Thursday 5 December 2013

Peringatan Bersama

Bismillahirrahmanirrahim

SIGMA PAHANG

Dalam musim angin kencang dan hujan seperti sekarang ini, perubahan cuaca mendadak tidak dapat dielakkan dan telah menjadi pemandangan biasa. Di satu segi ianya sebagai petanda akan turunnya hujan, namun sisi lain boleh menimbulkan ketakutan dan kebimbangan kerana angin ribut ada kalanya mampu menumbangkan pokok-pokok saka, merebahkan tanam-tanaman, menjejaskankan bangunan dan penyebab terjadinya banjir. Sebagai hamba Allah, kita harus mengambil langkah berjaga-jaga demi keselamatan, di samping berdoa dan bertawakal kepada-Nya. Walau bagaimana pun dalam berhadapan keadaan seperti ini kita tidak boleh mencela segala ciptaan dan ketentuan-Nya.

1. Doa Ketika Angin Kencang

Dari Ubai bin Ka’ab, Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Janganlah kamu mencaci angin. Lalu apabila engkau melihat yang tidak menyenangkan, maka berdoalah:

اللَّهُمَّ إِنِّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ هَذِهِ الرِّيْحَ وَخَيْرِ مَا فِيْهَا وَخَيْرِ مَا أُمِرَتْ بِهِ وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ هَذِهِ الرِّيْحَ وَشَرِّ مَا فِيْهَا وَشَرِّ مَا أُمِرَتْ بِهِ

“Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu kebaikan angin ini dan kebaikan yang ada padanya dan kebaikan yang dibawanya. Dan kami berlindung kepada-Mu dari keburukan angin ini, keburukan yang ada padanya dan keburukan yang dibawanya.” (HR. Al-Tirmidzi)

2. Doa Ketika Hujan Turun

Daripada Aisyah radhiyallahu ‘anha, Rasulullah shallallahu’ alaihi wa sallam ketika melihat hujan turun, Baginda shallallahu ‘alaihi wa sallam mengucapkan ‘Allahumma shoyyiban nafi’an’. (HR. Bukhari, Ahmad, dan An Nasai).

3. Doa Selepas Hujan Reda

Dari Zaid bin Khalid Al Juhani, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam melakukan Solat Subuh bersama kami di Hudaibiyah setelah hujan turun pada malam harinya. Kemudian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

« أَصْبَحَ مِنْ عِبَادِى مُؤْمِنٌ بِى وَكَافِرٌ فَأَمَّا مَنْ قَالَ مُطِرْنَا بِفَضْلِ اللَّهِ وَرَحْمَتِهِ. فَذَلِكَ مُؤْمِنٌ بِى وَكَافِرٌ بِالْكَوْكَبِ وَأَمَّا مَنْ قَالَ مُطِرْنَا بِنَوْءِ كَذَا وَكَذَا. فَذَلِكَ كَافِرٌ بِى مُؤْمِنٌ بِالْكَوْكَبِ »

“Pada pagi ini, di antara hambaKu ada yang beriman kepadaKu dan ada yang kafir. Siapa yang mengatakan ’Muthirna bi fadhlillahi wa rohmatih’ (Kita diberi hujan kerana kurnia dan rahmat Allah), maka dialah yang beriman kepadaku dan kufur terhadap bintang-bintang. Sedangkan yang mengatakan ’Muthirna binnau kadza wa kadza’ (Kami diberi hujan kerana sebab bintang ini dan ini), maka dialah yang kufur kepadaku dan beriman pada bintang-bintang.” (HR. Muslim no. 240)

Ketika turun hujan lebat sehingga ditakutkan membahayakan manusia, dianjurkan untuk berdoa;

Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam suatu saat pernah meminta diturunkan hujan. Kemudian apabila hujan turun begitu lebatnya, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam berdoa,


اللَّهُمّ حَوَالَيْنَا وَلَا عَلَيْنَا اللَّهُمَّ عَلَى الْآكَامِ وَالْجِبَالِ وَالظِّرَابِ وَبُطُونِ الْأَوْدِيَةِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ
 

“Ya Allah, turunkanlah hujan di sekitar kami, bukan untuk merosakkan kami. Ya Allah, turukanlah hujan ke dataran tinggi, gunung-ganang, bukit-bukau, tasik lembah dan tempat tumbuhnya pokok-pokok.” (HR. Bukhari no. 1013 dan 1014).

Di samping bertawakal, perlu untuk setiap warga Pahang terutamanya masyarakat sekitar kawasan Kuantan untuk menjaga keselamatan dan kesihatan baik di rumah, di universiti mahupun di atas jalan raya.

Moga ujian Allah ini mendekatkan lagi diri kita dengan Ya Khaliq yang maha mencipta lagi Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Wallahu A’lam Bish Shawab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

Siti Hawa Saadah Hamdan
UIAM.
Presiden SIGMA Gamis Pahang

DEMOKRASI TEMPANG PILIHAN RAYA KAMPUS UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG (UMP)

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) Pahang mengecam sekeras-kerasnya ketidakadilan yang berlaku dalam Pilihan Raya Kampus (PRK) Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang menyaksikan pelbagai tindakan yang menyekat dan menguburkan demokrasi telah dilakukan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEPA) yang diketuai sendiri oleh Timbalan Naib Cancelor (TNC) HEPA, Prof. Dato’ Dr. Yuserrie Bin Zainuddin

Campur tangan yang jelas berbeza dengan amalan dan norma beberapa PRK sebelum ini sehingga berlaku penentangan oleh bekas pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang mengeluarkan surat terbuka menyatakan kekecewaan terhadap proses PRK kali ini. Terdapat juga pemimpin pelajar yang bersoladiriti menghantar memorandum kepada TNC HEPA supaya melaksanakan “8 Tuntutan Penambahbaikan Proses Pilihanraya Kampus UMP 2013/2014”.

Dalam PRK ini, ada beberapa orang calon yang tidak dibenarkan untuk bertanding tanpa alasan yang tidak tercatat dan digariskan secara bertulis dalam mana-mana peraturan tatacara pemilihan MPP. Ada antaranya yang telah diterima pada awalnya sebagai calon, tetapi kemudiannya telah ditarik balik tanpa sebab dan justifikasi yang jelas. Pada masa yang sama terdapat proses merekrut secara senyap calon-calon tajaan dengan memberi latihan serta tajaan kewangan demi memastikan calon yang ditaja oleh JHEPA menang mudah. Manipulasi media dan peraturan dilakukan bagi menyekat dan mengongkong mahasiswa yang ingin berpartisipasi dalam PRK kali ini. Ini hanya secebis daripada episod yang sedang berlaku.

PRK adalah medan melahirkan pemimpin mahasiswa, yang bakal menjadi pemimpin negara pada masa akan datang. Sekatan dan kekangan yang dilakukan dalam proses demokrasi ini akan melahirkan pemimpin yang tidak mempunyai kualiti kepimpinan, lantas tidak mampu membawa idealisme dan aspirasi sebagai seorang pemimpin mahasiswa. Mahasiswa seharusnya diberikan hak untuk memilih dengan telus dan adil di atas padang yang rata, bukannya berat sebelah bagi memenangkan calon pilihan yang disenangi oleh pihak tertentu.

GAMIS Pahang mendesak supaya pihak JHEPA UMP menjalankan tugas dengan penuh profesional, amanah dan berintegriti. Seluruh mahasiswa adalah ‘pelanggan’ mereka dan seharusnya dilayan dengan baik dan saksama. Keadilan diberi kepada semua pihak dan tidak ada diskriminasi kepada mahasiswa yang ingin menyertai proses demokrasi melalui PRK ini. Tuntutan yang disampaikan hendaklah didengari dan dilaksanakan. Proses memilih memimpin mahasiswa bukan sekadar akan melahirkan pemimpin pada hari ini. Tetapi juga menjadi mereka yang akan menentukan hala tuju negara pada masa akan datang.

‘Abdul Muntaqim Abu Bakar
Pengerusi
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) Pahang

Thursday 14 November 2013

MAHASISWA BERSAMA RAKYAT



Kuantan, 5 November 2013- Awal Muharam 1435H bagi penduduk Perumahan Peramu kawasan Tanjung Lumpur dekat sini telah diserikan dengan lawatan mahasiswa-mahasiswa dari kampus sekitar untuk menyambut sambutan tahun baru ini dengan mereka. 




Program anjuran Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) Pahang itu telah berjaya mendekati rakyat serta menggembirakan warga setempat. Program yang disusun sempena awal muharam itu berobjektifkan untuk mendekatkan mahasiswa dengan masyarakat setempat serta memaknakan erti awal muharam dalam setiap hati ummat Islam.

           Program yang julung-julung kali dibuat ini turut dihadiri sendiri oleh Pengerusi Gamis Pahang, Saudara ‘Abdul Muntaqim Abu Bakar. Dalam ucapan pembukaan, beliau memuji komitmen dan semangat mahasiswa yang sudi untuk turun bersama mendekati masyarakat. Program yang dimulakan seawal 9 pagi telah berjaya mendekati lebih dari 60 rumah masyarakat setempat. Sedikit sumbangan serta cenderamata berubah buah-buahan dan keperluan harian seperti beras, gula, susu dan biskut turut dijadikan buah tangan. Walaupun hujan agak lebat pada sebelah paginya, ternyata ianya tidak menghalang sukarelawan-sukarelawan anak muda Gamis Pahang ini untuk turun bersama warga setempat.

 

Ucapan Pembukaan oleh Pengerusi Gamis Pahang, Saudara ‘Abdul Muntaqim Abu Bakar


 
 Proses pengagihan sumbangan







 
 

Program tersebut telah diakhiri dengan lawatan ke perniagaan kecil-kecilan keropok lekor oleh masyarakat sekitar dalam kejiranan tersebut juga. Mengulas mengenai aktiviti yang dijalankan, Saudar Hisham dari UIAM kampus Kuantan berhasrat agar program sebegini mendapat lebih partisipasi dari lebih ramai mahasiswa serta dermawan-dermawan diluar sana untuk menggerakkan lebih banyak aktiviti Gamis Pahang.






Monday 18 March 2013

FORUM; OUR COUNTRY, OUR RIGHT, OUR CHOICE

Salam penghargaan dan terima kasih kepada;
Penganjur daripada Badan Bertindak Mahasiswa Mahallah Tabari, Mahallah Maimunah & Mahallah Talhah, One Stop Student Centre IIUM Kuantan
Rakan panel Dr Zuhdi Marzuki Penganalisis Politik & Bro Uzzair Izzat Biro Politik Kampus PEMBINA


Jom like & share page 


Sunday 10 March 2013

GAMIS PAHANG OPTIMIS TAWAN WISMA SRI PAHANG

GAMIS adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang bertujuan menghimpunkan mahasiswa islam di seluruh Malaysia untuk memimpin kebangkitan ummah dengan menyuntik kesedaran islam melalui orientasi dakwah,siasah & tarbiyah.

GAMIS Pahang diwujudkan bagi memberi penekanan & meneruskan kelangsungan gerak kerja GAMIS Pusat dalam lingkungan negeri Pahang agar segala perencanaan bersesuai serta selari dengan suasana, budaya & realiti masyarakat setempat.

GAMIS Pahang dengan kekuatan anggota sekitar 700 orang mengambil pendirian, serta menetapkan komitmen & iltizam kami untuk bersama-sama menyokong arus kebangkitan rakyat dalam usaha memenangkan Pakatan Rakyat bagi menawan Wisma Sri Pahang dalam PRU-13 nanti. 

Untuk makluman, jentera GAMIS Pahang sudah berada dalam keadaan bersiap-sedia untuk menghadapi pilihanraya akan datang dengan menyusun pelbagai aktiviti & program yang bersesuaian,antara program yang telah dijalankan adalah seperti Jelajah Mahasiswa Bersama Rakyat di kawasan pilihan seperti kawasan Beserah, Sungai Lembing, Pekan, Chenor, Luit & Sungai Isap dengan menjalankan pelbagai aktiviti seperti edaran risalah, gotong-royong, sumbangan bantuan kepada masyarakat miskin, kurang upaya,ibu tunggal & anak yatim, Ziarah Dakwah di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Diskusi Ilmiah, Ziarah Sosial ke rumah bangsa Tioghoa sempena Sambutan Tahun Baru Cina, Sembang-Santai Anak Muda, Flash Mob Gaza, Kunjungan Hormat ke rumah pemimpin parti politik dan pelbagai program susulan yang akan dilaksanakan kelak. 

Pentadbiran Kerajaan Negeri Barisan Nasional yang diterajui oleh DS Adnan Yaakob selama 14 tahun, dilihat gagal mentadbir & mengurus negeri ini dengan penuh adil,telus & amanah ditambah dengan lambakan isu-isu rakyat yang masih gagal diselesaikan seperti isu ganguan bekalan air, isu Lynas dan tanah adat Orang Asli menjadi titik tolak dalam usaha mewujudkan momentum anak muda tolak BN dalam pilihanraya akan datang.

GAMIS Pahang yang terdiri daripada komuniti mahasiswa islam atas rasa tanggungjawab & amanah mengambil inisiatif tersendiri berusaha sedaya upaya menjalankan tanggungjawab sosial secara sukarela demi merealisasikan harapan rakyat demi membina negara Malaysia baru yang adil, aman & berkebajikan berlandaskan nilai-nilai dan prinsip Islam.

Muhamad Fazli Bin Abd Halim
Ketua Penerangan & Jurucakap GAMIS Pahang

Saturday 2 March 2013

Mahasiswa protes Najib di Pekan sedikit kecoh

Protes Aman dan Penyerahan Memorandum Kepada DS Najib Razak
http://bm.harakahdaily.net/images/stories/IPAD/MCA/pn2.png
KUALA LUMPUR: Sempena dengan kehadiran Perdana Menteri di Kuala Pahang, Pekan bagi melancarkan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), semalam seramai 60 orang aktivis mahasiswa daripada Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) Negeri Pahang berkumpul untuk menyatakan protes terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Razak yang telah terbukti gagal mengurus tadbir negara dengan baik dan menjadi keperluan mendesak bagi menolak Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Pengerusi Gamis Pahang, Ahmad Fatihi Makhtar berkata, dalam protes tersebut, mahasiswa mendesak supaya Najib mengambil perhatian serius terhadap masalah bekalan air bersih di Negeri Pahang khususnya di sekitar parlimen beliau sendiri iaitu Pekan yang tidak berkesudahan sehingga sekarang.

Katanya, reaksi penduduk sekitar Kuala Pahang terhadap Protes Aman Mahasiswa menggambarkan Parlimen Pekan bukannya kubu kuat Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, dalam sejarah PRU ke-10 pada 1999, Najib Razak yang ditentang oleh Ustaz Ramli Mohamed daripada PAS, Najib hanya menang tipis dengan majoriti 241 undi.

“Terbukti bahawa sepanjang protes aman berlangsung, ramai penduduk sekitar menunjukkan sokongan terhadap protes ini,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya lagi, mahasiswa turut menyatakan hasrat agar PRU akan datang dijalankan dengan adil, telus dan demokratik serta menuntut agar pihak kerajaan menghentikan budaya politik rasuah, politik perkauman, politik janji, politik samseng, politik ugut dan politik fitnah yang semakin subur di negara kita pada hari ini.

Selain daripada itu, ujarnya mahasiswa turut menuntut capaian media yang adil, telus & saksama semasa tempoh berkempen dijalankan.

“Menariknya, protes aman itu turut mendapat respons positif daripada pegawai-pegawai kerajaan yang melalui jalan tersebut,” ujarnya.

Tambahnya, terbukti mereka yang hadir hanya kerana arahan dan kerahan tetapi mereka sedar akan kepincangan negara yang berlaku di bawah pemerintahan Najib.

Walau bagaimanapun, jelasnya kekecohan dan ketegangan protes aman berlaku apabila sekumpulan ‘ahli Umno tegar’ hadir dan cuba menghalau aktivis mahasiswa yang sedang berhimpun.

Menurutnya, mereka terus menerus mengatakan bahawa anak muda pada hari ini tidak bersyukur dan tidak berterima kasih pada kerajaan yang memberi banyak kemudahan kepada pelajar.

“Apabila ditanya tentang masalah air di sekitar Pekan yang telah berlaku sekian lama, mereka mengakui dan mereka mengatakan masalah tersebut perlu berbincang dengan penghulu kampung,” katanya.

Katanya lagi, kekecohan selamat 10 minit ditenteramkan oleh beberapa anggota polis.

Selepas rundingan dibuat dengan pihak polis, ujar beliau mahasiswa bersetuju untuk menghentikan protes aman dengan mengambil pertimbangan faktor keselamatan yang tidak selamat walaupun di kawasan parlimen Perdana Menteri sendiri.

Baginya, PRU13 adalah landasan terbaik untuk seluruh rakyat Malaysia bersama-sama menghentikan kezaliman Kerajaan BN yang tercatat secara fakta dan sejarah, selama 56 tahun BN memerintah Malaysia, terlalu banyak kes-kes penipuan pimpinan tertinggi negara, kronisme, nepotisme, menyekat hak royalti, menggadai hak orang melayu, meruntuhkan insitusi sultan dan sebagainya.

“Gamis akan menggerakkan seluruh jentera di seluruh negara untuk memastikan hasrat dan impian untuk menamatkan pemerintahan BN dalam PRU13 tercapai,” ujarnya.

Sumber daripada:
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/17130-walaupun-kecoh-mahasiswa-bantah-najib-di-pekan




Thursday 28 February 2013

MEMORANDUM GAMIS PAHANG KEPADA PERDANA MENTERI MALAYSIA

Protes Aman dan Penyerahan Memorandum Kepada DS Najib Razak

10 Tuntutan GAMIS PAHANG 
Jumaat, 1 Mac 2013
Sempena Majlis Pelancaran Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kuala Pahang di Pekan.

Anak Muda 

1.  Menuntut penekanan serius usaha-usaha menangani & mengatasi permasalahan gejala sosial & keruntuhan moral dalam kalangan golongan muda.

Pendidikan & ISLAM

2. Memperkasa  & meningkatkan kualiti sistem, infrastruktur, serta pembangunan sekolah aliran Islam di negeri Pahang.

3. Memperteguh jatidiri masyarakat daripada pengaruh & budaya asing yang bercangah dengan nilai & prinsip islam.

Kemudahan Asas

4. Mendesak agar  segala keperluan asas rakyat seperti  bekalan air bersih, perkhidmatan elektrik, diselesaikan dengan segera.

Alam Sekitar

5. Penekanan  soal pemeliharaan & pemuliharaan khazanah alam semula jadi dalam pembentukan dasar & polisi kerajaan.

Politik

6. Menuntut agar pilihanraya umum akan datang dijalankan dengan adil, telus & demokratik.

7. Menghentikan budaya politik rasuah, politik perkauman, politik janji, politik samseng, politik ugut & politik fitnah.

8. Membina model politik baru berasaskan politik nilai, politik idea & politik hujah.

9. Menuntut capaian media yang adil, telus & saksama sepanjang tempoh berkempen dijalankan semasa PRU-13.

10. Menghormati hak & suara rakyat dengan mengembalikan kuasa rakyat untuk menilai & memilih pilihan dengan bebas, adil & telus  semasa piliharaya umum tanpa wujud sebarang bentuk tekanan daripada mana-mana pihak yang berkepentingan.

Sunday 24 February 2013

GAMIS ZON TIMUR: MAHASISWA TEKAD TOLAK BN

Himpunan Mahasiswa Zon Timur, Kuala Terengganu
22 Februari 2013 
  1. Tarikh 23 Februari 2013 merupakan tarikh keramat bagi Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) Zon Timur, seramai 300 orang berhimpun di Kuala Terengganu dan berpencak di lapangan masyarakat untuk menyatakan pendirian serta mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama menolak Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13).  
  2. Malang bagi rakyat Negeri Terengganu yang berada di bawah pimpinan BN kerana walaupun Terengganu sebuah negeri yang menghasilkan lebih separuh keluaran petroleum negara dan mendapat hasil kira-kira RM2 bilion setiap tahun tetapi merupakan negeri ke-2 termiskin di Malaysia selepas Sabah. Bilangan Isi Rumah Miskin Tegar yang dicatat oleh Sabah sebanyak 32400  dan diikuti oleh Terengganu sebanyak 8 300 serta Perak (5700) dan Sarawak (5200).
  3. Pimpinan GAMIS Pusat bersama pimpinan peringkat Negeri Terangganu, Pahang dan Kelantan bersama-sama menziarahi beberapa buah rumah rakyat miskin di sekitar Kuala Terengganu untuk menghulurkan bantuan dan menyelami hati nurani rakyat yang hidup tanpa perhatian serius oleh Kerajaan Negeri. Jelas terpapar daripada keluhan hati rakyat ini akan kekecewaan mereka terhadap Kerajaan BN yang tidak mengagihkan bantuan secara adil dan mereka tidak mendapat hak yang sepatutnya.
  4. Isu Bumbung Stadium Gong Badak yang runtuh kali kedua semasa proses baik pulih membuka seluas-luasnya pekong ketirisan Kerajaan BN Terengganu dan ini merupakan hujah yang sangat kuat untuk rakyat Terengganu menolak BN pada PRU 13. Rakyat negeri Terengganu harus sedar bahawa keselamatan dan nyawa mereka tidak selamat apabila berada dalam stadium tersebut.
  5. Rakyat Terengganu harus buka mata, berjuta-juta wang rakyat yang sepatutnya digunakan untuk menampung kemiskinan tegar di Terengganu telah dihabiskan untuk membaiki Stadium Gong Badak yang boleh diibaratkan seperti tikus membaiki labu. Wang rakyat terus dibazirkan dengan menampung projek yang merugikan. Pimpinan GAMIS sempat menziarahi salah seorang mangsa kejadian dan berkongsi pandangan tentang struktur bangunan yang tidak selamat dan mampu membunuh lebih ramai lagi rakyat Terengganu.


  6. Dengan misi “Mahasiswa Menggalas Harapan Rakyat”, seramai 300 orang aktivis mahasiswa berhimpun secara aman di depan Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa, Pulau Duyong  untuk menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri yang sedang mengadakan pertemuan tertutup dengan semua pimpinan parti-parti komponen BN Terengganu. Memorendum suara hati rakyat yang menuntut supaya kerajaan membuka ruang demokrasi yang adil di Malaysia, membasmi kemiskinan melampau di Terengganu dan menghentikan projek sia-sia baik pulih Stadium Gong Badak yang mengancam keselamatan rakyat.
  7. Walaupun himpunan aman ini mendapat provokasi daripada ‘samseng UMNO’, mahasiswa tetap berhimpun untuk menyerahkan memorandum suara hati rakyat tertindas kepada PM. Ternyata PM Malaysia bukannya pemimpin yang berjiwa besar untuk mendepani mahasiswa. Rombongan PM meninggalkan Ri-Yaz Heritage dengan kerjasama erat antara samseng UMNO dan Polis Di raja Malaysia (PDRM) serta disertai dengan laungan ‘Mahasiswa Tolak BN’.


  8. Pimpinan-pimpinan GAMIS Pusat dan Negeri bersama seluruh aktivis mahasiswa turut berhimpun bersama masyarakat Negeri Terangganu di Pantai Batu Burok untuk berkongsi harapan dan inspirasi untuk melihat wajah Malaysia yang baru pasca PRU 13 yang dipimpin oleh pemimpin yang adil dan integriti.


  9. PRU 13 adalah landasan terbaik untuk seluruh rakyat Malaysia bersama-sama menghentikan kezaliman Kerajaan BN yang tercatat secara fakta dan sejarah, selama 56 tahun BN memerintah Malaysia, terlalu banyak kes-kes penipuan pimpinan tertinggi negara, kronisme, nepotisme, menyekat hak royalti, menggadai hak orang melayu, meruntuhkan insitusi sultan dan sebagainya. Ayuh sama-sama seluruh rakyat Malaysia untuk menolak BN dalam PRU 13.
  10. GAMIS akan menggerakkan seluruh jentera di seluruh negara untuk memastikan hasrat dan impian untuk menamatkan pemerintahan BN dalam PRU 13 tercapai. 
 Ahmad Fatihi Makhtar
Pengerusi Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia Pahang (GAMIS Pahang)