Thursday, 16 August 2012

55 Tahun Sambutan Kemerdekaan: Bagaimanakah Keadaan Anak Muda Kita?


         Tanggal 31 Ogos 2012 genaplah kemerdekaan negara yang ke-55 tahun. 55 Tahun Merdeka  Janji Ditepati menjadi tema pilihan sambutan kemerdekaan bagi tahun ini. Walaupun wujud pelbagai polemik serta pertikaian berkaitan pemilihan tema kemerdekaan pada kali ini, saya tidak berhasrat untuk mengulas lebih lanjut berkaitan perkara tersebut. Namun sebagai salah seorang anak muda saya merasa agak kecewa dan terkilan atas perkara yang berlaku. Sambutan kemerdekaan tidak sewajarnya dicemari dengan unsur-unsur politik yang mengambarkan kecenderungan terhadap mana-mana kepentingan parti politik, sewajarnya semangat kemerdekaan hendaklah diraikan oleh seluruh lapisan masyarakat Malaysia merentasi perbezaan ideologi politik,bangsa,agama dan keturunan.Sudah mencecah lebih 5 dekad usia kemerdekaan negara kita, sudah tiba masanya budaya politik baru diketengahkan yang bergerak dalam kerangka politik yang membina bukan politik yang memusnah, dan inilah harapan seluruh anak muda Malaysia.
       
         Dalam penulisan ini saya cuba lontarkan pendapat dari dimensi pandangan peribadi dalam mengupas beberapa perkara berkaitan perkembangan dan situasi terkini anak muda Malaysia.Anak muda kumpulan masyarakat yang terpenting kerana mereka merupakan sumber manusia yang akan mengerakkan segala agenda pembangunan dan aset yang bakal mencorak dan mewarisi kepimpinan negara pada masa hadapan.Kumpulan belia dan anak muda mewakili sekitar 40 peratus daripada komposisi masyarakat Malaysia. Ibnu Khaldun pakar sejarawan islam menyebut sekiranya kita ingin melihat keadaan tamadun pada masa hadapan, lihatlah kepada keadaan muda-mudinya, baik keadaannya hebatlah tamadun yang terbina,buruk keadaannya musnahlah harapan yang dicipta. Ungkapan tersebut memberi gambaran jelas kepada kita perihal peri pentingnya anak muda kepada masa hadapan negara.

         55 tahun sambutan kemerdekaan bagaimanakah keadaan anak-muda kita?  Pada masa kini kita menyaksikan pelbagai permasalahan yang timbul dalam kalangan muda-mudi tempatan. Golongan ini sentiasa terdorong untuk mencari halatuju hidup mereka sendiri tanpa bimbingan dan panduan akhirnya mengakibatkan mereka terperangkap dan terjerumus kelembah kebinasaan. Anak muda sentiasa memberontak mendambakan kebebasan dari kongkongan daripada pelbagai pihak. Anak muda ini sekiranya tidak dibimbing dan diasuh dengan baik dengan mengimbangi soal pembangunan modal insan yang melingkupi aspek rohani,jasmani dan emosi maka pelbagai implikasi negatif yang timbul akibat daripada kebebasan tanpa bimbingan yang diberikan. 

Disini kita melihat bahawa keluarga memainkan peranan yang cukup penting dalam usaha untuk menangani perkara ini. Krisis rumah tangga, tekanan kos sara hidup yang tinggi, kurang penghayatan agama antara faktor penyumbang kepada permasalahan yang timbul. Hubungan antara keluarga dalam masyarakat pada masa kini semakin meruncing,kes penceraian yang berlaku misalannya memberi kesan negatif  kapada anak secara tidak langsung akhirnya mengakibatkan anak-anak tersebut mencari haluan hidup sendiri akibat tekanan yang dialami.Peningkatan kos sara hidup menyaksikan kurang masa yang diperuntukan oleh ibu bapa untuk bersama dengan ahli keluarga mereka, sekiranya trend sebegini berterusan anak mereka akan terbiar dan tidak diurus dengan baik serta berkemungkinan terjebak dengan aktiviti yang tidak sihat akibat terpengaruh dengan rakan sebaya.

       Gejala sosial yang menular dalam kalangan anak muda cukup membimbangkan dan mengusarkan ramai pihak. Budaya hedonisme,penagihan dadah,zina,rogol, pembuangan bayi dan perlumbaan haram merupakan cebisan permasalahan yang membarah dalam kalangan muda-mudi masa kini.Hal sedemikian rupa juga turut menimpa terhadap golongan mahasiswa yang berada di alam kampus. Keruntuhan moral sebegini sekiranya tidak dibendung dan dikawal akan menatijahkan implikasi buruk kepada masa depan negara. Negara semakin maju dalam soal pembangunan fizikal namun negara semakin mundur dalam soal pembangunan insaniah.Anak muda tempatan kini mengalami krisis moral dan identiti, budaya luar diagung-agungkan sehingga meminggirkan budaya sendiri. Natijahnya terbentuklah generasi yang terpesona dengan kemilau gaya hidup kebendaan, tetapi gagal untuk sampai ke akar nilai-nilai budaya yang sebenarnya memajukan masyarakat barat. 

         Kayu ukur kemajuan bukan sekadar atas pertimbangan material yang hanya menjurus terhadap aspek pembangunan fizikal. Dalam konteks negara Malaysia pembangunan fizikal tidak wajar menjadi kayu ukur mahupun asas terpenting dalam menilai kemajuan negara.Perjalanan negara kita pasca kemerdekaan dapat dibahagikan kepada 3 fasa utama, yang pertama fasa pembentukan dan pengukuhan bernegara (era kepimpinan Tunku Abdul Rahman - Tun Hussein Onn), yang kedua fasa revolusi pembangunan (era kepimpinan Tun Dr Mahathir - Tun Abdullah Ahmad Badawi), yang ketiga fasa transformasi pembangunan (era kepimpinan Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak). Pihak kerajaan sewajarnya memainkan peranan proaktif dalam usaha melakukan transformasi kemanusian dalam usaha mengerakkan agenda memanusiakan manusia yang meletakkan nilai-nilai spritual sebagai nilai tunjung merealisasikan perkara tersebut.

      Secara kesimpulannya, permasalahan yang berlaku dalam kalangan anak muda perlu menjadi perhatian semua pihak. Pihak kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan semua pihak yang berkaitan diingatkan agar memberi penekanan yang serius dalam merangka hala tuju pembangunan negara agar aspek pembangunan fizikal dan spritual menjadi pertimbangan dan keutamaan terpenting dalam merencana sebarang dasar dan agenda pembangunan rakyat khususnya yang melibatkan anak muda. Anak muda merupakan aset terpenting negara, bersempena dengan sambutan kemerdekaan yang ke-55 ini diharapkan agar anak muda sentiasa mempersiapkan diri dengan segala bentuk ilmu dan kemahiran agar menjadi golongan yang berjaya pada masa hadapan dalam usaha memartabat umat serta mendaulat rakyat.

“Jangan tanya apa yang negara sumbangkan kepada kita, tetapi tanyalah pada diri kita apa yang telah kita sumbangkan kepada negara kita”  Abraham Lincoln.

Salam Kemerdekaan,

Muhamad Fazli Bin Abd Halim
Anak Muda Malaysia

No comments:

Post a Comment