“ Kita akan mensyukuri nikmat
merdeka ini…”, antara ucapan Bapa Kemerdekaan negara kita, Perdana Menteri yang
pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sewaktu memproklamasikan kemerdekaan Malaya pada 31
Ogos 1957, 55 tahun yang lepas.
Erti
merdeka menurut Kamus Dewan Edisi Keempat adalah bebas daripada penjajahan,
kurungan, naungan dan lain-lain, atau lepas daripada tebusan dan tuntutan,
berdiri sendiri dan tidak bergantung pada yang lain.
Bagi
anak muda generasi-Y yang tidak pernah melalui zaman di bawah pemerintahan
British mahupun ketika Malaya bergelut mencapai kemerdekaan, hari sambutan
kemerdekaan ini mempunyai makna yang jauh berbeza berbanding golongan warga
emas yang umurnya menjangkau 60-an hari ini. Kanak-kanak sejak di bangku
sekolah tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, institut pengajian tinggi
sehingga yang bekerja akan didedahkan dengan pelbagai aktiviti patriotisme oleh
institusi masing-masing bersempena hari memperingati kemerdekaan.
Tidak kurang
juga ramai yang bergembira kerana tarikh 31 Ogos setiap tahun merupakan cuti
umum. Seperti juga malam tahun baru, masyarakat terutama golongan remaja
kebiasaannya akan berkumpul pada malam kemerdekaan di bandar-bandar utama
negara bagi memeriahkan sambutan ini. Countdown 31 Ogos dan pertunjukan
bunga api seolah-olah suatu kemestian pada setiap malam kemerdekaan. Tidak
kurang juga dengan Perarakan Hari Kemerdekaan
serta Pertunjukan Kereta Berhias di ibu negara.
Konklusinya,
pelbagai pihak terutama kerajaan Malaysia melaksanakan pelbagai inisiatif dalam
smenyambut Hari Kemerdekaan sebagai tanda kesyukuran bahawa rakyat di negara
ini telah bebas daripada penjajahan negara luar.
Bagi
anak muda generasi-Y yang tidak pernah melalui zaman di bawah pemerintahan
British mahupun ketika Malaya bergelut mencapai kemerdekaan, mendengar ucapan
sempena kemerdekaan sejak dari sekolah selalunya menekankan isi ucapan sama.
Ucapan berkisar dengan perjuangan prajurit negara, pahlawan-pahlawan seperti
Dato’ Mat Kilau, Tok Janggut, Bapa Kemerdekaan, kestimewaan negara kita yang
aman walaupun masyarakatnya majmuk, berbilang kaum dan berbeza prinsip
beragama. Namun begitu, sejauh manakah jiwa-jiwa yang meraikan sambutan ini
mempunyai ‘jiwa merdeka’ serta menghayati erti bebas-merdeka?
Tahun-tahun
kebelakangan ini menyaksikan pergelutan politik dan kebangkitan reformasi
negara-negara Arab yang bermula di Iran, Mesir dan kini Syria. Manakala
pelbagai bentuk penindasan dan kekejaman yang terus-terusan berlaku sama ada di
Selatan Thailand mahupun Myanmar. Media massa utama mahupun alternatif sentiasa
menyampaikan perkembangan nasib etnik Rohignya yang kian lama semakin teruk. Di
tambah pula dengan setiap hari, bakal ada berita menyayat hati berkenaan
saudara seislam di Palestin yang dirampas tempat berlindung dan di sekat
daripada pelbagai bantuan kebajikan.
Di sebelah muka bumi yang lain,
fenomena saudara seislam yang cukup banyak menerangkan suasana belum merdeka,
belum berdaulat dan tidak bebas kepada kita. Sewajarnya kestabilan sosial yang
di kecapi di negara kita hari ini disyukuri.Firman Allah dalam Al-Quran,
إِنَّ الْأَرْضَ لِلَّهِ يُورِثُهَا مَنْ يَشَاءُ مِنْ
عِبَادِهِ
"Sesungguhnya bumi (ini) kepunyaan Allah,
diberikannya kepada siapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya (al
A'raf:128).
Di sebalik
segala kepayahan yang di hadapi para pejuang kemerdekaan negara, sesungguhnya
keamanan hari ini bersifat sementara dan tidak lain-tidak bukan di pinjamkan
kepada kita oleh Yang Maha Berkuasa. Justeru erti mensyukuri nikmat kemerdekaan
bukanlah sekadar diraikan dengan bunga api dan perbarisan semata-mata, bahkan
ia menuntut setiap warga negara memberikan komitmen yang lebih besar dari itu.
Syukuri nikmat kemerdekaan dengan mengelak faktor
runtuh keamanan negara. Dalam sejarah peradaban dunia pernah mencatat kekuatan
kerajaan Islam yang hebat dan merangkumi hampir dua per tiga dunia pada suatu
masa dahulu akhirnya hancur ketika kejatuhan Khilafah Othmaniah. Kejatuhan ini
tidak berlaku hanya kerana satu peristiwa bahkan pelbagai alas an yang
menyebabkan ia berlaku. Maka faktor kejatuhan ini harus diambil iktibar oleh
semua. Komitmen setiap rakyat Malaysia terhadap keamanan negara juga adalah
dengan berusaha dari mengelak perkara yang sama berlaku di negara kita.
وَلَا تَنَازَعُوا
فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُوا إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
"…dan janganlan kamu bertelagah, nescaya kamu akan
gagal dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah, sesungguhnya Allah beserta
orang-orang yang sabar" (al Anfal :46).
Islam sangat berpesan supaya ikhlas
kerana Allah semata-mata dalam percakapan, perbuatan dan hindarkan dari suka
kemasyhuran dan pujian. Negara kita mengamalkan sistem demokrasi yang mana
pemimpin negara dipilih daripada pelbagai parti politik yang berbeza ideologi
melalui sistem Plihanraya Umum (PRU) yang di laksnakan pada setiap 5 tahun.
Faktor pertama kejatuhan negara adalah melalui politik serta perebutan kuasa
yang sangat di tegah dalam Islam. Justeru, politik negara kita haruslah sihat
dan berlandas kepada ilmu.Sama ada ilmu dalam urusan pentadbiran dan politik
begitu juga ilmu keagamaan.
Dalam perlembagaan yang ada, setiap warga
negara Malaysia yang berumur lebih 21 tahun wajib mendaftar dan membuang undi
pada pilihanraya .Ini juga merupakan satu bentuk tanggungjawab dan cinta kepada
negara. Saya kira kita tidak perlu menjadi seperti Negara Mesir yang mana warga
negara yang tidak keluar mengundi akan di denda lebih kurang RM250 seorang,
sekiranya semua rakyat melaksanakan tanggungjawab mereka.Yang adil dan layak
memimpin perlu diangkat sebagai pemimpin. Metodologi pemilihan pemimpin harus
telus dan dilaksanakan dengan berakhlak.Di dalam politik yang tidak berlandas
kepada Islam akan berlaku komplot dan penganiyaan. Inilah yang membawa kepada
perpecahan dan permusuhan. Berpolitiklah seperti Rasulullah dengan politik yang
berakhlak dan mengasihi sesama manusia.
Faktor kedua yang yang dinyatakan oleh Allah dengan
firmannya:
وَإِذَا أَرَدْنَا أَنْ
نُهْلِكَ قَرْيَةً أَمَرْنَا مُتْرَفِيهَا فَفَسَقُوا فِيهَا
فَحَقَّ عَلَيْهَا الْقَوْلُ
فَدَمَّرْنَاهَا تَدْمِيرًا
"Dan jika kami hendak membinasakan negeri, maka kami
perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati
Allah) tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri itu. Maka sudah
sepatutnya berlaku terhadapnya ketentuan kami dan kemudian kami hancurkan
negeri itu sehancur-hancurnya". (al Isra':16)
Justeru
dengan bermewah-mewahan dan leka dengan hiburan bakal merosakkan rakyat di
negara kita. Hanya dengan berhibur dan berseronok, anak-anak muda akan hilang ghairah
mencari ilmu, artis yang menghiburkan akan menjadi pilihan idola, masa yang
terluang mahupun sibuk lebih di utamakan untuk hiburan. Jadikanlah nasihat
kumpulan nasyid Raihan ini sebagai ingatan kepada kita dalam berpada-pada
memilih dan berhibur.
“Berhibur tiada salahnya,
kerana hiburan itu indah,
hanya apabila salah memilihnya,
membuat kita jadi
bersalah”
Pelajari sejarah hari semalam
sebagai panduan hari esok. Ketika zaman kejatuhan negara Eropah selepas Perang
Salib Kedua, Orang-orang di Eropah membina perhubungan dengan negara Islam
melalui Andalusia. Hikmah dari perhubungan dua hala ini memberikan faedah
sampingan kepada mereka iaitu kesedaran mental dan pemikiran. Mereka mengambil
pelbagai ilmu pengetahuan yang begitu banyak dari Islam. Hasilnya telah lahir
kebangkitan ilmu pengetahuan yang hebat.
Pihak gereja telah bangun
menyanggah fenomena ini dengan segala kekuatannya. Para sasterawan dan saintis
telah disiksa kerana mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan ajaran
Kristian. Orang ramai dirangsang supaya sama-sama menentang saintis ini. Tetapi
kesemuanya ini sia-sia belaka kerana masyarakat bangkit dan menerima ilmu-ilmu
tersebut. Ruang sains semakin meluas di kalangan masyarakat Eropah. Penciptaan
dan jumpaan baru mula berkembang. Jentera-jentera mula menggandakan
pengeluaran. Kehidupan mula berwajah baru, iaitu kehidupan industri. Serentak
dengan ini negara mula menjadi kuat, kuasanya menjangkau ke negara-negara lain.
Dunia telah berpaling mengadap Eropah dan mencurahkan segala hasil kepadanya.
Segala harta benda datang melimpah dari segenap tempat.
Tujuan
saya merakamkan kisah zaman reinassance ini tidak lain adalah kerana ingin
menekankan kepada rakan sewarga negara bahawa sesebuah negara tidak akan kemana
melainkan dengan rakyat yang menguasai ilmu pengetahuan. Pemerintah, penggubal
dasar negara, penguatkuasa sehingga buruh kasar sekalipun harus melengkapkan
diri dengan ilmu pengetahuan.
قُلْ انْظُرُوا مَاذَا فِي
السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ
"Katakanlah,
perhatikanlah apa yang ada di langit dan bumi". (Yunus:101).
Firman Allah ini seharusnya membuka
mata dan pemikiran kita bahawa terdapat banyak ilmu yang harus di pelajari dan
digunakan. Ilmu sains dan teknologi, pengurusan dan banyak lagi cabang ilmu
mampu memartabatkan hidup sesebuah negara. Masyarakat yang mempunyai taraf ilmu
yang rendah akan lebih terdedah kepada pelbagai bentuk penganiayaan serta
penindasan pada hari ini.Keamanan dan kestabilan negara tidak mampu dijaga
sekiranya jurang ilmu rakyat terlalu besar dan negara di perintah tanpa ilmu
pengetauan dan nilai-nilai kemanusiaan dalam ilmu adab dan akhlak. Bahkan pemimpin yang memimpin negara harus
lebih berilmu supaya mampu menerajui kepimpinan dan menepati hak rakyat yang
dipimpin dengan ilmu yang dimiliki. Bukankah generasi-Y hari ini yang bakal
mengganti tampuk kepimpinan negara akan datang?
Malaysia berminda progresif. Faktor
terakhir yang harus dijauhi sikap leka terhadap kekuatan sendiri dan cuai untuk
mengkaji kemajuan masyarakat lain sehingga ketinggalan dalam arus perkembangan.
Sebuah negara yang stabil dan aman akan mengambil peluang untuk memperkukuh
pertahanan dan kemajuan negara. Contohilah semangat progresif rakyat di Negara
Terbit Matahari, Jepun yang bangkit selepas peristiwa pengeboman Hiroshima dan
Nagasaki.
Erti merdeka ini bukanlah seperti merdeka ayam yang bererti bebas sama sekali dan boleh melakukan
sesuatu sekehendak hati. Setiap perkara dalam hidup ada sempadannya. Dengan
mematuhi sempadan ini yang meletakkan setiap kehidupan dalam keadaan yang teratur.
Sebagai contoh, kenderaan di atas jalan raya mengikut landasan dan sempadan
jalan masing-masing. Trafik pasti sesak sekiranya semua kenderaan mahu merdeka
ayam. Syukuri kemerdekaan ini dengan politik berakhlak, bijak berhibur, rakyat
berilmu, dan berminda progresif sebagai satu bentuk ibadah semata-mata kerana
Allah.
PENGERUSI SIGMA PAHANG.
OGOS 2012.