1. Sekalung penghargaan
dan tahniah kepada Kerajaan Negeri Pahang atas penganjuran Youth Festival
(Yo!Fest) 2012 yang telah berlangsung dari 18 hingga 20 Mei 2012, di Taman Bandar
Indera Mahkota Kuantan. Menurut laporan akhbar Sinar Harian, seramai 100 000
belia telah membanjiri Taman Bandar Indera Mahkota dalam program Yo Fest 2012
yang diadakan sempena sambutan Hari Belia Negara peringkat negeri.
2.
Pelbagai aktiviti
yang telah dijalankan seperti persembahan Belon Udara Panas, Pertunjukkan
Kereta dan Motor Berhias, Drif Drag, Capoeira, Nitro RC Car, Skyrunner, KMX
Spider Drift, Drag Motor dan Kereta, X-Games, Karaoke, Kucing Cantik, pertandingan
Ayam Serama, pertandingan bina badan dan sebagainya. Turut diadakan
program-program berbentuk kerohanian termasuk Solat Hajat dan Tahlil, Seminar
Usahawan Produk Halal, Kenduri Bersama Jabatan Mufti Pahang, Belia Berselawat,
Soal Jawab Beliau Bersama Ustaz, Cerapat Langit Bersama Ahli Falak dan Karaoke
Nasyid. Turut diadakan ialah Seminar Keusahawanan, Temuduga Terbuka daripada 30
buah syarikat yang turut serta dalam program itu nanti
3.
Kami berpandangan
bahawa beberapa perkara dan aktiviti dalam Yo Fest perlu dinilai semula dan
ditingkatkan kualitinya atas pertimbangan syariat dan pembangunan modal insan
yang berteraskan dasar Islam sebagai ad-din (cara hidup). Kita bimbang
sekiranya aktiviti-aktiviti yang diadakan hanyalah sekadar untuk belia berseronok
dan berhibur semata-mata tanpa mampu membina jati diri sebenar belia. Hal ini
mampu merosakkan lagi nilai hidup serta menjauhkan belia daripada kehidupan dan
kefahaman Islam yang syumul (sempurna dan lengkap segala aspek kehidupan).
4.
Sambutan yang
kurang memberangsangkan belia terhadap program yang berunsurkan kerohanian
adalah perkara yang perlu dirisaukan bersama. Masalah ini sebenarnya melambangkan kualiti dan mutu belia negeri Pahang
yang dibentuk pada hari. Petikan kata-kata Syeikh Yusuf Qardhawi “sekiranya kamu ingin melihat wajah negara
pada masa akan datang, lihatlah bagimana cara hidup dan kualiti anak muda pada
hari ini”. Kita risau sekiranya produk anak muda pada hari ini makin jauh
dengan Islam dan tidak mampu untuk tadbir urus negara pada masa akan datang.
5.
Percampuran dan
pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan sangat tidak terkawal. Hal ini
sebenarnya mampu merosakkan akhlak belia serta mampu membawa kepada perkara
yang tidak sepatutnya. Lebih menyedihkan lagi, ada pasangan yang belum
berkahwin bergembira di sekitar tapak program dari malam hingga pagi subuh. Aktiviti
drift drag kereta yang sepatutnya tamat pukul 10 malam mengikut tentatif,
berlanjutan sehingga pukul 1-2 pagi yang telah menggangu ketenteraman awam dan seolah-olah
bertukar menjadi litar haram tanpa kawalan dari pihak penganjur. Selain
daripada itu, belia terus dilekakan dengan aktiviti-aktiviti dan lagu-lagu
rancak walaupun pada ketika itu azan sedang berkumandang. Sekurang-kurangnya,
berhentilah seketika alunan lagu dan aktiviti
untuk memberi hormat dan laluan kepada solat. Lebih menarik lagi
sekiranya ada ruang yang besar dan luas untuk belia menunaikan solat secara
berjemaah di tempat program.
6.
Belia adalah aset
negara yang sangat bernilai dan ianya mampu menjadi tidak bernilai sekiranya
tidak diasuh dengan Islam. Acuan terbaik untuk membina golongan belia mestilah berlandaskan
agama Allah swt. Kita bercita-cita untuk melahirkan golongan belia yang mampu
berperanan dan memberi manfaat kepada masyarakat serta mampu memacu negara ke
arah yang lebih baik. Tanpa kefahaman dan penghayatan Islam, jangan bermimpi
untuk melahirkan belia yang cemerlang dan seimbang dalam semua aspek kehidupan, mental,
fizikal, rohani, dan sebagainya.
7.
Tugas sebuah
kerajaan bukan sahaja menyediakan kemudahan awam yang selesa, kelengkapan infrastruktur asas, menjaga
kebajikan, keadilan sosial dan
perlindungan keselamatan kepada rakyat, bahkan penting untuk kita fahami
bahawa peranan sebuah kerajaan yang lebih besar adalah mengajak rakyat dan
masyarakat supaya taat, bertaqwa dan
beriman kepada Allah serta mentadbir dan memerintah berlandaskan Islam. Kerajaan
bertanggungjwab untuk menjalankan kerja amar makruf nahi mungkar dan tidak
menyuburkan tempat-tempat maksiat yang akan mengundang kepada kejatuhan nilai
hidup golongan belia. Firman Allah swt yang bermaksud:
"Iaitu mereka (umat Islam) yang jika kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar, Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan" (Al Hajj: 41).
8.
GAMIS Pahang
memandang serius terhadap pembangunan belia di negeri ini. Kami bersedia untuk
berganding bahu dengan mana-mana pertubuhan kerajaan, NGO atau parti politik
untuk sama-sama membina anak muda yang berkualiti dan mempunyai jati diri Islam
yang kukuh.
"GAMIS, Inspirasi Anak Muda"
AHMAD
FATIHI MAKHTAR
Pengerusi Gabungan Mahasiswa Islam
Semalaysia Negeri Pahang (GAMIS Pahang)
http://gamispahang.blogspot.com/