Thursday 28 February 2013

MEMORANDUM GAMIS PAHANG KEPADA PERDANA MENTERI MALAYSIA

Protes Aman dan Penyerahan Memorandum Kepada DS Najib Razak

10 Tuntutan GAMIS PAHANG 
Jumaat, 1 Mac 2013
Sempena Majlis Pelancaran Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kuala Pahang di Pekan.

Anak Muda 

1.  Menuntut penekanan serius usaha-usaha menangani & mengatasi permasalahan gejala sosial & keruntuhan moral dalam kalangan golongan muda.

Pendidikan & ISLAM

2. Memperkasa  & meningkatkan kualiti sistem, infrastruktur, serta pembangunan sekolah aliran Islam di negeri Pahang.

3. Memperteguh jatidiri masyarakat daripada pengaruh & budaya asing yang bercangah dengan nilai & prinsip islam.

Kemudahan Asas

4. Mendesak agar  segala keperluan asas rakyat seperti  bekalan air bersih, perkhidmatan elektrik, diselesaikan dengan segera.

Alam Sekitar

5. Penekanan  soal pemeliharaan & pemuliharaan khazanah alam semula jadi dalam pembentukan dasar & polisi kerajaan.

Politik

6. Menuntut agar pilihanraya umum akan datang dijalankan dengan adil, telus & demokratik.

7. Menghentikan budaya politik rasuah, politik perkauman, politik janji, politik samseng, politik ugut & politik fitnah.

8. Membina model politik baru berasaskan politik nilai, politik idea & politik hujah.

9. Menuntut capaian media yang adil, telus & saksama sepanjang tempoh berkempen dijalankan semasa PRU-13.

10. Menghormati hak & suara rakyat dengan mengembalikan kuasa rakyat untuk menilai & memilih pilihan dengan bebas, adil & telus  semasa piliharaya umum tanpa wujud sebarang bentuk tekanan daripada mana-mana pihak yang berkepentingan.

Sunday 24 February 2013

GAMIS ZON TIMUR: MAHASISWA TEKAD TOLAK BN

Himpunan Mahasiswa Zon Timur, Kuala Terengganu
22 Februari 2013 
  1. Tarikh 23 Februari 2013 merupakan tarikh keramat bagi Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) Zon Timur, seramai 300 orang berhimpun di Kuala Terengganu dan berpencak di lapangan masyarakat untuk menyatakan pendirian serta mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama menolak Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13).  
  2. Malang bagi rakyat Negeri Terengganu yang berada di bawah pimpinan BN kerana walaupun Terengganu sebuah negeri yang menghasilkan lebih separuh keluaran petroleum negara dan mendapat hasil kira-kira RM2 bilion setiap tahun tetapi merupakan negeri ke-2 termiskin di Malaysia selepas Sabah. Bilangan Isi Rumah Miskin Tegar yang dicatat oleh Sabah sebanyak 32400  dan diikuti oleh Terengganu sebanyak 8 300 serta Perak (5700) dan Sarawak (5200).
  3. Pimpinan GAMIS Pusat bersama pimpinan peringkat Negeri Terangganu, Pahang dan Kelantan bersama-sama menziarahi beberapa buah rumah rakyat miskin di sekitar Kuala Terengganu untuk menghulurkan bantuan dan menyelami hati nurani rakyat yang hidup tanpa perhatian serius oleh Kerajaan Negeri. Jelas terpapar daripada keluhan hati rakyat ini akan kekecewaan mereka terhadap Kerajaan BN yang tidak mengagihkan bantuan secara adil dan mereka tidak mendapat hak yang sepatutnya.
  4. Isu Bumbung Stadium Gong Badak yang runtuh kali kedua semasa proses baik pulih membuka seluas-luasnya pekong ketirisan Kerajaan BN Terengganu dan ini merupakan hujah yang sangat kuat untuk rakyat Terengganu menolak BN pada PRU 13. Rakyat negeri Terengganu harus sedar bahawa keselamatan dan nyawa mereka tidak selamat apabila berada dalam stadium tersebut.
  5. Rakyat Terengganu harus buka mata, berjuta-juta wang rakyat yang sepatutnya digunakan untuk menampung kemiskinan tegar di Terengganu telah dihabiskan untuk membaiki Stadium Gong Badak yang boleh diibaratkan seperti tikus membaiki labu. Wang rakyat terus dibazirkan dengan menampung projek yang merugikan. Pimpinan GAMIS sempat menziarahi salah seorang mangsa kejadian dan berkongsi pandangan tentang struktur bangunan yang tidak selamat dan mampu membunuh lebih ramai lagi rakyat Terengganu.


  6. Dengan misi “Mahasiswa Menggalas Harapan Rakyat”, seramai 300 orang aktivis mahasiswa berhimpun secara aman di depan Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa, Pulau Duyong  untuk menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri yang sedang mengadakan pertemuan tertutup dengan semua pimpinan parti-parti komponen BN Terengganu. Memorendum suara hati rakyat yang menuntut supaya kerajaan membuka ruang demokrasi yang adil di Malaysia, membasmi kemiskinan melampau di Terengganu dan menghentikan projek sia-sia baik pulih Stadium Gong Badak yang mengancam keselamatan rakyat.
  7. Walaupun himpunan aman ini mendapat provokasi daripada ‘samseng UMNO’, mahasiswa tetap berhimpun untuk menyerahkan memorandum suara hati rakyat tertindas kepada PM. Ternyata PM Malaysia bukannya pemimpin yang berjiwa besar untuk mendepani mahasiswa. Rombongan PM meninggalkan Ri-Yaz Heritage dengan kerjasama erat antara samseng UMNO dan Polis Di raja Malaysia (PDRM) serta disertai dengan laungan ‘Mahasiswa Tolak BN’.


  8. Pimpinan-pimpinan GAMIS Pusat dan Negeri bersama seluruh aktivis mahasiswa turut berhimpun bersama masyarakat Negeri Terangganu di Pantai Batu Burok untuk berkongsi harapan dan inspirasi untuk melihat wajah Malaysia yang baru pasca PRU 13 yang dipimpin oleh pemimpin yang adil dan integriti.


  9. PRU 13 adalah landasan terbaik untuk seluruh rakyat Malaysia bersama-sama menghentikan kezaliman Kerajaan BN yang tercatat secara fakta dan sejarah, selama 56 tahun BN memerintah Malaysia, terlalu banyak kes-kes penipuan pimpinan tertinggi negara, kronisme, nepotisme, menyekat hak royalti, menggadai hak orang melayu, meruntuhkan insitusi sultan dan sebagainya. Ayuh sama-sama seluruh rakyat Malaysia untuk menolak BN dalam PRU 13.
  10. GAMIS akan menggerakkan seluruh jentera di seluruh negara untuk memastikan hasrat dan impian untuk menamatkan pemerintahan BN dalam PRU 13 tercapai. 
 Ahmad Fatihi Makhtar
Pengerusi Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia Pahang (GAMIS Pahang)         

 

Monday 18 February 2013

Jelajah Mahasiswa sempena Tahun Baru Cina

Kunjungan Mahabbah ke Kediaman Masyarakat Cina Sungai Lembing
# 9 Februari 2013, 9 pagi - 2 petang

"Menggalas Harapan Rakyat Malaysia"








 

Friday 15 February 2013

POLITIK SAMSENG LAMBANG DEMOKRASI TEMPANG



Integriti, keadilan, kebebasan dan demokrasi pilihan raya di  Malaysia di mata dunia berada di tahap parah dan kritikal. Sejak Malaysia mengecapi kemerdekaan, parti-parti politik di Malaysia bertanding di padang yang tidak rata. Dahulu dan kininya, hak media cetak dinafikan, kebebasan media elektronik disekat, hak kebebasan berhimpun dicabuli, hak bersuara dihalang, badan-badan serta institusi yang sepatutnya bebas diikat erat oleh pemerintah  dan hak negeri yang berlainan ideologi politik di bawah naungan persekutuan dipinggirkan. 

Berdasarkan Indeks Demokrasi 2011 keluaran The Economist, Malaysia berada di kedudukan ke-71 daripada ke-167 negara yang dikaji. Kedudukan ini sama dengan tahun 2010, selepas jatuh daripada kedudukan ke-68 pada tahun 2008 dengan pengurangan mata daripada 6.36 kepada 6.19. Ini menempatkan Malaysia di kalangan negara yang dikategorikan sebagai tempang demokrasinya, bersama sejumlah negara lain bermula daripada kedudukan ke-26 hingga ke-78, antaranya Israel (36), Sri Lanka (57), Mongolia (69) dan Ghana (78). Dari kalangan negara Asia Tenggara, hanya Thailand dan Indonesia berkedudukan lebih baik, iaitu di tempat ke-58 dan ke-60.

Politik samseng menggambarkan lagi demokrasi tempang di Malaysia. Walhal ianya bukan perkara yang baru di negara kita. Sejarah politik samseng termaktub utuh yang diukir dalam sejarah oleh Pemuda UMNO Tahan Lasak pada era 60-an yang menggemparkan seluruh negara dan mengakibatkan implikasi negatif terhadap senario politik tanah air. Terbarunya, seluruh mahasiswa merasakan sangat kecewa dan mengutuk tindakan samseng dan ganas ke atas aktivis-aktivis Gempur Mahasiswa 13 (GM13) di Parlimen Pekan.

Rakyat Malaysia telah dihantui oleh media perdana bahawa sekiranya Pakatan Rakyat kalah dalam PRU-13, maka seluruh negara akan huru-hara dan berlaku rusuhan. Walau bagaimanapun, berdasarkan pengalaman pilihan raya umum yang sudah berlangsung sebanyak 12 kali,  sudah terbukti bahawa parti-parti komponen dalam PR dapat menerima kekalahan dalam suasana harmonis dan sikap yang terbuka. Pengalaman mengajar kita untuk mengenali sosok tubuh BN apabila di saat kekalahan, seperti komplot terancang menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Negeri Perak yang dilantik secara sah pada 2009. Selain daripada itu, sejarah hitam politik tanah air pada tahun 1978 di Negeri Kelantan yang mana kelantan diisytihar darurat di bawah MAGERAN seterusnya berlaku Pilihan Raya Negeri dan UMNO berjaya merampas Kelantan. Oleh itu, sekiranya PR menang dalam PRU-13,  seluruh mahasiswa bimbang dengan asuhan politik samseng dan ganas yang telah dididik dalam ahli UMNO sejak zaman berzaman, antara cabaran awal yang perlu diselesaikan oleh kerajaan PR adalah kekacauan dan gangguan yang akan digerakkan oleh samseng politik jalanan yang tidak mampu menerima kekalahan dan sudah sinonim dengan mencabul prinsip dan hak demokrasi.

Justeru, rakyat Malaysia perlu bersepakat dan berpadu untuk meyuburkan suasana demokrasi  yang adil di Malaysia. Menutup saluran untuk mendapat hak demokrasi yang adil boleh diibaratkan seperti bom jangka yang boleh meledak dan meletus pada bila-bila masa. Rakyat Malaysia perlu menolak politik samseng agar suasana dan proses pilihan raya demokrasi di negara kita berlansung dalam semangat keadilan dan cintakan negara.

AHMAD FATIHI MAKHTAR
Pengerusi Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia Negeri Pahang (GAMIS Pahang)