmen setiap rakyat Malaysia terhadap keamanan negara juga adalah dengan berusaha dari mengelak perkara yang sama berlaku di negara kita.  

وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُوا إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
"…dan janganlan kamu bertelagah, nescaya kamu akan gagal dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar" (al Anfal :46).

Islam sangat berpesan supaya ikhlas kerana Allah semata-mata dalam percakapan, perbuatan dan hindarkan dari suka kemasyhuran dan pujian. Negara kita mengamalkan sistem demokrasi yang mana pemimpin negara dipilih daripada pelbagai parti politik yang berbeza ideologi melalui sistem Plihanraya Umum (PRU) yang di laksnakan pada setiap 5 tahun. Faktor pertama kejatuhan negara adalah melalui politik serta perebutan kuasa yang sangat di tegah dalam Islam. Justeru, politik negara kita haruslah sihat dan berlandas kepada ilmu.Sama ada ilmu dalam urusan pentadbiran dan politik begitu juga ilmu keagamaan.

 Dalam perlembagaan yang ada, setiap warga negara Malaysia yang berumur lebih 21 tahun wajib mendaftar dan membuang undi pada pilihanraya .Ini juga merupakan satu bentuk tanggungjawab dan cinta kepada negara. Saya kira kita tidak perlu menjadi seperti Negara Mesir yang mana warga negara yang tidak keluar mengundi akan di denda lebih kurang RM250 seorang, sekiranya semua rakyat melaksanakan tanggungjawab mereka.Yang adil dan layak memimpin perlu diangkat sebagai pemimpin. Metodologi pemilihan pemimpin harus telus dan dilaksanakan dengan berakhlak.Di dalam politik yang tidak berlandas kepada Islam akan berlaku komplot dan penganiyaan. Inilah yang membawa kepada perpecahan dan permusuhan. Berpolitiklah seperti Rasulullah dengan politik yang berakhlak dan mengasihi sesama manusia.    

Faktor kedua yang yang dinyatakan oleh Allah dengan firmannya:
وَإِذَا أَرَدْنَا أَنْ نُهْلِكَ قَرْيَةً أَمَرْنَا مُتْرَفِيهَا فَفَسَقُوا فِيهَا
فَحَقَّ عَلَيْهَا الْقَوْلُ فَدَمَّرْنَاهَا تَدْمِيرًا

"Dan jika kami hendak membinasakan negeri, maka kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri itu. Maka sudah sepatutnya berlaku terhadapnya ketentuan kami dan kemudian kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya". (al Isra':16) 

        Justeru dengan bermewah-mewahan dan leka dengan hiburan bakal merosakkan rakyat di negara kita. Hanya dengan berhibur dan berseronok, anak-anak muda akan hilang ghairah mencari ilmu, artis yang menghiburkan akan menjadi pilihan idola, masa yang terluang mahupun sibuk lebih di utamakan untuk hiburan. Jadikanlah nasihat kumpulan nasyid Raihan ini sebagai ingatan kepada kita dalam berpada-pada memilih dan berhibur. 

“Berhibur tiada salahnya,
kerana hiburan itu indah,
hanya apabila salah memilihnya,
 membuat kita jadi bersalah”

Pelajari sejarah hari semalam sebagai panduan hari esok. Ketika zaman kejatuhan negara Eropah selepas Perang Salib Kedua, Orang-orang di Eropah membina perhubungan dengan negara Islam melalui Andalusia. Hikmah dari perhubungan dua hala ini memberikan faedah sampingan kepada mereka iaitu kesedaran mental dan pemikiran. Mereka mengambil pelbagai ilmu pengetahuan yang begitu banyak dari Islam. Hasilnya telah lahir kebangkitan ilmu pengetahuan yang hebat. 

Pihak gereja telah bangun menyanggah fenomena ini dengan segala kekuatannya. Para sasterawan dan saintis telah disiksa kerana mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan ajaran Kristian. Orang ramai dirangsang supaya sama-sama menentang saintis ini. Tetapi kesemuanya ini sia-sia belaka kerana masyarakat bangkit dan menerima ilmu-ilmu tersebut. Ruang sains semakin meluas di kalangan masyarakat Eropah. Penciptaan dan jumpaan baru mula berkembang. Jentera-jentera mula menggandakan pengeluaran. Kehidupan mula berwajah baru, iaitu kehidupan industri. Serentak dengan ini negara mula menjadi kuat, kuasanya menjangkau ke negara-negara lain. Dunia telah berpaling mengadap Eropah dan mencurahkan segala hasil kepadanya. Segala harta benda datang melimpah dari segenap tempat.

         Tujuan saya merakamkan kisah zaman reinassance ini tidak lain adalah kerana ingin menekankan kepada rakan sewarga negara bahawa sesebuah negara tidak akan kemana melainkan dengan rakyat yang menguasai ilmu pengetahuan. Pemerintah, penggubal dasar negara, penguatkuasa sehingga buruh kasar sekalipun harus melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan.

قُلْ انْظُرُوا مَاذَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ

 "Katakanlah, perhatikanlah apa yang ada di langit dan bumi". (Yunus:101). 

Firman Allah ini seharusnya membuka mata dan pemikiran kita bahawa terdapat banyak ilmu yang harus di pelajari dan digunakan. Ilmu sains dan teknologi, pengurusan dan banyak lagi cabang ilmu mampu memartabatkan hidup sesebuah negara. Masyarakat yang mempunyai taraf ilmu yang rendah akan lebih terdedah kepada pelbagai bentuk penganiayaan serta penindasan pada hari ini.Keamanan dan kestabilan negara tidak mampu dijaga sekiranya jurang ilmu rakyat terlalu besar dan negara di perintah tanpa ilmu pengetauan dan nilai-nilai kemanusiaan dalam ilmu adab dan akhlak.  Bahkan pemimpin yang memimpin negara harus lebih berilmu supaya mampu menerajui kepimpinan dan menepati hak rakyat yang dipimpin dengan ilmu yang dimiliki. Bukankah generasi-Y hari ini yang bakal mengganti tampuk kepimpinan negara akan datang?

Malaysia berminda progresif. Faktor terakhir yang harus dijauhi sikap leka terhadap kekuatan sendiri dan cuai untuk mengkaji kemajuan masyarakat lain sehingga ketinggalan dalam arus perkembangan. Sebuah negara yang stabil dan aman akan mengambil peluang untuk memperkukuh pertahanan dan kemajuan negara. Contohilah semangat progresif rakyat di Negara Terbit Matahari, Jepun yang bangkit selepas peristiwa pengeboman Hiroshima dan Nagasaki. 

     Erti merdeka ini bukanlah seperti merdeka ayam yang  bererti bebas sama sekali dan boleh melakukan sesuatu sekehendak hati. Setiap perkara dalam hidup ada sempadannya. Dengan mematuhi sempadan ini yang meletakkan setiap kehidupan dalam keadaan yang teratur. Sebagai contoh, kenderaan di atas jalan raya mengikut landasan dan sempadan jalan masing-masing. Trafik pasti sesak sekiranya semua kenderaan mahu merdeka ayam. Syukuri kemerdekaan ini dengan politik berakhlak, bijak berhibur, rakyat berilmu, dan berminda progresif sebagai satu bentuk ibadah semata-mata kerana Allah.

PENGERUSI SIGMA PAHANG.
OGOS 2012. 

No comments:

Post a Comment