Akhir bulan
Julai kali ini ditutup dengan pertemuan yang amat bermakna buat pimpinan
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) Pusat. Setelah berbincang akhirnya
tokoh ilmuan terkenal Malaysia, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri sudi untuk
menerima lawatan daripada pihak GAMIS dalam menjayakan misi menghubungkan
mahasiswa Islam dengan barisan tokoh dan ilmuan.
Pertemuan itu
dihadiri seramai 5 orang pimpinan GAMIS pusat serta beberapa anak didik Dr.
Zulkifli Al-Bakri yang kebanyakannya mahasiswa daripada USIM. Pertemuan yang
berlangsung selama hampir satu jam dimanfaatkan untuk mendapat beberapa noktah
penting seputar isu yang melibatkan fiqh siasi dan isu-isu fiqh khususnya di
Malaysia.
Dengan sifat
yang begitu merendah diri, Dr. Zulkifli amat mengalu-alukan kedatangan kami ke
pejabat baru beliau. Bahkan, beliau mencadangkan kepada peringkat GAMIS agar
sentiasa bertemu dengan tokoh-tokoh ilmuan untuk mendapat manfaat daripada
mereka dalam menyelesaikan isu-isu ummat yang berlaku mutakhir ini.
Pertemuan
tersebut dimulai dengan taujihat motivasi daripada Dr. Zulkifli dengan
mengambil kata-kata hikmah mantan timbalan rektor Universiti Madinah kepada
mahasiswa, bahawa seharusnya mahasiswa ini menjadi pemimpin dan bukan hanya
sekadar dipimpin. Memberikan gambaran kepada mahasiswa bahawa ada
tanggungjawab yang perlu digalas oleh mahasiswa untuk membela ummat kini dan
masa hadapan. Namun bukan hanya mahasiswa yang punya semangat (hamasah) yang
kuat, akan tetapi perlu disulami dengan hikmah kebijaksanaan yang cerdas.
“Saya tidak
kagum dengan mahasiswa yang hanya bersemangat. Tapi pemuda yang disulami ilmu,
ditambah dengan akhlak yang tinggi, dan pemikiran yang cukup besar, dan
memberikan makna bahawa inilah Islam yang sebenar yang ingin dibawa”.
“Kita lihat
Solahuddin Al-Ayyubi, Muhammad Al-Fateh, mereka ini bukan sahaja ada semangat,
akan tetapi ada hikmah kebijaksanaan yang cukup luar biasa. Untuk menjadi
seperti ini perlu kepada sejumlah pengorbanan. Mahasiswa perlu bijaksana, punya
akal yang besar, dada yang lapang, akhlak yang luhur lagi mulia.”, tutur Dr.
Zulkifli kepada kami selaku pimpinan mahasiswa, membawa satu pencerahan yang
mampu memaknakan gerakan mahasiswa arus perdana.
Mahasiswa &
Gerakan Islam: beberapa noktah penting
“antum a’lamu
biumuri dunyakum, kamu lebih mengetahui dunia kemahasiswaan kamu”. Dr. Zul
memuqadimahkan jawapan berkenaan peranan yang boleh mahasiswa mainkan dalam
sesebuah gerakan. Tambahnya lagi, perkara pertama mahasiswa perlu membaca dan
memahami maksud sebenar gerakan Islam. Dengan mengambil kira konsep
‘bersatu terhadap perkara yang disepakati, dan berlapang dada terhadap perkara
khilaf’, ia akan menentukan corak kita menilai yang mana satu musuh dan yang
mana satu krisis kecil yang perlu diabaikan. Kedua, banyakkan bertemu
tokoh-tokoh yang pelbagai, dengan melihat pandangan serta halatuju mereka.
Setiap dari kita ialah pendakwah, bukan hakim sepertimana kata Syeikh Hassan
Hudaibi. Maka, seharusnya kita memahami prinsip dakwah yang tegas, akan tetapi
perlu memperhalusi asalib (bentuk) dakwah yang sebahagiannya bersifat ijtihadi,
dan boleh dilihat keberkesanannya melalui kefahaman, pengalaman dan tajribah
yang konsisten.
Ketiga, mahasiswa perlu ada sumber-sumber rujukan utama. Perlu bagi
mahasiswa gerakan islam mengambil pandangan dan saranan tokoh arus perdana,
bukan hanya sekadar picisan. Dr. Zul menyebut antara tokoh yang boleh dijadikan
sandaran ialah Hassan Al-Banna, Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, Syeikh Mustafa Mashyur,
Dr. Muhammad Al-Ghazali dengan istintaj ilmi yang cukup hebat, Said Hawwa, dan
Maulana Abi Hassan Ali An-Nadwi. Bahkan, kitab ‘Maza Khasiral Alam’ hasil buah
tangan Maulana merupakan sebuah buku yang perlu difahami oleh mahasiswa pada
hari ini.
Anjurkan
Wacana, Simpulkan Tindakan
Di antara
perkara yang amat dititik beratkan ialah memperkasakan siri-siri wacana ilmiah
yang memberikan pencerahan terhadap kekaburan islam masa kini. Namun, wacana
bukan dalam bentuk yang makro seperti perbincangan isu hudud, akan tetapi
menjurus ke arah yang lebih serius. Seperti contoh, anjurkan wacana berkenaan
isu kecurian, isu buang bayi, jual dadah, dan sebagainya yang lebih berfokus
sekaligus mendatangkan sarana dan solusi yang tepat. Oleh sebab itu, setiap isu
yang ingin dibawa perlu masak, dan keluarkan outcome yang jelas.
“Ini lah
perkara yang pernah ditekankan oleh Guru kami, Dr. Wahbah Az-Zuhaili. Kata
beliau, di antara cabaran yang belum dapat ummat islam laksanakan ialah membuat
taqnin. Tahap ini belum diperhalusi dengan elok. Sewajarnya, mahasiswa
yang berjiwa besar perlu datangkan dengan satu perundangan (taqnin),
sepertimana yang pernah dikeluarkan oleh Dr. Muhammad Al-Ghazzali dengan Ahwal
Syakhsiahnya dan Abdul Qader Audah dengan tasyri’ jinaie.
Perjuangkan Isu
Dalam, seterusnya Luar.
Isu dalam yang
dimaksudkan ialah berkenaan dengan sistem pendidikan mahasiswa, dan
menghidupkan ruh islami di dalam universiti. Ini perkara yang perlu diambil
berat oleh mahasiswa. Kita tidak mahu melahirkan mahasiswa yang ber’akademik’
namun lesu. Bukan hanya terfokus kepada markah, pointer dan seumpamanya.
Bahkan kita tidak mahu menjadi seperti Harvard, yang mana pernah seorang
tenaga pengajar di sana mengatakan ‘aku melihat Harvard penuh ilmu namun tiada
ruh’.
Kita lihat
contoh Aristotle. Bagaimana beliau menghidupkan suasana pembelajaran yang
kadangkala santai, namun amat bermakna. Pernah suatu ketika Aristotle melontarkan
soalan berkenaan ‘iffah’ dan meminta pelajarnya membincang persoalan itu. Namun
perkara ini amat membuka ufuk minda seorang pelajar untuk terus berfikir, bukan
hanya disuap di kuliah pengajian.
Selain itu,
mahasiswa juga boleh untuk memperjuangkan isu luaran seperti pengagihan zakat,
institusi kehakiman, namun perlu berjumpa dengan pakar dalam perkara tersebut
dan hadam segala maklumat berkaitannya. Perkara ini perlu diteliti agar
mahasiswa mampu untuk membawa mafahim (kefahaman) kepada ummat dalam konteks
memberi kesedaran sebenar berkenaan Islam.
Pertemuan kami diakhiri dengan santapan juadah Iftar.
Dr. Zulkifli menghadiahkan naskhah buku “ Nota buat Anakku’ kepada setiap
pimpinan GAMIS yang hadir. Perkongsian ilmah itu sangat bermakna buat kami
selaku pimpinan gerakan mahasiswa Islam dalam mencorak gerakan kini dan akan
datang.
No comments:
Post a Comment