Saturday, 7 July 2012

SUKMA PAHANG 2012: CERMINAN LANDSKAP SUKAN NEGARA



Mungkin ramai yang tidak sedar, pada tarikh 7 – 16 Julai 2012 sedang berlansungnya Sukan Malaysia (SUKMA) kali ke-15 di negeri Pahang. Gamis Pahang mengalu-alukan kehadiran seluruh atlet dan pegawai sukan ke Negeri Pahang dan selamat menempah kejayaan kepada semua. SUKMA adalah temasya kejohanan sukan terbesar di peringkat nasional yang bercorak multi sports competition dan berkonsepkan mini Sukan Olimpik di Malaysia. SUKMA merupakan medan terbaik bagi atlet remaja mengadu kepintaran, kemahiran dan tenaga bagi mendapat nama dan tempat untuk mewakili negara dalam temasya yang lebih gah. SUKMA yang bermula sejak tahun 1986 diadakan secara dwi tahunan dan berselang seli dengan Sukan Sea.
Dahulu dan kini, Malaysia terus dilanda krisis  identiti dan integriti sejarah, pelbagai sedutan, plot  dan figura penting ditulis secara bias dan disembunyikan daripada tulisan sejarah atas alasan kepentingan dan hasad politik. Kita harus jujur dan adil dalam menilai sejarah supaya ia terpahat dengan fakta yang tepat walaupun kadang kala ianya merupakan perkara yang mengguris memori dan pahit.  Antara peristiwa yang telah dipadamkan dalam Portal Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Laman Majlis Sukan Negara (MSN) adalah tokoh yang mencadangkan SUKMA iaitu  Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang memegang portfolio sebagai Menteri Belia dan Sukan  Malaysia pada tahun 1984. Selepas tragedi hitam 1998, idea awal penganjuran SUKMA digelapkan dalam teks sejarah sukan tanah air.
TEMASYA SUKMA YANG MURUNG
Realitinya hari ini, sekiranya ditanya kepada generasi baru, mungkin ramai anak-anak yang berada dibangku sekolah tidak tahu menahu tentang kewujudan SUKMA. SUKMA tidak lagi dipandang temasya sukan yang kompetitif dan berprestij di mata rakyat. Kemeriahan, gelombang, dan publisiti SUKMA sudah tidak lagi dirasai dan masyarakat tawar hati untuk mengikuti perkembangan temasya SUKMA.  Ada pihak berpandangan faktor SUKMA 2012 ditelan tsunami kerana pertembungan jarak masa yang dekat dengan EURO 2012 menyebabkan fokus peminat sukan negara tertumpu kepada EURO. Saya tidak merasakan faktor EURO 2012 sebagai alasan yang kukuh kerana detik-detik kemerosotan SUKMA sudah berlaku sejak beberapa siri penganjuran yang lalu.
Di peringkat asia tenggara, kita tidak lagi mampu melahirkan jaguh dalam sukan-sukan tumpuan khususnya olahraga. Walaupun sudah berjuta-juta ringgit pelaburan oleh KBS dan MSN, kualiti atlet negara masih lagi kurang memberangsangkan. Faktor media yang kurang membuat liputan pre-temasya turut menyumbang kepada malapnya gelombang SUKMA. Media merupakan saluran penting dalam membentuk pemikiran, sudut pandang dan fokus semasa rakyat. Apa-apa isu yang diletup dan dibomkan di media tidak kira politik, jenayah, kebajikan, sosial atau sukan, pasti akan mendapat perhatian dan pengaruh orang ramai. Antara kepincangan besar penganjuran SUKMA sejak kebelakangan ini, media tempatan samada saluran televisyen rasmi kerajaan RTM, swasta, akhbar bercetak atau elektronik tidak turut sama dalam mempromosi dan menggerakkan gelombang SUKMA. Publisiti dan promosi SUKMA sangat  sepi dan tidak mendapat liputan yang teratur dan sistematik. Adakah media tidak berminat dengan sukan dalam negara yang kurang mendapat keuntungan atau kesilapan di pihak penganjur dan pengurusan SUKMA yang kurang cekap dalam promosi serta keep in touch dengan media.   Sambutan rakyat terhadap temasya sukma, prestasi atlet dan pengurusan mampu dijadikan indikator kepada tahap prestasi semasa projek transformasi industri sukan tanah air.
INDUSTRI SUKAN: CITA-CITA TRANSFORMASI
Kerajaan Malaysia memperuntukan jumlah wang rakyat yang sangat besar untuk bangunkan industri sukan. Adakah pelaburan ini berbaloi? Adakah atlet negara kita mampu pergi jauh ke peringkat antarabangsa? Adakah pelaburan industri sukan merupakan langkah pelaburan yang bijak dan menguntungkan? Industri sukan bukannya kilang yang menghasilkan produk dan peralatan sukan, tetapi ianya integrasi pelbagai sektor seperti perindustrian, pembuatan teknologi, perkhidmatan, media penyiaran, penganjuran sukan, penajaan, perubatan, sains sukan, pelancongan dan lain-lain yang berteraskan sukan bagi menjana keuntungan. Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah mewujudkan Makmal Industri Sukan untuk menyediakan hala tuju dan pelan strategik bagi menjadikan sukan sebagai antara penyumbang utama kepada ekonomi negara.
Pembangunan industri sukan sebagai penjana ekonomi negara telah digariskan sebagai teras strategik kelima di dalam pelan strategik KBS bertujuan merangsang pertumbuhan ekonomi dan menyumbang kepada Keluaran Kasar Dalam Negara (KDNK) serta mampu menjana pulangan dan meningkatkan Gross National Income (GNI) per kapita daripada USD7,000 kepada USD15,000 menjelang tahun 2020. Nilai import 'Freight On Board' (FOB) bagi peralatan sukan meningkat dari kadar RM1.4 bilion tahun 2008 menjadi RM3.07 bilion pada tahun 2009.
Model industri sukan yang dicanang oleh KBS adalah model industri sukan United States (US) sepertimana yang telah dinyatakan oleh  Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Dato’ Ahmad Shabery Cheek dalam Majlis Perasmian Konvensyen Industri Sukan Malaysia 2009 (KISMAS), “di Amerika Syarikat, industri sukan merupakan antara salah satu industri yang terbesar dan yang paling pesat membangun. Dalam satu kajian yang telah dijalankan oleh Sports Business Journal melaporkan bahawa nilai industri sukan di Amerika Syarikat pada tahun 2008 sahaja telah bernilai USD 213 billion iaitu lebih dua kali ganda daripada industri kenderaan dan tujuh kali ganda lebih besar daripada industri perfileman”.
HANTU KAPITALISME, RASUAH DAN KRONISME
Kapitalisme yang mencengkam, rasuah dan kronisme adalah makhluk perosak  utama kepada kemajuan negara . Sekiranya amalan rasuah dan kronisme menjadi amalan rutin dan makanan ruji dalam KBS, MSN, persatuan-persatuan sukan tanah air dan sebagainya, jangan harap pelaburan industri sukan mampu membawa pulangan kepada rakyat.
Pandangan pesimis   sememang kerajaan dan kroni-kroni mereka yang kapitalis akan mendapat keuntungan yang besar, manakala rakyat tetap dalam keadaan tertindas dan tidak mendapat apa-apa faedah pun. Jutaan ringgit yang telah dikaut oleh dua tiga kerat kroni sebagai keuntungan, lalu sebahagiannya dimasukkan ke dalam KDNK, maka sudah tentulah jumlah pendapatan negara akan bertambah. Namun hakikatnya adalah, kekayaan tersebut hanya dinikmati oleh  kroni itu sahaja, manakala jutaan lagi rakyat langsung tidak mendapat satu sen pun dari pulangan tersebut. Namun bagi kapitalis, ini tidak mengapa kerana ‘pendapatan negara’ telah meningkat, walaupun ‘pendapatan rakyat’ langsung tidak mengalami perubahan. Yang penting adalah ‘pendapatan negara’.
PEMBINAAN PERIBADI, AKHLAK DAN MORAL ATLET

Kita tidak berbangga sekiranya  atlet kita mampu mencapai berkilo-kilo pingat emas dalam Olimpik, tetapi dalam masa yang sama penuh dengan skandal dan masalah. Hal ini perlu dipandang serius dan perlu ada dalam plan pembangunan akhlak dan peribadi atlet perlu digazet dalam perancangan industri sukan KBS.

Contohya, Tiger Woods, jutawan golf dunia, mengakhiri zaman kegemilangan selepas pecah tembelang dengan skandal wanita. Senario hari ini, atlet sangat berpengaruh dalam masyarakat dan mampu membawa gelombang trend dan fesyen yang akan digilai anak muda. Itulah untungnya jika negara kita mampu melahirkan atlet muslim yang bertaraf yang lengkap dengan bekalan ilmu serta mempraktis dakwah dalam industri sukan.
Dunia eropah hari ini diserikan dengan atlet muslim yang menempa di atas pentas anatarabangsa seperti Yaya Toure, midfielder Manchester City. Di  dalam klip video yang tersebar luas di media, Yaya Toure menolak tawaran sebotol besar champagne di pesta kemenangan mengalahkan Newcastle United.

"Maaf! Saya tidak minum alkohol. Saya Muslim," reaksi  Yaya Toure sambil menolak sebotol champagne ke Joleon Lescott.

Dalam Sukan Olimpik Beijing, enam atlet wanita yang bertudung, tiga atlet Iran, masing-masing seorang dari Mesir, Afghanistan dan Yaman  memecahkan stereotaip Barat, dengan membuktikan pemakaian tudung tidak sekali-kali menghalang pembabitan mereka dalam aktiviti sukan dan kehidupan.

Tudung tidak sekali-kali memberikan masalah kepada saya,” kata pelari Bahrain, Ruqaya al-Ghasara yang mencatat sejarah bagi atlet wanita Islam selepas memenangi pingat emas Sukan Asia Barat 2006 kepada Reuters.
PENUTUP: MODEL INDUSTRI SUKAN ISLAMIK
Sukan merupakan lapangan yang sangat luas dan berpengaruh, bermula daripada sukan sebagai hobi sehinggalah sukan sebagai kerjaya, daripada sukan yang bercorak individu dan berpasangan sehinggalah sukan berpasukan, daripada menjadi atlet yang biasa sehinggalah bergelar sebagai selebriti sukan dan menteri, daripada menjana pendapatan sendiri sehingga menjana duit negara. Langkah yang sangat   baik dan akan mendapat sambutan yang membanggakan sekiranya KBS drafkan Model Industri Sukan Islamik. Negara kita ada ramai ustaz-ustaz dan ulama’ yang mampu menjadi tenaga pemikir untuk menjayakan agenda yang sangat baik ini. Model Nisa' Games 2007 yang dianjurkan kerajaan Negeri Kelantan salah satu model yang boleh dipertimbangkan dalam penganjuran model sukan islam walaupun ada sesetengah pihak yang mengatakan kolot dan konservatif.
Konsep Ibadah dalam Islam adalah syumuliah (menyeluruh) sepertimana menyeluruhnya Islam. Ibadah dalam Islam tidak hanya tertumpu di masjid, surau dan amalan-amalan spiritual seperti solat, puasa, zakat dan zikir semata-mata, tetapi ianya merangkumi seluruh juzuk dan elemen kehidupan manusia termasuklah sukan.
Hadis Nabi Muhammad SAW; “Ajarlah anak-anak kamu berenang, memanah dan menunggang kuda.”
Hadis ini jelas menunujukkan Islam menggalakkan sukan dan rekreasi yang bagi membina ummat Islam yang mempunyai pemikiran dan fizikal yang berkualiti. Tidak salah untuk bersukan dan bangunkan industri sukan asalkan tidak melanggari batas syariat seperti pengabaian waktu solat, permasalahan aurat, pergaulan bebas, pemakaian, adil dalam perlawanan, rasuah dan sebagainya.



AHMAD FATIHI MAKHTAR
PENGERUSI GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SEMALAYSIA NEGERI PAHANG (GAMIS PAHANG) 



1 comment:

  1. Hadis Nabi Muhammad SAW; “Ajarlah anak-anak kamu berenang, memanah dan menunggang kuda.” big question. adakah ibu bapa muslim di malaysia memberi pendedahan kepada anak-anak mereka tentang penglibatan sukan renang, memanah, dan ekuestrian. adakah anak mereka tahu basic rule, teknik, untuk main sukan ini. di sinilah kurangnya orang islam di malaysia. tidak peduli pun untuk bersukan dalam sukan yang disarankan dalam hadis. ibu bapa hanya pentingkan anak mereka belajar tuisyen, mengaji al quran, bermain gajet. tetapi di mana sukan? adakah anak mereka tidak perlu main sukan? adakah ibu bapa itu sendiri tidak perlu main sukan? kesimpulannya, sukan untuk semua tak kiralah sebagai hobi ke ataupun sebagai kerjaya. sukan mesti ditekankan dalam kehidupan rakyat malaysia.

    ReplyDelete