Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) Pahang mengecam
sekeras-kerasnya ketidakadilan yang berlaku dalam Pilihan Raya Kampus
(PRK) Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang menyaksikan pelbagai
tindakan yang menyekat dan menguburkan demokrasi telah dilakukan oleh
Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEPA) yang diketuai sendiri oleh Timbalan Naib Cancelor (TNC) HEPA, Prof. Dato’ Dr. Yuserrie Bin Zainuddin
Campur tangan yang jelas berbeza dengan amalan dan norma beberapa PRK
sebelum ini sehingga berlaku penentangan oleh bekas pemimpin Majlis
Perwakilan Pelajar (MPP) yang mengeluarkan surat terbuka menyatakan
kekecewaan terhadap proses PRK kali ini. Terdapat juga pemimpin pelajar
yang bersoladiriti menghantar memorandum kepada TNC HEPA supaya
melaksanakan “8 Tuntutan Penambahbaikan Proses Pilihanraya Kampus UMP
2013/2014”.
Dalam PRK ini, ada beberapa orang calon yang tidak
dibenarkan untuk bertanding tanpa alasan yang tidak tercatat dan
digariskan secara bertulis dalam mana-mana peraturan tatacara pemilihan
MPP. Ada antaranya yang telah diterima pada awalnya sebagai calon,
tetapi kemudiannya telah ditarik balik tanpa sebab dan justifikasi yang
jelas. Pada masa yang sama terdapat proses merekrut secara senyap
calon-calon tajaan dengan memberi latihan serta tajaan kewangan demi
memastikan calon yang ditaja oleh JHEPA menang mudah. Manipulasi media
dan peraturan dilakukan bagi menyekat dan mengongkong mahasiswa yang
ingin berpartisipasi dalam PRK kali ini. Ini hanya secebis daripada
episod yang sedang berlaku.
PRK adalah medan melahirkan
pemimpin mahasiswa, yang bakal menjadi pemimpin negara pada masa akan
datang. Sekatan dan kekangan yang dilakukan dalam proses demokrasi ini
akan melahirkan pemimpin yang tidak mempunyai kualiti kepimpinan, lantas
tidak mampu membawa idealisme dan aspirasi sebagai seorang pemimpin
mahasiswa. Mahasiswa seharusnya diberikan hak untuk memilih dengan telus
dan adil di atas padang yang rata, bukannya berat sebelah bagi
memenangkan calon pilihan yang disenangi oleh pihak tertentu.
GAMIS Pahang mendesak supaya pihak JHEPA UMP menjalankan tugas dengan
penuh profesional, amanah dan berintegriti. Seluruh mahasiswa adalah
‘pelanggan’ mereka dan seharusnya dilayan dengan baik dan saksama.
Keadilan diberi kepada semua pihak dan tidak ada diskriminasi kepada
mahasiswa yang ingin menyertai proses demokrasi melalui PRK ini.
Tuntutan yang disampaikan hendaklah didengari dan dilaksanakan. Proses
memilih memimpin mahasiswa bukan sekadar akan melahirkan pemimpin pada
hari ini. Tetapi juga menjadi mereka yang akan menentukan hala tuju
negara pada masa akan datang.
‘Abdul Muntaqim Abu Bakar
Pengerusi
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) Pahang
No comments:
Post a Comment