Thursday 30 August 2012

ERTI BEBAS-MERDEKA GENERASI-Y




 “ Kita akan mensyukuri nikmat merdeka ini…”, antara ucapan Bapa Kemerdekaan negara kita, Perdana Menteri yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sewaktu  memproklamasikan kemerdekaan Malaya pada 31 Ogos 1957, 55 tahun yang lepas.
                Erti merdeka menurut Kamus Dewan Edisi Keempat adalah bebas daripada penjajahan, kurungan, naungan dan lain-lain, atau lepas daripada tebusan dan tuntutan, berdiri sendiri dan tidak bergantung pada yang lain.
          Bagi anak muda generasi-Y yang tidak pernah melalui zaman di bawah pemerintahan British mahupun ketika Malaya bergelut mencapai kemerdekaan, hari sambutan kemerdekaan ini mempunyai makna yang jauh berbeza berbanding golongan warga emas yang umurnya menjangkau 60-an hari ini. Kanak-kanak sejak di bangku sekolah tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, institut pengajian tinggi sehingga yang bekerja akan didedahkan dengan pelbagai aktiviti patriotisme oleh institusi masing-masing bersempena hari memperingati kemerdekaan. 

       Tidak kurang juga ramai yang bergembira kerana tarikh 31 Ogos setiap tahun merupakan cuti umum. Seperti juga malam tahun baru, masyarakat terutama golongan remaja kebiasaannya akan berkumpul pada malam kemerdekaan di bandar-bandar utama negara bagi memeriahkan sambutan ini. Countdown 31 Ogos dan pertunjukan bunga api seolah-olah suatu kemestian pada setiap malam kemerdekaan. Tidak kurang juga dengan Perarakan Hari Kemerdekaan  serta Pertunjukan Kereta Berhias di ibu negara.
                Konklusinya, pelbagai pihak terutama kerajaan Malaysia melaksanakan pelbagai inisiatif dalam smenyambut Hari Kemerdekaan sebagai tanda kesyukuran bahawa rakyat di negara ini telah bebas daripada penjajahan negara luar. 

              Bagi anak muda generasi-Y yang tidak pernah melalui zaman di bawah pemerintahan British mahupun ketika Malaya bergelut mencapai kemerdekaan, mendengar ucapan sempena kemerdekaan sejak dari sekolah selalunya menekankan isi ucapan sama. Ucapan berkisar dengan perjuangan prajurit negara, pahlawan-pahlawan seperti Dato’ Mat Kilau, Tok Janggut, Bapa Kemerdekaan, kestimewaan negara kita yang aman walaupun masyarakatnya majmuk, berbilang kaum dan berbeza prinsip beragama. Namun begitu, sejauh manakah jiwa-jiwa yang meraikan sambutan ini mempunyai ‘jiwa merdeka’ serta menghayati erti bebas-merdeka?  

                Tahun-tahun kebelakangan ini menyaksikan pergelutan politik dan kebangkitan reformasi negara-negara Arab yang bermula di Iran, Mesir dan kini Syria. Manakala pelbagai bentuk penindasan dan kekejaman yang terus-terusan berlaku sama ada di Selatan Thailand mahupun Myanmar. Media massa utama mahupun alternatif sentiasa menyampaikan perkembangan nasib etnik Rohignya yang kian lama semakin teruk. Di tambah pula dengan setiap hari, bakal ada berita menyayat hati berkenaan saudara seislam di Palestin yang dirampas tempat berlindung dan di sekat daripada pelbagai  bantuan kebajikan.

Di sebelah muka bumi yang lain, fenomena saudara seislam yang cukup banyak menerangkan suasana belum merdeka, belum berdaulat dan tidak bebas kepada kita. Sewajarnya kestabilan sosial yang di kecapi di negara kita hari ini disyukuri.Firman Allah dalam Al-Quran,         

            إِنَّ الْأَرْضَ لِلَّهِ يُورِثُهَا مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ

"Sesungguhnya bumi (ini) kepunyaan Allah, diberikannya kepada siapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya (al A'raf:128). 

         Di sebalik segala kepayahan yang di hadapi para pejuang kemerdekaan negara, sesungguhnya keamanan hari ini bersifat sementara dan tidak lain-tidak bukan di pinjamkan kepada kita oleh Yang Maha Berkuasa. Justeru erti mensyukuri nikmat kemerdekaan bukanlah sekadar diraikan dengan bunga api dan perbarisan semata-mata, bahkan ia menuntut setiap warga negara memberikan komitmen yang lebih besar dari itu.

          Syukuri nikmat kemerdekaan dengan mengelak faktor runtuh keamanan negara. Dalam sejarah peradaban dunia pernah mencatat kekuatan kerajaan Islam yang hebat dan merangkumi hampir dua per tiga dunia pada suatu masa dahulu akhirnya hancur ketika kejatuhan Khilafah Othmaniah. Kejatuhan ini tidak berlaku hanya kerana satu peristiwa bahkan pelbagai alas an yang menyebabkan ia berlaku. Maka faktor kejatuhan ini harus diambil iktibar oleh semua. Komitmen setiap rakyat Malaysia terhadap keamanan negara juga adalah dengan berusaha dari mengelak perkara yang sama berlaku di negara kita.  

وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُوا إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
"…dan janganlan kamu bertelagah, nescaya kamu akan gagal dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar" (al Anfal :46).

Islam sangat berpesan supaya ikhlas kerana Allah semata-mata dalam percakapan, perbuatan dan hindarkan dari suka kemasyhuran dan pujian. Negara kita mengamalkan sistem demokrasi yang mana pemimpin negara dipilih daripada pelbagai parti politik yang berbeza ideologi melalui sistem Plihanraya Umum (PRU) yang di laksnakan pada setiap 5 tahun. Faktor pertama kejatuhan negara adalah melalui politik serta perebutan kuasa yang sangat di tegah dalam Islam. Justeru, politik negara kita haruslah sihat dan berlandas kepada ilmu.Sama ada ilmu dalam urusan pentadbiran dan politik begitu juga ilmu keagamaan.

 Dalam perlembagaan yang ada, setiap warga negara Malaysia yang berumur lebih 21 tahun wajib mendaftar dan membuang undi pada pilihanraya .Ini juga merupakan satu bentuk tanggungjawab dan cinta kepada negara. Saya kira kita tidak perlu menjadi seperti Negara Mesir yang mana warga negara yang tidak keluar mengundi akan di denda lebih kurang RM250 seorang, sekiranya semua rakyat melaksanakan tanggungjawab mereka.Yang adil dan layak memimpin perlu diangkat sebagai pemimpin. Metodologi pemilihan pemimpin harus telus dan dilaksanakan dengan berakhlak.Di dalam politik yang tidak berlandas kepada Islam akan berlaku komplot dan penganiyaan. Inilah yang membawa kepada perpecahan dan permusuhan. Berpolitiklah seperti Rasulullah dengan politik yang berakhlak dan mengasihi sesama manusia.    

Faktor kedua yang yang dinyatakan oleh Allah dengan firmannya:
وَإِذَا أَرَدْنَا أَنْ نُهْلِكَ قَرْيَةً أَمَرْنَا مُتْرَفِيهَا فَفَسَقُوا فِيهَا
فَحَقَّ عَلَيْهَا الْقَوْلُ فَدَمَّرْنَاهَا تَدْمِيرًا

"Dan jika kami hendak membinasakan negeri, maka kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri itu. Maka sudah sepatutnya berlaku terhadapnya ketentuan kami dan kemudian kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya". (al Isra':16) 

        Justeru dengan bermewah-mewahan dan leka dengan hiburan bakal merosakkan rakyat di negara kita. Hanya dengan berhibur dan berseronok, anak-anak muda akan hilang ghairah mencari ilmu, artis yang menghiburkan akan menjadi pilihan idola, masa yang terluang mahupun sibuk lebih di utamakan untuk hiburan. Jadikanlah nasihat kumpulan nasyid Raihan ini sebagai ingatan kepada kita dalam berpada-pada memilih dan berhibur. 

“Berhibur tiada salahnya,
kerana hiburan itu indah,
hanya apabila salah memilihnya,
 membuat kita jadi bersalah”

Pelajari sejarah hari semalam sebagai panduan hari esok. Ketika zaman kejatuhan negara Eropah selepas Perang Salib Kedua, Orang-orang di Eropah membina perhubungan dengan negara Islam melalui Andalusia. Hikmah dari perhubungan dua hala ini memberikan faedah sampingan kepada mereka iaitu kesedaran mental dan pemikiran. Mereka mengambil pelbagai ilmu pengetahuan yang begitu banyak dari Islam. Hasilnya telah lahir kebangkitan ilmu pengetahuan yang hebat. 

Pihak gereja telah bangun menyanggah fenomena ini dengan segala kekuatannya. Para sasterawan dan saintis telah disiksa kerana mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan ajaran Kristian. Orang ramai dirangsang supaya sama-sama menentang saintis ini. Tetapi kesemuanya ini sia-sia belaka kerana masyarakat bangkit dan menerima ilmu-ilmu tersebut. Ruang sains semakin meluas di kalangan masyarakat Eropah. Penciptaan dan jumpaan baru mula berkembang. Jentera-jentera mula menggandakan pengeluaran. Kehidupan mula berwajah baru, iaitu kehidupan industri. Serentak dengan ini negara mula menjadi kuat, kuasanya menjangkau ke negara-negara lain. Dunia telah berpaling mengadap Eropah dan mencurahkan segala hasil kepadanya. Segala harta benda datang melimpah dari segenap tempat.

         Tujuan saya merakamkan kisah zaman reinassance ini tidak lain adalah kerana ingin menekankan kepada rakan sewarga negara bahawa sesebuah negara tidak akan kemana melainkan dengan rakyat yang menguasai ilmu pengetahuan. Pemerintah, penggubal dasar negara, penguatkuasa sehingga buruh kasar sekalipun harus melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan.

قُلْ انْظُرُوا مَاذَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ

 "Katakanlah, perhatikanlah apa yang ada di langit dan bumi". (Yunus:101). 

Firman Allah ini seharusnya membuka mata dan pemikiran kita bahawa terdapat banyak ilmu yang harus di pelajari dan digunakan. Ilmu sains dan teknologi, pengurusan dan banyak lagi cabang ilmu mampu memartabatkan hidup sesebuah negara. Masyarakat yang mempunyai taraf ilmu yang rendah akan lebih terdedah kepada pelbagai bentuk penganiayaan serta penindasan pada hari ini.Keamanan dan kestabilan negara tidak mampu dijaga sekiranya jurang ilmu rakyat terlalu besar dan negara di perintah tanpa ilmu pengetauan dan nilai-nilai kemanusiaan dalam ilmu adab dan akhlak.  Bahkan pemimpin yang memimpin negara harus lebih berilmu supaya mampu menerajui kepimpinan dan menepati hak rakyat yang dipimpin dengan ilmu yang dimiliki. Bukankah generasi-Y hari ini yang bakal mengganti tampuk kepimpinan negara akan datang?

Malaysia berminda progresif. Faktor terakhir yang harus dijauhi sikap leka terhadap kekuatan sendiri dan cuai untuk mengkaji kemajuan masyarakat lain sehingga ketinggalan dalam arus perkembangan. Sebuah negara yang stabil dan aman akan mengambil peluang untuk memperkukuh pertahanan dan kemajuan negara. Contohilah semangat progresif rakyat di Negara Terbit Matahari, Jepun yang bangkit selepas peristiwa pengeboman Hiroshima dan Nagasaki. 

     Erti merdeka ini bukanlah seperti merdeka ayam yang  bererti bebas sama sekali dan boleh melakukan sesuatu sekehendak hati. Setiap perkara dalam hidup ada sempadannya. Dengan mematuhi sempadan ini yang meletakkan setiap kehidupan dalam keadaan yang teratur. Sebagai contoh, kenderaan di atas jalan raya mengikut landasan dan sempadan jalan masing-masing. Trafik pasti sesak sekiranya semua kenderaan mahu merdeka ayam. Syukuri kemerdekaan ini dengan politik berakhlak, bijak berhibur, rakyat berilmu, dan berminda progresif sebagai satu bentuk ibadah semata-mata kerana Allah.

PENGERUSI SIGMA PAHANG.
OGOS 2012. 

Thursday 16 August 2012

55 Tahun Sambutan Kemerdekaan: Bagaimanakah Keadaan Anak Muda Kita?


         Tanggal 31 Ogos 2012 genaplah kemerdekaan negara yang ke-55 tahun. 55 Tahun Merdeka  Janji Ditepati menjadi tema pilihan sambutan kemerdekaan bagi tahun ini. Walaupun wujud pelbagai polemik serta pertikaian berkaitan pemilihan tema kemerdekaan pada kali ini, saya tidak berhasrat untuk mengulas lebih lanjut berkaitan perkara tersebut. Namun sebagai salah seorang anak muda saya merasa agak kecewa dan terkilan atas perkara yang berlaku. Sambutan kemerdekaan tidak sewajarnya dicemari dengan unsur-unsur politik yang mengambarkan kecenderungan terhadap mana-mana kepentingan parti politik, sewajarnya semangat kemerdekaan hendaklah diraikan oleh seluruh lapisan masyarakat Malaysia merentasi perbezaan ideologi politik,bangsa,agama dan keturunan.Sudah mencecah lebih 5 dekad usia kemerdekaan negara kita, sudah tiba masanya budaya politik baru diketengahkan yang bergerak dalam kerangka politik yang membina bukan politik yang memusnah, dan inilah harapan seluruh anak muda Malaysia.
       
         Dalam penulisan ini saya cuba lontarkan pendapat dari dimensi pandangan peribadi dalam mengupas beberapa perkara berkaitan perkembangan dan situasi terkini anak muda Malaysia.Anak muda kumpulan masyarakat yang terpenting kerana mereka merupakan sumber manusia yang akan mengerakkan segala agenda pembangunan dan aset yang bakal mencorak dan mewarisi kepimpinan negara pada masa hadapan.Kumpulan belia dan anak muda mewakili sekitar 40 peratus daripada komposisi masyarakat Malaysia. Ibnu Khaldun pakar sejarawan islam menyebut sekiranya kita ingin melihat keadaan tamadun pada masa hadapan, lihatlah kepada keadaan muda-mudinya, baik keadaannya hebatlah tamadun yang terbina,buruk keadaannya musnahlah harapan yang dicipta. Ungkapan tersebut memberi gambaran jelas kepada kita perihal peri pentingnya anak muda kepada masa hadapan negara.

         55 tahun sambutan kemerdekaan bagaimanakah keadaan anak-muda kita?  Pada masa kini kita menyaksikan pelbagai permasalahan yang timbul dalam kalangan muda-mudi tempatan. Golongan ini sentiasa terdorong untuk mencari halatuju hidup mereka sendiri tanpa bimbingan dan panduan akhirnya mengakibatkan mereka terperangkap dan terjerumus kelembah kebinasaan. Anak muda sentiasa memberontak mendambakan kebebasan dari kongkongan daripada pelbagai pihak. Anak muda ini sekiranya tidak dibimbing dan diasuh dengan baik dengan mengimbangi soal pembangunan modal insan yang melingkupi aspek rohani,jasmani dan emosi maka pelbagai implikasi negatif yang timbul akibat daripada kebebasan tanpa bimbingan yang diberikan. 

Disini kita melihat bahawa keluarga memainkan peranan yang cukup penting dalam usaha untuk menangani perkara ini. Krisis rumah tangga, tekanan kos sara hidup yang tinggi, kurang penghayatan agama antara faktor penyumbang kepada permasalahan yang timbul. Hubungan antara keluarga dalam masyarakat pada masa kini semakin meruncing,kes penceraian yang berlaku misalannya memberi kesan negatif  kapada anak secara tidak langsung akhirnya mengakibatkan anak-anak tersebut mencari haluan hidup sendiri akibat tekanan yang dialami.Peningkatan kos sara hidup menyaksikan kurang masa yang diperuntukan oleh ibu bapa untuk bersama dengan ahli keluarga mereka, sekiranya trend sebegini berterusan anak mereka akan terbiar dan tidak diurus dengan baik serta berkemungkinan terjebak dengan aktiviti yang tidak sihat akibat terpengaruh dengan rakan sebaya.

       Gejala sosial yang menular dalam kalangan anak muda cukup membimbangkan dan mengusarkan ramai pihak. Budaya hedonisme,penagihan dadah,zina,rogol, pembuangan bayi dan perlumbaan haram merupakan cebisan permasalahan yang membarah dalam kalangan muda-mudi masa kini.Hal sedemikian rupa juga turut menimpa terhadap golongan mahasiswa yang berada di alam kampus. Keruntuhan moral sebegini sekiranya tidak dibendung dan dikawal akan menatijahkan implikasi buruk kepada masa depan negara. Negara semakin maju dalam soal pembangunan fizikal namun negara semakin mundur dalam soal pembangunan insaniah.Anak muda tempatan kini mengalami krisis moral dan identiti, budaya luar diagung-agungkan sehingga meminggirkan budaya sendiri. Natijahnya terbentuklah generasi yang terpesona dengan kemilau gaya hidup kebendaan, tetapi gagal untuk sampai ke akar nilai-nilai budaya yang sebenarnya memajukan masyarakat barat. 

         Kayu ukur kemajuan bukan sekadar atas pertimbangan material yang hanya menjurus terhadap aspek pembangunan fizikal. Dalam konteks negara Malaysia pembangunan fizikal tidak wajar menjadi kayu ukur mahupun asas terpenting dalam menilai kemajuan negara.Perjalanan negara kita pasca kemerdekaan dapat dibahagikan kepada 3 fasa utama, yang pertama fasa pembentukan dan pengukuhan bernegara (era kepimpinan Tunku Abdul Rahman - Tun Hussein Onn), yang kedua fasa revolusi pembangunan (era kepimpinan Tun Dr Mahathir - Tun Abdullah Ahmad Badawi), yang ketiga fasa transformasi pembangunan (era kepimpinan Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak). Pihak kerajaan sewajarnya memainkan peranan proaktif dalam usaha melakukan transformasi kemanusian dalam usaha mengerakkan agenda memanusiakan manusia yang meletakkan nilai-nilai spritual sebagai nilai tunjung merealisasikan perkara tersebut.

      Secara kesimpulannya, permasalahan yang berlaku dalam kalangan anak muda perlu menjadi perhatian semua pihak. Pihak kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan semua pihak yang berkaitan diingatkan agar memberi penekanan yang serius dalam merangka hala tuju pembangunan negara agar aspek pembangunan fizikal dan spritual menjadi pertimbangan dan keutamaan terpenting dalam merencana sebarang dasar dan agenda pembangunan rakyat khususnya yang melibatkan anak muda. Anak muda merupakan aset terpenting negara, bersempena dengan sambutan kemerdekaan yang ke-55 ini diharapkan agar anak muda sentiasa mempersiapkan diri dengan segala bentuk ilmu dan kemahiran agar menjadi golongan yang berjaya pada masa hadapan dalam usaha memartabat umat serta mendaulat rakyat.

“Jangan tanya apa yang negara sumbangkan kepada kita, tetapi tanyalah pada diri kita apa yang telah kita sumbangkan kepada negara kita”  Abraham Lincoln.

Salam Kemerdekaan,

Muhamad Fazli Bin Abd Halim
Anak Muda Malaysia

Wednesday 8 August 2012

Pemuda & Kebangkitan Islam

Budaya TUDING MENUDING telah menjadi budaya yang tidak sihat dalam kalangan kita, khususnya umat Islam,
Sangkaan bahawa meletakkan TANGGUNGJAWAB terhadap suatu pihak sudah memadai untuk menyangka mereka telah terlepas daripada tanggungjawab tersebut adalah tidak wajar sama sekali.. ..uztaz tu tau jadi imam solat jenazah, cukuplah.. kan dah terlepas dosa kita. Budaya sebegini semakin menular dalam masyarakat kini..



Kenapa aku.. Biarlah dia.. Aku tak retilah,takutlah... Aku bukan Alim sangat..
Pemikiran sebegini sekiranya tidak dibendung maka akan memberi implikasi yang buruk kepada kita khususnya umat islam..

Aku ambil course civil.. so buat ape nak tau pasal ekonomi plak..

Islam itu agama yang lengkap dan melengkapkan, “ISLAM tu agama yang syumul” tetapi persoalannya adakah kita sebagai umat islam mengaplikasikan perkara tersebut dalam kehidupan kita.
Para sarjana dan cendekiawan islam seperti Ibnu Sina, Al Farabi, Ibnu Khaldun, Al Ghazali mereka merupakan ilmuan yang bukan hanya fokus kepada satu cabang ilmu sahaja tetapi menguasai pelbagai ilmu dan kemahiran sebagai contoh Ibnu Sina umum mengenali beliau melalui ilmu perubatan tetapi ramai yang kurang menyedari bahawa Ibnu Sina juga menguasai ilmu falsafah, astronomi, matematik, tasawuf dan sebagainya..
Oleh itu, sewajarnya kita khususnya umat islam menguasai segala cabang ilmu bagi mendepani pertarungan minda pada masa mendatang.


Perjuangan 1000 batu bermula dengan selangkah tapak kehadapan..
Perjuangan ini dikelilingi dengan lautan mehnah dan tribulasi.. Wahai SHABAB bangkitlah dari lena buaian dunia.. sedarlah dan bangunlah persiapkan dirimu dengan pelbagai kekuatan.. Umat ini memerlukanmu.. Sambutlah seruan mereka..MASA kian rancak meninggalkan kita.. Bersedialah mengalas bebanan amanah ini.. Andai genggam bara biar sampai jadi arang .. gengam arang biar sampai membara..

Tinta Pujangga

Tuesday 7 August 2012

Ziarah Mahabbah : GAMIS PUSAT Bersama Dr. Zulkifli Al-Bakri





Akhir bulan Julai kali ini ditutup dengan pertemuan yang amat bermakna buat pimpinan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) Pusat. Setelah berbincang akhirnya tokoh ilmuan terkenal Malaysia, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri sudi untuk menerima lawatan daripada pihak GAMIS dalam menjayakan misi menghubungkan mahasiswa Islam dengan barisan tokoh dan ilmuan. 

Pertemuan itu dihadiri seramai 5 orang pimpinan GAMIS pusat serta beberapa anak didik Dr. Zulkifli Al-Bakri yang kebanyakannya mahasiswa daripada USIM. Pertemuan yang berlangsung selama hampir satu jam dimanfaatkan untuk mendapat beberapa noktah penting seputar isu yang melibatkan fiqh siasi dan isu-isu fiqh khususnya di Malaysia.


Dengan sifat yang begitu merendah diri, Dr. Zulkifli amat mengalu-alukan kedatangan kami ke pejabat baru beliau. Bahkan, beliau mencadangkan kepada peringkat GAMIS agar sentiasa bertemu dengan tokoh-tokoh ilmuan untuk mendapat manfaat daripada mereka dalam menyelesaikan isu-isu ummat  yang berlaku mutakhir ini. 

Pertemuan tersebut dimulai dengan taujihat motivasi daripada Dr. Zulkifli dengan mengambil kata-kata hikmah mantan timbalan rektor Universiti Madinah kepada mahasiswa, bahawa seharusnya mahasiswa ini menjadi pemimpin dan bukan hanya sekadar dipimpin. Memberikan gambaran kepada mahasiswa bahawa ada tanggungjawab yang perlu digalas oleh mahasiswa untuk membela ummat kini dan masa hadapan. Namun bukan hanya mahasiswa yang punya semangat (hamasah) yang kuat, akan tetapi perlu disulami dengan hikmah kebijaksanaan yang cerdas. 

“Saya tidak kagum dengan mahasiswa yang hanya bersemangat. Tapi pemuda yang disulami ilmu, ditambah dengan akhlak yang tinggi, dan pemikiran yang cukup besar, dan memberikan makna bahawa inilah Islam yang sebenar yang ingin dibawa”.

“Kita lihat Solahuddin Al-Ayyubi, Muhammad Al-Fateh, mereka ini bukan sahaja ada semangat, akan tetapi ada hikmah kebijaksanaan yang cukup luar biasa. Untuk menjadi seperti ini perlu kepada sejumlah pengorbanan. Mahasiswa perlu bijaksana, punya akal yang besar, dada yang lapang, akhlak yang luhur lagi mulia.”, tutur Dr. Zulkifli kepada kami selaku pimpinan mahasiswa, membawa satu pencerahan yang mampu memaknakan gerakan mahasiswa arus perdana.

Mahasiswa & Gerakan Islam: beberapa noktah penting
“antum a’lamu biumuri dunyakum, kamu lebih mengetahui dunia kemahasiswaan kamu”. Dr. Zul memuqadimahkan jawapan berkenaan peranan yang boleh mahasiswa mainkan dalam sesebuah gerakan. Tambahnya lagi, perkara pertama mahasiswa perlu membaca dan memahami maksud sebenar gerakan Islam.  Dengan mengambil kira konsep ‘bersatu terhadap perkara yang disepakati, dan berlapang dada terhadap perkara khilaf’, ia akan menentukan corak kita menilai yang mana satu musuh dan yang mana satu krisis kecil yang perlu diabaikan. Kedua, banyakkan bertemu tokoh-tokoh yang pelbagai, dengan melihat pandangan serta halatuju mereka. Setiap dari kita ialah pendakwah, bukan hakim sepertimana kata Syeikh Hassan Hudaibi. Maka, seharusnya kita memahami prinsip dakwah yang tegas, akan tetapi perlu memperhalusi asalib (bentuk) dakwah yang sebahagiannya bersifat ijtihadi, dan boleh dilihat keberkesanannya melalui kefahaman, pengalaman dan tajribah yang konsisten.

Ketiga, mahasiswa perlu ada sumber-sumber rujukan utama. Perlu bagi mahasiswa gerakan islam mengambil pandangan dan saranan tokoh arus perdana, bukan hanya sekadar picisan. Dr. Zul menyebut antara tokoh yang boleh dijadikan sandaran ialah Hassan Al-Banna, Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, Syeikh Mustafa Mashyur, Dr. Muhammad Al-Ghazali dengan istintaj ilmi yang cukup hebat, Said Hawwa, dan Maulana Abi Hassan Ali An-Nadwi. Bahkan, kitab ‘Maza Khasiral Alam’ hasil buah tangan Maulana merupakan sebuah buku yang perlu difahami oleh mahasiswa pada hari ini.

Anjurkan Wacana, Simpulkan Tindakan
Di antara perkara yang amat dititik beratkan ialah memperkasakan siri-siri wacana ilmiah yang memberikan pencerahan terhadap kekaburan islam masa kini. Namun, wacana bukan dalam bentuk yang makro seperti perbincangan isu hudud, akan tetapi menjurus ke arah yang lebih serius. Seperti contoh, anjurkan wacana berkenaan isu kecurian, isu buang bayi, jual dadah, dan sebagainya yang lebih berfokus sekaligus mendatangkan sarana dan solusi yang tepat. Oleh sebab itu, setiap isu yang ingin dibawa perlu masak, dan keluarkan outcome yang jelas.

“Ini lah perkara yang pernah ditekankan oleh Guru kami, Dr. Wahbah Az-Zuhaili. Kata beliau, di antara cabaran yang belum dapat ummat islam laksanakan ialah membuat taqnin. Tahap ini belum diperhalusi dengan elok. Sewajarnya, mahasiswa yang berjiwa besar perlu datangkan dengan satu perundangan (taqnin), sepertimana yang pernah dikeluarkan oleh Dr. Muhammad Al-Ghazzali dengan Ahwal Syakhsiahnya dan Abdul Qader Audah dengan tasyri’ jinaie.

 
Perjuangkan Isu Dalam, seterusnya Luar.
Isu dalam yang dimaksudkan ialah berkenaan dengan sistem pendidikan mahasiswa, dan menghidupkan ruh islami di dalam universiti. Ini perkara yang perlu diambil berat oleh mahasiswa. Kita tidak mahu melahirkan mahasiswa yang ber’akademik’ namun lesu. Bukan hanya terfokus kepada markah, pointer dan seumpamanya.  Bahkan kita tidak mahu menjadi seperti Harvard, yang mana pernah seorang tenaga pengajar di sana mengatakan ‘aku melihat Harvard penuh ilmu namun tiada ruh’.

Kita lihat contoh Aristotle. Bagaimana beliau menghidupkan suasana pembelajaran yang kadangkala santai, namun amat bermakna. Pernah suatu ketika Aristotle melontarkan soalan berkenaan ‘iffah’ dan meminta pelajarnya membincang persoalan itu. Namun perkara ini amat membuka ufuk minda seorang pelajar untuk terus berfikir, bukan hanya disuap di kuliah pengajian.

Selain itu, mahasiswa juga boleh untuk memperjuangkan isu luaran seperti pengagihan zakat, institusi kehakiman, namun perlu berjumpa dengan pakar dalam perkara tersebut dan hadam segala maklumat berkaitannya.  Perkara ini perlu diteliti agar mahasiswa mampu untuk membawa mafahim (kefahaman) kepada ummat dalam konteks memberi kesedaran sebenar berkenaan Islam.


Pertemuan kami diakhiri dengan santapan juadah Iftar. Dr. Zulkifli menghadiahkan naskhah buku “ Nota buat Anakku’ kepada setiap pimpinan GAMIS yang hadir. Perkongsian ilmah itu sangat bermakna buat kami selaku pimpinan gerakan mahasiswa Islam dalam mencorak gerakan kini dan akan datang.