Integriti, keadilan, kebebasan dan demokrasi
pilihan raya di Malaysia di mata dunia berada
di tahap parah dan kritikal. Sejak Malaysia mengecapi kemerdekaan, parti-parti
politik di Malaysia bertanding di padang yang tidak rata. Dahulu dan kininya, hak
media cetak dinafikan, kebebasan media elektronik disekat, hak kebebasan
berhimpun dicabuli, hak bersuara dihalang, badan-badan serta institusi yang
sepatutnya bebas diikat erat oleh pemerintah dan hak negeri yang berlainan ideologi politik
di bawah naungan persekutuan dipinggirkan.
Berdasarkan Indeks Demokrasi 2011
keluaran The Economist, Malaysia berada di kedudukan ke-71 daripada ke-167
negara yang dikaji. Kedudukan ini sama dengan tahun 2010, selepas jatuh
daripada kedudukan ke-68 pada tahun 2008 dengan pengurangan mata daripada 6.36
kepada 6.19. Ini menempatkan Malaysia di kalangan negara yang dikategorikan
sebagai tempang demokrasinya, bersama sejumlah negara lain bermula daripada
kedudukan ke-26 hingga ke-78, antaranya Israel (36), Sri Lanka (57), Mongolia
(69) dan Ghana (78). Dari kalangan negara Asia Tenggara, hanya Thailand dan
Indonesia berkedudukan lebih baik, iaitu di tempat ke-58 dan ke-60.
Politik samseng menggambarkan lagi
demokrasi tempang di Malaysia. Walhal ianya bukan perkara yang baru di negara
kita. Sejarah politik samseng termaktub utuh yang diukir dalam sejarah oleh Pemuda
UMNO Tahan Lasak pada era 60-an yang menggemparkan seluruh negara dan
mengakibatkan implikasi negatif terhadap senario politik tanah air. Terbarunya,
seluruh mahasiswa merasakan sangat kecewa dan mengutuk tindakan samseng dan
ganas ke atas aktivis-aktivis Gempur Mahasiswa 13 (GM13) di Parlimen Pekan.
Rakyat Malaysia telah dihantui oleh
media perdana bahawa sekiranya Pakatan Rakyat kalah dalam PRU-13, maka seluruh
negara akan huru-hara dan berlaku rusuhan. Walau bagaimanapun, berdasarkan
pengalaman pilihan raya umum yang sudah berlangsung sebanyak 12 kali, sudah terbukti bahawa parti-parti komponen
dalam PR dapat menerima kekalahan dalam suasana harmonis dan sikap yang terbuka.
Pengalaman mengajar kita untuk mengenali sosok tubuh BN apabila di saat
kekalahan, seperti komplot terancang menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Negeri
Perak yang dilantik secara sah pada 2009. Selain daripada itu, sejarah hitam
politik tanah air pada tahun 1978 di Negeri Kelantan yang mana kelantan diisytihar
darurat di bawah MAGERAN seterusnya berlaku Pilihan Raya Negeri dan UMNO berjaya
merampas Kelantan. Oleh itu, sekiranya PR menang dalam PRU-13, seluruh mahasiswa bimbang dengan asuhan politik samseng
dan ganas yang telah dididik dalam ahli UMNO sejak zaman berzaman, antara
cabaran awal yang perlu diselesaikan oleh kerajaan PR adalah kekacauan dan
gangguan yang akan digerakkan oleh samseng politik jalanan yang tidak mampu
menerima kekalahan dan sudah sinonim dengan mencabul prinsip dan hak demokrasi.
Justeru, rakyat Malaysia perlu
bersepakat dan berpadu untuk meyuburkan suasana demokrasi yang adil di Malaysia. Menutup saluran untuk
mendapat hak demokrasi yang adil boleh diibaratkan seperti bom jangka yang
boleh meledak dan meletus pada bila-bila masa. Rakyat Malaysia perlu menolak politik
samseng agar suasana dan proses pilihan raya demokrasi di negara kita
berlansung dalam semangat keadilan dan cintakan negara.
AHMAD FATIHI
MAKHTAR
Pengerusi Gabungan
Mahasiswa Islam Se-Malaysia Negeri Pahang (GAMIS Pahang)