Protes Aman dan Penyerahan Memorandum Kepada DS Najib Razak
KUALA LUMPUR: Sempena dengan kehadiran Perdana
Menteri di Kuala Pahang, Pekan bagi melancarkan Pusat Transformasi Luar
Bandar (RTC), semalam seramai 60 orang aktivis mahasiswa daripada
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) Negeri Pahang berkumpul
untuk menyatakan protes terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Razak yang
telah terbukti gagal mengurus tadbir negara dengan baik dan menjadi
keperluan mendesak bagi menolak Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya
Umum ke-13 (PRU13).
Pengerusi Gamis Pahang, Ahmad Fatihi Makhtar berkata, dalam protes
tersebut, mahasiswa mendesak supaya Najib mengambil perhatian serius
terhadap masalah bekalan air bersih di Negeri Pahang khususnya di
sekitar parlimen beliau sendiri iaitu Pekan yang tidak berkesudahan
sehingga sekarang.
Katanya, reaksi penduduk sekitar Kuala Pahang terhadap Protes Aman
Mahasiswa menggambarkan Parlimen Pekan bukannya kubu kuat Datuk Seri
Najib Razak.
Menurutnya, dalam sejarah PRU ke-10 pada 1999, Najib Razak yang
ditentang oleh Ustaz Ramli Mohamed daripada PAS, Najib hanya menang
tipis dengan majoriti 241 undi.
“Terbukti bahawa sepanjang protes aman berlangsung, ramai penduduk
sekitar menunjukkan sokongan terhadap protes ini,” ujarnya dalam satu
kenyataan kepada Harakahdaily.
Menurutnya lagi, mahasiswa turut menyatakan hasrat agar PRU akan
datang dijalankan dengan adil, telus dan demokratik serta menuntut agar
pihak kerajaan menghentikan budaya politik rasuah, politik perkauman,
politik janji, politik samseng, politik ugut dan politik fitnah yang
semakin subur di negara kita pada hari ini.
Selain daripada itu, ujarnya mahasiswa turut menuntut capaian media
yang adil, telus & saksama semasa tempoh berkempen dijalankan.
“Menariknya, protes aman itu turut mendapat respons positif daripada
pegawai-pegawai kerajaan yang melalui jalan tersebut,” ujarnya.
Tambahnya, terbukti mereka yang hadir hanya kerana arahan dan kerahan
tetapi mereka sedar akan kepincangan negara yang berlaku di bawah
pemerintahan Najib.
Walau bagaimanapun, jelasnya kekecohan dan ketegangan protes aman
berlaku apabila sekumpulan ‘ahli Umno tegar’ hadir dan cuba menghalau
aktivis mahasiswa yang sedang berhimpun.
Menurutnya, mereka terus menerus mengatakan bahawa anak muda pada
hari ini tidak bersyukur dan tidak berterima kasih pada kerajaan yang
memberi banyak kemudahan kepada pelajar.
“Apabila ditanya tentang masalah air di sekitar Pekan yang telah
berlaku sekian lama, mereka mengakui dan mereka mengatakan masalah
tersebut perlu berbincang dengan penghulu kampung,” katanya.
Katanya lagi, kekecohan selamat 10 minit ditenteramkan oleh beberapa anggota polis.
Selepas rundingan dibuat dengan pihak polis, ujar beliau mahasiswa
bersetuju untuk menghentikan protes aman dengan mengambil pertimbangan
faktor keselamatan yang tidak selamat walaupun di kawasan parlimen
Perdana Menteri sendiri.
Baginya, PRU13 adalah landasan terbaik untuk seluruh rakyat Malaysia
bersama-sama menghentikan kezaliman Kerajaan BN yang tercatat secara
fakta dan sejarah, selama 56 tahun BN memerintah Malaysia, terlalu
banyak kes-kes penipuan pimpinan tertinggi negara, kronisme, nepotisme,
menyekat hak royalti, menggadai hak orang melayu, meruntuhkan insitusi
sultan dan sebagainya.
“Gamis akan menggerakkan seluruh jentera di seluruh negara untuk
memastikan hasrat dan impian untuk menamatkan pemerintahan BN dalam
PRU13 tercapai,” ujarnya.
Sumber daripada:
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/17130-walaupun-kecoh-mahasiswa-bantah-najib-di-pekan
No comments:
Post a Comment