Sunday, 24 February 2013

GAMIS ZON TIMUR: MAHASISWA TEKAD TOLAK BN

Himpunan Mahasiswa Zon Timur, Kuala Terengganu
22 Februari 2013 
  1. Tarikh 23 Februari 2013 merupakan tarikh keramat bagi Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) Zon Timur, seramai 300 orang berhimpun di Kuala Terengganu dan berpencak di lapangan masyarakat untuk menyatakan pendirian serta mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama menolak Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13).  
  2. Malang bagi rakyat Negeri Terengganu yang berada di bawah pimpinan BN kerana walaupun Terengganu sebuah negeri yang menghasilkan lebih separuh keluaran petroleum negara dan mendapat hasil kira-kira RM2 bilion setiap tahun tetapi merupakan negeri ke-2 termiskin di Malaysia selepas Sabah. Bilangan Isi Rumah Miskin Tegar yang dicatat oleh Sabah sebanyak 32400  dan diikuti oleh Terengganu sebanyak 8 300 serta Perak (5700) dan Sarawak (5200).
  3. Pimpinan GAMIS Pusat bersama pimpinan peringkat Negeri Terangganu, Pahang dan Kelantan bersama-sama menziarahi beberapa buah rumah rakyat miskin di sekitar Kuala Terengganu untuk menghulurkan bantuan dan menyelami hati nurani rakyat yang hidup tanpa perhatian serius oleh Kerajaan Negeri. Jelas terpapar daripada keluhan hati rakyat ini akan kekecewaan mereka terhadap Kerajaan BN yang tidak mengagihkan bantuan secara adil dan mereka tidak mendapat hak yang sepatutnya.
  4. Isu Bumbung Stadium Gong Badak yang runtuh kali kedua semasa proses baik pulih membuka seluas-luasnya pekong ketirisan Kerajaan BN Terengganu dan ini merupakan hujah yang sangat kuat untuk rakyat Terengganu menolak BN pada PRU 13. Rakyat negeri Terengganu harus sedar bahawa keselamatan dan nyawa mereka tidak selamat apabila berada dalam stadium tersebut.
  5. Rakyat Terengganu harus buka mata, berjuta-juta wang rakyat yang sepatutnya digunakan untuk menampung kemiskinan tegar di Terengganu telah dihabiskan untuk membaiki Stadium Gong Badak yang boleh diibaratkan seperti tikus membaiki labu. Wang rakyat terus dibazirkan dengan menampung projek yang merugikan. Pimpinan GAMIS sempat menziarahi salah seorang mangsa kejadian dan berkongsi pandangan tentang struktur bangunan yang tidak selamat dan mampu membunuh lebih ramai lagi rakyat Terengganu.


  6. Dengan misi “Mahasiswa Menggalas Harapan Rakyat”, seramai 300 orang aktivis mahasiswa berhimpun secara aman di depan Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa, Pulau Duyong  untuk menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri yang sedang mengadakan pertemuan tertutup dengan semua pimpinan parti-parti komponen BN Terengganu. Memorendum suara hati rakyat yang menuntut supaya kerajaan membuka ruang demokrasi yang adil di Malaysia, membasmi kemiskinan melampau di Terengganu dan menghentikan projek sia-sia baik pulih Stadium Gong Badak yang mengancam keselamatan rakyat.
  7. Walaupun himpunan aman ini mendapat provokasi daripada ‘samseng UMNO’, mahasiswa tetap berhimpun untuk menyerahkan memorandum suara hati rakyat tertindas kepada PM. Ternyata PM Malaysia bukannya pemimpin yang berjiwa besar untuk mendepani mahasiswa. Rombongan PM meninggalkan Ri-Yaz Heritage dengan kerjasama erat antara samseng UMNO dan Polis Di raja Malaysia (PDRM) serta disertai dengan laungan ‘Mahasiswa Tolak BN’.


  8. Pimpinan-pimpinan GAMIS Pusat dan Negeri bersama seluruh aktivis mahasiswa turut berhimpun bersama masyarakat Negeri Terangganu di Pantai Batu Burok untuk berkongsi harapan dan inspirasi untuk melihat wajah Malaysia yang baru pasca PRU 13 yang dipimpin oleh pemimpin yang adil dan integriti.


  9. PRU 13 adalah landasan terbaik untuk seluruh rakyat Malaysia bersama-sama menghentikan kezaliman Kerajaan BN yang tercatat secara fakta dan sejarah, selama 56 tahun BN memerintah Malaysia, terlalu banyak kes-kes penipuan pimpinan tertinggi negara, kronisme, nepotisme, menyekat hak royalti, menggadai hak orang melayu, meruntuhkan insitusi sultan dan sebagainya. Ayuh sama-sama seluruh rakyat Malaysia untuk menolak BN dalam PRU 13.
  10. GAMIS akan menggerakkan seluruh jentera di seluruh negara untuk memastikan hasrat dan impian untuk menamatkan pemerintahan BN dalam PRU 13 tercapai. 
 Ahmad Fatihi Makhtar
Pengerusi Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia Pahang (GAMIS Pahang)         

 

Monday, 18 February 2013

Jelajah Mahasiswa sempena Tahun Baru Cina

Kunjungan Mahabbah ke Kediaman Masyarakat Cina Sungai Lembing
# 9 Februari 2013, 9 pagi - 2 petang

"Menggalas Harapan Rakyat Malaysia"








 

Friday, 15 February 2013

POLITIK SAMSENG LAMBANG DEMOKRASI TEMPANG



Integriti, keadilan, kebebasan dan demokrasi pilihan raya di  Malaysia di mata dunia berada di tahap parah dan kritikal. Sejak Malaysia mengecapi kemerdekaan, parti-parti politik di Malaysia bertanding di padang yang tidak rata. Dahulu dan kininya, hak media cetak dinafikan, kebebasan media elektronik disekat, hak kebebasan berhimpun dicabuli, hak bersuara dihalang, badan-badan serta institusi yang sepatutnya bebas diikat erat oleh pemerintah  dan hak negeri yang berlainan ideologi politik di bawah naungan persekutuan dipinggirkan. 

Berdasarkan Indeks Demokrasi 2011 keluaran The Economist, Malaysia berada di kedudukan ke-71 daripada ke-167 negara yang dikaji. Kedudukan ini sama dengan tahun 2010, selepas jatuh daripada kedudukan ke-68 pada tahun 2008 dengan pengurangan mata daripada 6.36 kepada 6.19. Ini menempatkan Malaysia di kalangan negara yang dikategorikan sebagai tempang demokrasinya, bersama sejumlah negara lain bermula daripada kedudukan ke-26 hingga ke-78, antaranya Israel (36), Sri Lanka (57), Mongolia (69) dan Ghana (78). Dari kalangan negara Asia Tenggara, hanya Thailand dan Indonesia berkedudukan lebih baik, iaitu di tempat ke-58 dan ke-60.

Politik samseng menggambarkan lagi demokrasi tempang di Malaysia. Walhal ianya bukan perkara yang baru di negara kita. Sejarah politik samseng termaktub utuh yang diukir dalam sejarah oleh Pemuda UMNO Tahan Lasak pada era 60-an yang menggemparkan seluruh negara dan mengakibatkan implikasi negatif terhadap senario politik tanah air. Terbarunya, seluruh mahasiswa merasakan sangat kecewa dan mengutuk tindakan samseng dan ganas ke atas aktivis-aktivis Gempur Mahasiswa 13 (GM13) di Parlimen Pekan.

Rakyat Malaysia telah dihantui oleh media perdana bahawa sekiranya Pakatan Rakyat kalah dalam PRU-13, maka seluruh negara akan huru-hara dan berlaku rusuhan. Walau bagaimanapun, berdasarkan pengalaman pilihan raya umum yang sudah berlangsung sebanyak 12 kali,  sudah terbukti bahawa parti-parti komponen dalam PR dapat menerima kekalahan dalam suasana harmonis dan sikap yang terbuka. Pengalaman mengajar kita untuk mengenali sosok tubuh BN apabila di saat kekalahan, seperti komplot terancang menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Negeri Perak yang dilantik secara sah pada 2009. Selain daripada itu, sejarah hitam politik tanah air pada tahun 1978 di Negeri Kelantan yang mana kelantan diisytihar darurat di bawah MAGERAN seterusnya berlaku Pilihan Raya Negeri dan UMNO berjaya merampas Kelantan. Oleh itu, sekiranya PR menang dalam PRU-13,  seluruh mahasiswa bimbang dengan asuhan politik samseng dan ganas yang telah dididik dalam ahli UMNO sejak zaman berzaman, antara cabaran awal yang perlu diselesaikan oleh kerajaan PR adalah kekacauan dan gangguan yang akan digerakkan oleh samseng politik jalanan yang tidak mampu menerima kekalahan dan sudah sinonim dengan mencabul prinsip dan hak demokrasi.

Justeru, rakyat Malaysia perlu bersepakat dan berpadu untuk meyuburkan suasana demokrasi  yang adil di Malaysia. Menutup saluran untuk mendapat hak demokrasi yang adil boleh diibaratkan seperti bom jangka yang boleh meledak dan meletus pada bila-bila masa. Rakyat Malaysia perlu menolak politik samseng agar suasana dan proses pilihan raya demokrasi di negara kita berlansung dalam semangat keadilan dan cintakan negara.

AHMAD FATIHI MAKHTAR
Pengerusi Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia Negeri Pahang (GAMIS Pahang)  

Thursday, 3 January 2013

Ziarah Sigma, Gamis Pahang ke HTAA.


"Semoga dengan sentiasa ingat kepada Allah, hati akan tenang walau kesakitan . Mengadulah hanya pada Dia" 
Pada Ahad, 9 Disember 2012, seramai 31 orang mahasiswa sekitar Pahang telah mengikuti program Ziarah Dakwah ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) anjuran Sinergi Mahasiswi Malaysia (SIGMA). ;Alhamdulillah, setinggi kesyukuran dirafa’kan ke hadhrat Allah s.w.t. Akhirnya program yang dirancang selama 3 minggu ini berjaya dilaksanakan.

            Ziarah dakwah ini merupakan satu medan bagi mahasiswa untuk turun ke lapangan masyarakat, terutamanya pada mereka yang terlantar sakit di hospital. Melihatkan situasi di HTAA sekarang ini, setiap minggu mubaligh Kristian akan turun mendekati pesakit hospital, sama ada Muslim atau bukan Muslim. Mereka turun dengan agenda untuk menyebarkan agama mereka. Tapi, bagaimana peranan kita sebagai Muslim? Kita tidak boleh berdiam diri sahaja melihat umat Islam hari ini makin ramai yang murtad dari Islam.

             Justeru, program seumpama ini bermatlamatkan agar kami dapat membawa imej Islam dan dakwah kepada Muslim dan bukan Muslim. Tambahan pula, Rasulullah s.a.w sendiri suka menziarahi orang sakit untuk mengingatkan diri tentang kematian. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk memperkenalkan GAMIS (Gabungan Mahasiwa Islam Malaysia) di kalangan mahasiswa dan juga pada masyarakat awam.
Sehari sebelum program, iaitu hari Sabtu 5 petang, kami telah menjemput Ustaz Irfan, pensyarah Universiti Malaysia Pahang, UMP untuk berkongsi dengan para peserta program tentang ‘adab-adab menziarahi orang sakit dan fiqh solat ketika sakit’. Sesi berakhir jam 6.30 petang setelah tamat sesi soal jawab.

            Kesemua peserta program ini adalah dalam kalangan mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa (UIA),  kerana peserta daripada universiti lain (sekitar Pahang) tidak dapat hadir di saat akhir atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Kami berkumpul di asrama dan bertolak ke HTAA lebih kurang 2.15 petang. 10 minit kemudian, kami tiba di pintu pagar utama. Sebelum turun daripada bas, Presiden GAMIS Pahang, Ahmad Fatihi Makhtar memberikan sedikit ucapan alu-aluan dan juga sesi taklimat ringkas daripada program coordinator.

Kami di sambut mesra oleh para jururawat dan bersedia untuk naik ke wad.
            Kami disambut mesra oleh juruwat-jururawat di sana dan kami dibahagikan pada 4 kumpulan, di mana setiap kumpulan akan pergi ke satu wad. Sepanjang program berlansung kami dapati para pesakit di hospital sangat gembira dengan kunjungan daripada kami. Banyak yang kami pelajari antaranya kita harus bersyukur dengan kesihatan yang Allah berikan dan kesakitan yang diuji adalah supaya hambaNya semakin ingat kepada Dia yang Maha Menghidupkan dan Mematikan.

"Bagaimana keadaan anak mak cik sekarang?" beramah mesra tanda kita bersama =)


Terima kasih atas kerja sama pihak hospital


Ucapan resolusi; mudah-mudahan usaha ini berterusan.
        Kami berhasrat untuk meneruskan program sebegini dengan menubuhkan kumpulan ziarah di bawah Sigma Pahang supaya aktiviti seperti ini dapat di teruskan pada masa akan datang. Program berakhir jam 4.15 petang. Alhamdulillah.
Jazakalllah khairan kathir!
   

Monday, 31 December 2012

Selamat Tahun Baru 2013

2013: Tahun Perubahan!

Sama-sama mewarnai wajah Malaysia yang lebih cemerlang



Tinta Ulamak: Diskusi Buku "Bingkisan Fikrah Pejuang"

Diskusi Buku "Bingkisan Fikrah Pejuang"

Syeikh Zainol Asri Muhd Ramli, Mudir Maahad Darul Hadith

Ahad, 13 Januari 2013

Masjid Tengku Ampuan Afzan (MASTAF) Indera Mahkota 2

8.00 pagi - 1.00 Tengah hari 

Anak Muda Cintai Ulama'

Terbuka Untuk Semua


Saturday, 22 December 2012

GAMIS PAHANG KE LAPANGAN MASSA

   Berkata Imam As – Syahid Hassan Al Banna , Pemuda di setiap umat adalah kunci kebangkitannya” dan pernah berkata juga Bung Karno dalam ucapannya, “Berikan aku 1000 orang tua, nescaya akan kucabut gunung Semeru, berikan aku 10 pemuda nescaya akan kugoncangkan dunia”.

   Menyedari hakikat bahawa anak muda adalah asset penting dalam pembangunan individu, masyarakat dan negara Islam, maka Gamis Pahang menampilkan inisiatif sihat dan segar untuk terlibat dalam pembentukan karekter, jiwa dan pemikiran anak muda ini.

    Alhamdulillah, seinfiniti kesyukuran dirafa’kan kepada Allah s.w.t atas segala rahmat dan izinNya, maka program Bual Santai Anak Muda Pahang telah berjaya dijalankan dengan jayanya pada 25 November 2012 yang lalu. Program yang julung kali diadakan ini adalah bertemakan ‘Gua Hijrah Gua Ok!’ merupakan tema yang meraikan jiwa anak muda yang dinamik dan sukakan pembaharuan. Program ini juga bertujuan untuk mendekati hati-hati anak muda sekaligus mendekatkan mereka kepada nilai-nilai sebenar dalam Islam.
Misi menawan  hati anak muda  kali ini menggunakan pendekatan ‘santai’ tetapi ‘ilmiah’, ‘mendidik sambil menghibur’ yang sangat cocok dengan jiwa dan citarasa mereka.
Program ini bermula dengan forum santai bertajuk ‘Hiburan dan pergaulan dalam Islam’ yang membariskan dua orang ahli panel yang hebat iaitu Al-Ustaz Felza Zulhibri (Pensyarah UIAM), saudari Thohiroh Sufi (aktivis muslimah muda) dan seorang moderator yang cukup bertenaga, Mohd Hilmi Hamdan (aktivis mahasiswa). 


Barisan ahli panel  
Ucapan pengerusi Gamis Pahang
Tuan moderator
   Bukan sahaja istimewa untuk anak muda, bahkan  program  ini tampil menonjolkan kelainan tersendiri dimana ianya diadakan di sebuah restoran terbuka di Bandar Indera Mahkota yang sangat strategik sebagai tempat berkumpul dan lepak anak muda. Selain itu, ianya juga berdekatan dengan kolej kediaman pelajar IPTA/IPTS di Kuantan khususnya UIAM, SHAHPUTRA, POLISAS dan lain-lain seperti UMP, KIPSAS dan IKIP.   
   Persembahan yang mantap daripada IPPO BAND telah menambahkan lagi keceriaan kepada majlis. Hadirin dipersembahkan dengan beberapa buah lagu mendidik jiwa yang sangat bertepatan dengan ciri-ciri hiburan yang dibenarkan dalam Islam.
 Walaupun pada awalnya pihak urusetia berdepan risiko kekurangan sambutan terhadap program disebabkan ianya bertembung dengan perlawanan besar Piala AFF Suzuki Malaysia melawan Singapura, Alhamdulillah sambutan terhadap program sangat menggalakkan di mana dianggarkan seramai 200 orang pengunjung yang hadir pada malam tersebut.
Antara hadirin yg hadir

Pengunjung muslimat

 Dalam kegembiraan dan keceriaan majlis, agenda terbesar GAMIS PAHANG pada malam tersebut adalah pelancaran TABUNG GAZA yang dirasmikan oleh pemilik restoran. Alhamdulillah, kutipan pada malam itu mencecah RM 2000. Insya Allah, pihak GAMIS PAHANG akan menyalurkan derma terkumpul ini kepada NGO yang diiktiraf. Jazakallahu khairan jaza’ kepada seluruh muslimin-muslimat yang telah menyumbang. Semoga sumbangan kita itu bukan sahaja sebagai amal jariah tetapi sebagai tanda cinta dan prihatin kita kepada saudara sesama Islam kita di Gazzah.
 Semoga Gamis Pahang akan terus mendepani gerakan anak muda di Pahang demi kepentingan Islam sejagat di masa – masa yang akan datang.  

Bergambar bersama IPPO BAND
Barisan komiti 
 Wassalam..